top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kenali Kanak-Kanak Autisme

Oleh: Fatin Nasuha Remle

Penyunting: Rafidahtul Aqilah


Sumber: Google

Autisme antara masalah paling popular yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) pada tahun 2016 nisbah dalam setiap 150 kanak-kanak (1:150) yang dilahirkan menghadapi autisme.


Sehingga kini ibu bapa masih kurang pengetahuan mengenai simptom autisme. Pengesanan awal masalah autisme ini sebenarnya mampu menyelamatkan keadaan dan sekurang-kurangnya kanak-kanak ini mampu dilatih untuk menguruskan dirinya sendiri. Masalah autisme ini kebiasaannya boleh dikesan seawal umur 1 tahun hingga 3 tahun.


Namun segelintir ibu bapa kurang peka dengan masalah ini dan berpendapat bahawa jika anak itu tidak mampu bercakap pada usia yang awal ianya merupakan perkara biasa. Kegagalan ibu bapa mengesan masalah ini pada peringkat awal menyebabkan anak ini terperangkap dengan dunianya sendiri dan sukar untuk menjalani kehidupan seperti biasa apabila membesar kelak.


Apakah itu Autisme?


Kebimbangan dan kerisauan terhadap autisme dalam kalangan ibubapa sememangnya tidak dapat dinafikan. Tahukah anda apa itu autisme?


Menurut pakar, Prof Madya Dr. Manisah Mohd Ali, pakar dalam bidang pendidikan khas dan literasi, autisme atau Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) gangguan perkembangan neurologikal kanak-kanak merupakan antara penyebab mereka mengalami beberapa masalah dan memberi impak yang signifikan contohnya seperti masalah komunikasi, interaksi sosial, pemikiran dan emosi serta berkaitan dengan darjah kecerdasan (IQ).


Simptom-Simptom Autisme


Kebiasaannya kanak-kanak yang mengalami autisme ini mempunyai rupa bentuk fizikal yang sama dengan kanak-kanak normal yang lain. Hal ini menyebabkan ibu bapa sukar untuk mengenal pasti masalah ini kecuali mereka sememangnya peka dan tahu akan simptom yang ditunjukkan secara konsisten oleh kanak-kanak. Jika anda ingin tahu, setiap kanak-kanak yang menghidap autisme mempunyai simptom yang berbeza-beza antara satu sama lain.


Simptom 1


Sukar menguasai atau lambat dalam penguasaan bahasa harian. Kanak-kanak autisme ini menghadapi kesukaran dalam menguasai bahasa seharian yang digunapakai. Mereka tidak dapat menstimulasikan apa yang diterima sepantas kanak-kanak biasa yang faham apa diajar.


Simptom 2


Hanya boleh mengulangi beberapa perkataan sahaja. Kanak-kanak autisme ini kebiasaannya mempunyai satu fokus sahaja. Mereka juga suka mengulangi apa yang mereka gemar. Mereka mempunyai satu corak komunikasi yang digelar ‘echolalia’, iaitu suka mengulangi percakapan orang lain. Selain itu, mereka sanggup menggunakan masa yang panjang untuk mengulangi sesuatu perbuatan seperti memusingkan badan dalam bulatan, melambai tangan di depan mata sendiri atau menggigit kuku.


Simptom 3


Tidak suka atau tidak mahu melihat mata orang lain. Kanak-kanak autisme ini sukar dan tidak menyukai 'eye contact'. Jika anda pernah berhadapan dengan kanak-kanak autisme ini mereka akan mengalihkan pandangan semasa proses komunikasi berlangsung.


Simptom 4


Sukar berinteraksi menjadi perkara utama kerana mereka mempunyai kekurangan dalam komunikasi sosial, bermain dalam kumpulan adalah aktiviti yang paling tidak disukai mereka. Mereka lebih memilih untuk berada di dalam ‘dunia’ mereka sendiri dan kadangkala ketawa serta mencederakan diri sendiri tanpa sebab. Apabila diminta untuk berhenti, mereka bertindak agresif kerana tidak sukakan sebarang perubahan tingkah laku dengan segera.


