Nadi Bangi
Kerjasama Berpasukan Bantu Keramat Tea Harungi Pandemik
Updated: Jun 11, 2021
Oleh: Farhan Nasir
Penyunting: Ercy Gracella

Sumber: Instagram @keramattea
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Pemilik sebuah perniagaan bubble tea jenama tempatan iaitu Keramat Tea yang kini sedang mendapat perhatian orang ramai khususnya di sekitar kawasan Keramat mengakui bahawa kerjasama berpasukan antara pekerja dan majikan menjadi tunjang utama kepada perniagaan mereka untuk terus beroperasi di saat pandemik COVID-19 melanda dunia.
Menurut pemiliknya, pasangan Azhar Mat Zain dan Farhana Ghazali, jika bercakap mengenai usaha dan kesungguhan dalam menjalankan perniagaan ketika pandemik ini, mereka perlu memberikan penghargaan kepada kesemua pasukan pekerja mereka yang bertungkus-lumus tanpa mengenal erti penat. “Team kami tak merungut bila susah malah bersama-sama berganding bahu untuk menaikkan semula business apabila pandemik makin pulih” kata Azhar.
Perniagaan yang bermula dengan hanya sebuah gerai menjual teh ais pada tahun 2018 di Keramat itu mengambil masa 6 bulan untuk mula dikenali orang ramai. Setelah setahun menjalankan perniagaan, Azhar telah melihat potensi untuk mengembangkan perniagaannya daripada sebuah gerai kepada sebuah kafe. Pada tahun 2019, Keramat Tea yang terkenal dengan konsep “Cepat dan Murah” telah membuka cawangannya yang pertama di Keramat Au3 dan ia menyebabkan jenama Keramat Tea semakin dikenali. Menurut Azhar lagi, “Rezeki tidak menyebelahi kami apabila kami terpaksa menunda pembukaan cawangan kedua di Setiawangsa kerana pihak kerajaan telah mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum tarikh pembukaan.”
Azhar serta pasukannya mula mengatur strategi baru iaitu terus beroperasi di cawangan pertama dan mula menumpukan kepada perkhidmatan penghantaran. Pada peringkat awalnya, Azhar sendiri yang menggalas tanggungjawab membuat penghantaran kepada pelanggan. Setelah mereka mula mengadaptasi dengan norma kehidupan baru, mereka mula mengubah strategi dengan mendaftar dibawah syarikat penghantaran Food Panda dan Grabfood untuk memastikan mereka dapat kekal meneruskan perniagaan.
“Kos kerugian tu saya tak boleh bagi secara spesifik. Cuma kerugian tu biasalah asam garam orang berniaga kan. Ini cabaran yang membuatkan kami lebih bijak untuk mengatur strategi.”ujar Azhar.
Beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi ketika mereka memulakan perniagaan. Antaranya ialah kurang mendapat sambutan kerana orang ramai belum mengenali perniagaan mereka , air jualan yang tidak terjual, hujan lebat sehinggakan khemah dan kerusi yang digunakan hilang ditiup angin, barang perniagaan dirampas oleh penguatkuasa tempatan dan pelbagai lagi.
“Itu semua pengalaman yang bila kita ingat balik, memang tersenyum je la. Selain itu, pengalaman manis juga bila kita nampak perubahan dari sebuah gerai ke kafe dan buka lebih banyak cawangan. Dengan cara ini, kami boleh menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan selain membantu mereka mencari ilmu perniagaan.” kata Azhar.
Selain aktif melayan pelanggan secara fizikal dan melalui penghantaran, Keramat Tea juga aktif melayan pelanggan di media sosial seperti Facebook dan Instagram. Hal ini dilakukan untuk menjadikan nama Keramat Tea lebih dikenali ramai dan ternyata ianya mendapat sambutan dan sokongan. Dalam satu hantaran Facebook menerusi akaun Mohd Safwan Kamarudin berkata, “Terbaik Keramat Tea, boleh cakap seminggu tiga empat kali beli, tak jemu.” Aiman Asyraf Khairuddin pula melalui hantaran Facebooknya berkata, “Terbaik, Keramat Tea memang dihati. Dulu PKP banyak repeat.”
Sejak mula berniaga sebagai gerai minuman sehingga kini, Keramat Tea sudah berjaya melebarkan sayapnya dengan membuka dua buah cawangan iaitu di Keramat Au3 dan Setiawangsa.