• Nadi Bangi

Keputusan Prk Ditarik Balik

Oleh: Nur Nadzra Natasha Binti Zulkifli

Editor: Jesika Berliana



BANGI, 24 Nov – Keputusan Pilihanraya Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (PRK UKM) yang diumumkan di Dewan Gemilang UKM pada 14 November 2019 lalu telah ditarik semula apabila terdapat kesilapan semasa melakukan penjumlahan undi.


PRK UKM yang diadakan pada setiap tahun memperlihatkan perubahan besar pada tahun ini apabila buat pertama kalinya dalam sejarah pemilihan ahli Majlis Perwakilan Pelajar UKM (MPPUKM) dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar, seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk memperkasakan mahasiswa.


Menurut Ketua Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) UKM, Hariz Rahim yang merupakan pelajar tahun empat jurusan Undang-Undang, masalah tersebut berpunca daripada kecuaian pihak penjumlahan undi sendiri.


“Jika saya boleh rujuk kenyataan rasmi JPMPP iaitu selepas keputusan diumumkan pada 14 November lalu, pihak pusat penjumlahan undi mendapati jumlah undi adalah tidak tepat sehingga membawa kepada perbezaan yang besar. Hal ini berpunca daripada kecuaian pihak penjumlahan undi yang tidak memasukkan keputusan undian awal bagi pelajar-pelajar Fakulti Pergigian pada 8 November lalu. Susulan daripada pengumuman keputusan itu juga, satu bantahan rasmi atas keputusan yang diumumkan telah dibuat.


“Sebaik sahaja pihak JPMPP mendapati terdapat kesilapan pada keputusan yang diumumkan, pihak penjumlahan undi telah bertindak memasukkan keputusan undian awal dan terus menyemak semula keputusan undian.


“Bagi memberi keadilan kepada semua pihak, JPMPP juga telah memanggil perwakilan daripada kumpulan pelajar dan juga calon-calon bagi kawasan pemilihan yang terkesan di Bilik MPP pada 15 November untuk melihat sendiri proses penjumlahan semula undi.


“Pengumuman keputusan rasmi PRK UKM telah disiarkan di laman-laman sosial rasmi JPMPP pada 16 November lalu sekitar jam 5 petang selepas proses penjumlahan semula dilakukan.”


Sumber: Instagram @jpmppukm

Pelajar tahun tiga jurusan Pentadbiran Perniagaan yang juga merupakan salah seorang pengundi PRK UKM tahun ini, Ummi Sofiah, turut mengemukakan pandangan berkaitan isu ini.


“Pada awalnya, saya berasa gementar dan teruja untk mengetahui keputusan muktamad PRK. Namun apabila masa yang diambil untuk membuat pengumuman terlalu lama, saya menjadi penat untuk menantikan keputusan PRK tahun ini,” katanya.


Sementara itu, menurut pelajar jurusan Kimia dan Proses pula, Haflia Safika, tempoh agak panjang yang diambil oleh pihak JPMPP bagi membuat penjumlahan semula undi dan mengumumkan keputusan membuatkannya sebagai pengundi berasa semakin berdebar.


“Menunggu keputusan saja sudah mendebarkan apatah lagi jika keputusan dikeluarkan lambat daripada kebiasaanya akibat masalah-masalah dalaman, sudah pasti semakin mendebarkan.”


Sebanyak empat parti telah bertanding pada PRK UKM kali ini iaitu Parti Kongres Siswa, Wawasan Kebangsaan, Inspirasi dan Bebas. Keputusan walau bagaimanapun berpihak kepada Parti Kongres Siswa yang berjaya menawan UKM dengan memenangi sebanyak 18 kerusi.

81 views0 comments

Related Posts

See All