top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kerajaan Cipta 24,300 Peluang Pekerjaan

Penulis: Elida Najwa Mohd Subri

Penyunting: Shafa Alvia Rizka

Sumber: Google


KUALA LUMPUR, 12 Dis – Sebanyak 24,300 peluang pekerjaan buat golongan belia telah disediakan oleh kerajaan dalam usaha untuk memperkasakan kesejahteraan sosial Keluarga Malaysia.


Perdana menteri memberitahu, di bawah inisiatif penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), seramai 14,740 pelajar telah mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan melalui Program GetHired@KPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).


“Melalui portal MyFutureJobs pula, Kementerian Sumber Manusia menyediakan sebanyak 55,528 penempatan pekerjaan daripada pelbagai sektor. Bagi tempoh 1 September hingga 9 Disember, sejumlah 728,444 kekosongan telah didaftarkan di portal yang sama.” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur minggu lalu.


“Hari ini saya ingin mengumumkan, 24,300 peluang pekerjaan melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di program Aspirasi 100 Hari sepanjang empat hari ini”.

Selain daripada bantuan peluang pekerjaan, perdana menteri Dato’ Sri Ismail Sabri juga memberitahu kerajaan memperuntukan sebanyak RM8.2 bilion melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan disalurkan secara berperingkat kepada 9.6 juta penerima yang layak tanpa mengira latar belakang kaum.

“BKM ini merupakan pemberian tunai yang ditambah baik bagi memastikan manfaat disampaikan terus kepada mereka” ujarnya lagi.

“Saya telah melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia pada 23 Oktober 2021, sebagai manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, untuk menjaga kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak ini.”

Beliau berkata melalui Bajet 2022, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi tujuan ini. Yayasan Keluarga Malaysia ini juga diwujudkan bagi memberi perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia akibat COVID-19 dan bencana-bencana lain.


Perdana menteri juga menegaskan bahawa salah satu fokus kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan sosial di bawah teras ketiga Keluarga Malaysia ialah program vaksinasi.


Melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.8 bilion bagi pelaksanaan program vaksinasi yang meliputi perolehan, logistik, pengurusan, sanitasi, pelaksanaan, program advokasi dan lain-lain.


“Oleh sebab perancangan PICK yang bersifat jangka panjang, program vaksinasi PICK Remaja dapat dijalankan dengan serta merta, selepas mendapat kebenaran daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)” jelas beliau.


Semenjak program ini dilaksanakan, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa sudah mencapai 97.2 peratus manakala kadar vaksinasi bagi remaja yang berumur 12 hingga 17 tahun sudah mencapai 86.6 peratus.


Selain daripada itu, perdana menteri turut memberitahu Aspirasi Keluarga Malaysia juga memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Melalui program meningkatkan kesejahteraan sosial, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mendaftarkan 2,350 permohonan OKU baharu pada November 2021 di seluruh Malaysia melalui program MyDaftarOKU.


“Kad OKU secara digital pula dapat dikeluarkan dalam tempoh 24 jam selepas mendapat kelulusan. Hal ini akan memudahkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan dengan lebih pantas dan tuntas”.

9 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page