top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kenali Kentut Anda

Oleh : Harith Ashyraf

Penyunting : Rafaeil Bahri


Sumber: Google


Pernahkah anda terfikir mengapa kita sering kentut? Sistem penghadaman manusia merupakan antara bahagian terpenting di dalam badan kerana ia dianggap sebagai pusat segala operasi tubuh. Hal ini kerana, bahagian ini bertindak untuk mencerna makanan dan menyerap segala nutrisi penting yang diperlukan bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan. Sekiranya organ ini berfungsi dengan baik, ia bermakna kita menggunakan semua nutrisi yang diserap dengan berkesan sekaligus meningkatkan fungsi otak.

Namun begitu, kegagalan sistem pencernaan untuk beroperasi dengan baik mampu memberi kesan kepada tindak balas badan untuk mengeluarkan suatu gas yang mungkin menggangu kita serta persekitaran. Kentut atau dalam bahasa perubatannya ‘flatulence’ merupakan tindak balas biologi badan yang normal dimana gas terhasil daripada sistem pencernaan dan usus. Ketika sedang asyik menikmati dan menelan makanan, secara tidak sedar kita juga sebenarnya telah menelan sejumlah udara oksigen serta nitrogen yang terdapat di udara. Ia akan diserap sekali oleh tubuh ketika udara berada di usus kecil dan kentut akan terjadi untuk membuang sisa tersebut kerana dianggap sudah tidak diperlukan lagi.

Menurut pakar perubatan daripada Hospital Kajang, Dr Zubir Ahmad, ada kalanya kentut terhasil apabila proses fermentasi atau penghuraian makanan menyerap sebahagian gas ke dalam darah untuk dialirkan kepada paru – paru. Manakala sebahagian lagi akan dibuang dengan cara dikeluarkan terus hingga ke saluran pencernaan yang paling akhir iaitu anus. Selain daripada itu, masalah seperti sembelit, jangkitan kepada usus, gangguan penyerapan zat besi dan sakit perut dapat membuat seseorang itu kentut dengan lebih kerap.

Jangan risau kerana tindak balas ini merupakan lumrah biasa bagi semua manusia akan tetapi, di dalam sesetengah situasi, ia mampu membuatkan seseorang itu segan untuk kentut di atas beberapa faktor. Faktor yang pertama adalah mungkin disebabkan bunyi yang dikeluarkan ketika kentut. Bunyi tersebut boleh menjadi perlahan, kuat dan kadang kala tidak berbunyi. Bunyi kentut yang kuat inilah membuatkan naluri semulajadi malu sebagai seorang manusia itu timbul tambahan lagi apabila berada di tempat umum yang dipenuhi orang di sekeliling kita.

Seterusnya, faktor bau juga mendorong seseorang itu untuk sanggup menahan sisa gas kentut daripada dirembeskan ke luar persekitaran. Hakikatnya manusia tidak akan lari dengan bau kentut yang seakan – akan sama dengan bau telur rosak tidak kira seseoang itu cantik atau segak. Didapati bahawa tahap bau hydrogen sulfida ini bergantung kepada makanan yang dimakan oleh manusia. Antara makanan yang mampu merangsang bau kentut menjadi lebih busuk adalah seperti petai, bawang putih, bawang merah dan minuman beralkohol.

Ada penelitian dari sebuah artikel ‘higherperspectivehealth 2016’ yang menunjukkan menghirup kentut yang berbau sebenarnya adalah baik untuk kesihatan. Terdapat sejenis penyakit yang disebut sebagai dementia (penyakit otak) dimana gas hidrogen sulfida mengubah cara enzim berfungsi untuk melawan penyakit tersebut. Lagi busuk bau kentut seseorang, membuktikan bahawa sistem pecernaan semuanya berkerja dengan keadaan baik di dalam perut. Tetapi terpulanglah di atas diri masing – masing dalam kesanggupan untuk membau kentut sendiri yang mungkin mengerikan (busuk).

“Sebenarnya, kita tidak seharusnya malu untuk kentut, tetapi cuba sebaiknya mengawal keadaan dengan meminta laluan dan pergi ke tempat yang jauh sedikit daripada khalayak awam. Ini bagi menghormati suasana masyarakat agar tidak terganggu tambahan lagi masyrakat di Malaysia amat peka dengan adab yang dipamerkan oleh setiap individu. Dari sudut kesihatan, kentut adalah bagus kerana ia mengeluarkan sisa – sisa gas yang tidak diperlukan dalam badan, kecuali kentut yang kerap serta berulang sebagai petanda sakit. Penyakit tersebut adalah seperti buasir dan iritasi pada usus”, ulas Dr Zubir.

Apabila ditanyakan tentang mampukah kita mengurangkan jumlah kentut dalam sehari, beliau menyatakan bahawa sememangnya jumlah tersebut boleh dikurangkan dengan menjaga diet pemakanan yang seimbang dan betul.

“Kita mempunyai cara untuk mengawal jumlah kentut dalam sehari. Kuncinya adalah dengan memakan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Pola pemakanan juga harus dijaga dan makan dengan waktu yang sesuai serta tidak terlalu berlebihan atau terlamapu kurang kadar makanan tersebut. Makanan seperti susu, aprikot, kacang dan sayur – sayuran juga membantu dalam mengurangkan peratusan kentut seharian.”

121 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page