Uniknya pula, ada sebahagian mereka yang kurang sensitif terhadap rasa sakit namun mereka lebih sensitif kepada bunyi, sentuhan serta sensori (deria rasa). Sifat sensitiviti mereka yang kuat ini merupakan jawapan mengapa mereka yang tidak mahu dipeluk.


Tahap-tahap Autisme


Masalah autisme yang dihadapi oleh seorang kanak-kanak itu adalah berbeza. Terdapat sebahagian kanak-kanak yang kelihatan normal dan ada juga yang berada di tahap serius dari segi fizikal dan mental. Menurut Prof Madya Dr. Manisah Mohd Ali, autisme sememangnya mempunyai banyak tahap.


Seterusnya, autisme kategori Asperger. Kategori ini mempunyai kecerdasan yang tinggi, kebiasaannya mereka tidak menunjukkan minat sewaktu guru mengajar di dalam kelas. Namun jika diajukan soalan mereka pasti menjawab dengan betul. Kategori ini mempunyai sensor pendengaran yang baik. Namun ada juga kanak-kanak autisme yang tidak boleh berbahasa dengan baik. Mereka hanya boleh memahami sesetengah perkataan dalam konteks mereka sendiri.


Terapi dan Langkah Mengatasi


Merujuk kepada Prof Madya Dr. Manisah Mohd Ali, autisme ini tidak mempunyai terapi yang tetap. Rawatan dan terapi adalah bergantung kepada tahap autisme individu itu sendiri dan kesesuaian diri. Setiap tahap mempunyai rawatan dan terapi yang berbeza-beza.


Antara terapi yang boleh membantu anak autisme ialah terapi cara kerja (Occupational Therapy). Terapi ini membantu mengesan dan memahami bagaimana kanak-kanak autisme ini bertindak balas dengan deria. Terapi ini mampu mengurangkan tindak balas negatif ke atas rangsangan deria tersebut. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mempunyai sensitiviti terhadap deria sentuhan seperti kapas akan sentiasa mengelak untuk memakai baju atau lain-lain pakaian daripada kapas. Jadi, pemulihan cara kerja akan bertindak untuk meminimakan sensitiviti tersebut dengan mendedahkan anak tersebut kepada kapas atau struktur yang hampir sama.


Antara masalah tingkah laku lain ialah seperti tidak mahu duduk di atas kerusi, suka menjerit, suka membaling barang, suka memukul, mengibas tangan dan memanipulasi orang sekeliling.


Seorang ahli terapi cara kerja akan menggunakan teknik behavior modification bagi memastikan anak autisme ini berkelakuan baik sepanjang proses terapi. Di antara teknik behavior modification yang selalu di gunakan adalah seperti menepuk tangan, memuji kanak-kanak seperti “bagus”, “woww…good job”.


Kemudian langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa pula ialah membawa mereka keluar dan bermain. Ibu bapa perlu mendedahkan mereka dengan dunia luar. Mendapatkan rawatan daripada doktor itu perlu tetapi doktor biasanya bertindak sebagai pemberi nasihat dan terapi sahaja, kehidupan praktikal seperti membawa mereka bergaul adalah lebih bermanfaat. Berilah peluang kepada mereka untuk mempelajari dunia luar seperti anak normal yang lain. Ibu bapa juga boleh memperbanyakkan aktiviti seperti kraf tangan kerana kebanyakan kanak-kanak autisme ini mempunyai aura dan tenaga kreatif mereka tersendiri.

Ibu bapa disarankan untuk mengambil langkah awal menangani masalah autisme. Ibu bapa juga perlu peka dan prihatin terhadap tingkah laku anak-anak bagi mengenal pasti masalah autisme ini dari awal. Jika terdapat sebarang tanda-tanda dinasihatkan agar segara mendapatkan rawatan doktor.

747 views0 comments

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page