Nadi Bangi
Kesan Coronavirus Terhadap Ekonomi Global Dan Malaysia
Oleh: Amirul Naim Baseri
Penyunting: Alis Awasi

Sumber: WeForum.org
Coronavirus telah menyebabkan ekonomi global jatuh merudum apabila semua sektor terkesan seperti sektor teknologi dan tenaga. Harga minyak dunia jatuh 30% iaitu kejatuhan terbesar sejak Perang Teluk pertama pada tahun 1991. Hal ini berikutan dengan kekurangan permintaan terhadap bahan bakar ini kerana pengangkutan,pelancongan dan penerbangan terjejas akibat COVID-19 yang mengurangkan aktiviti luar. Turut terjejas Sektor perhotelan dan pelancongan yang berkurangan disebabkan oleh kuarantin dan kekurangan keluar masuk pelancong. Pusat beli-belah dan perniagaan yang berpaksikan pasaran China mengalami penurunan apabila kekurangan pelanggan. Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah dalam usaha luar biasa untuk merangkumi kejatuhan ekonomi akibat coronavirus. Dalam langkah kecemasan pertama mereka sejak krisis kewangan 2008, mereka menurunkan kadar faedah mereka sebanyak setengah mata. Potongan dramatik dalam kadar faedah AS gagal memberi kesan yang dikehendaki. Sektor perkilangan dan pelancongan kurang memuaskan menambah jurang pasaran saham dan menyebabkan pasaran saham jatuh.
China dan Amerika merupakan kuasa besar ekonomi dunia yang menjadi tulang belakang ekonomi dunia. Ini kerana kebanyakan negara dunia bergantung kepada perjalanan ekonomi Amerika dan China. China adalah negara mempunyai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan paling cepat pernah mencapai tempat kedua dengan AS kekal sebagai pendahulu. Terdapat banyak syarikat merentas pelbagai industri di seluruh dunia yang bergantung kepada pengeluaran negara China untuk terus beroperasi. Oleh itu, apabila Coronavirus menyerang China maka ianya mendatangkan kesan mendalam terhadap ekonomi global.
Coronavirus yang melanda negara China pada awal penularannya telah menyebabkan ketidaktentuan pertumbuhan dan perjalanan ekonomi di China dan seterusnya ekonomi global apabila ekonomi dunia bergantung kepada ekonomi negara ekonomi besar ini. Kini apabila seluruh dunia terjejas akibat wabak COVID-19 menyebabkan semua pasaran dunia, saham, minyak dan sebagainya telah jatuh. Tambahan pula, kebanyakan syarikat antarabangsa mempunyai kilang pengeluaran di China, ini termasuk jenama terkenal seperti Nike, Adidas, GAP dan Abercrombie & Fitch, syarikat gergasi telekomunikasi seperti AT&T, syarikat teknologi seperti Apple dan banyak lagi.
Wabak ini juga memberi impak kepada perjalanan dan penerbangan ulang-alik ke China atau seluruh dunia menyebabkan pasaran dan ekonomi global jatuh, seterusnya pelabur menukar pelaburan kepada mod berhati-hati dengan beralih kepada pelaburan yang selamat iaitu emas. Permintaan yang tinggi terhadap emas akan menyebabkan harga emas naik dan menjanjikan keuntungan.
Kesan Coronavirus Terhadap Ekonomi Malaysia
Wabak COVID-19 juga telah merebak ke Malaysia dan menganggu-gugat ekonomi Malaysia. Antara yang teruk terjejas adalah sektor penerbangan, perhotelan, pelancongan dan harga petroleum. Kejatuhan harga petroleum yang merupakan pendapatan utama negara dan kejatuhan industri pelancongan yang merupakan penjana pertukaran asing kedua terbesar menyebabkan Malaysia mengalami kerugian dalam skala besar. COVID-19 memberikan kesan yang drastik kepada harga minyak. Ini dibuktikan dengan harga bagi setong merosot lebih 50 peratus yang akan mengurangkan pendapatan negara kepada RM30 bilion. Syarikat penerbangan dan industri pelancongan juga mengalami kerugian akibat Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia untuk menyekat penularan covid-19 akan menyebabkan hotel, pengangkutan darat, restoran akan mengalami kerugian dan seterusnya ramai pekerja akan menderita kerana berhadapan kemungkinan untuk dibuang kerja.Berikutan dengan masalah yang berlaku ini, kerajaan telah memutuskan untuk memberi beberapa jenis bantuan kepada individu yang memerlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup seperti diskaun penggunaan elektrik di samping penangguhan bayaran semua pinjaman bank di bawah seliaan bank negara malaysia selama 6 bulan demi membantu rakyat di dalam era pandemik COVID-19 ini.
Namun begitu, pakej rangsangan ekonomi susulan penularan wabak COVID-19 membabitkan peningkatan perbelanjaan kerajaan selain menyaksikan penurunan dalam kutipan cukai dan pada masa sama, meskipun sekatan perjalanan separa dikenakan, langkah itu akan mengurangkan perniagaan dan hasil, yang sekali lagi menjejaskan pendapatan kerajaan malaysia.
Wabak COVID-19 menyebabkan kemelesetan ekonomi seluruh dunia termasuk Malaysia. Kemelesetan ekonomi malaysia menyebabkan kejatuhan nilai wang. Kejatuhan nilai ringgit Malaysia akibat kesan kemelesetan ekonomi global akan menyebabkan harga emas dalam ringgit malaysia akan naik secara mendadak. Hal ini kerana harga emas dunia diniagakan dalam dolar amerika. Maka harga emas dalam sesuatu negara berubah apabila nilai matawang berubah kerana perubahan nilai matawang berbanding matawang dolar. Kesan Coronavirus telah menyebabkan kejatuhan nilai wang yang teruk dimana nilai wang 1 dolar didagangkan bersamaan RM4.43.
Kesan Coronavirus Terhadap Harga Emas
Kejatuhan nilai wang juga akan menaikkan harga emas dalam Malaysia. Walaupun, harga emas dunia masih di paras yang rendah, namun akibat ketuhan nilai wang ringgit Malaysia akibat kemerosotan ekonomi menyebabkan harga emas dalam ringgit Malaysia masih mencatatkan harga yang tinggi dalam pasaran. Ini adalah disebabkan emas yang didagangkan dalam harga USD dan matawang Malaysia yang bersandarkan kepada USD mencatatkan perbezaan nilai dalam pasaran
Coronavirus yang melanda kita ini mungkin dilihat sebagai gelombang penyakit semata-mata oleh orang biasa namun hakikatnya COVID-19 juga gelombang kemeruduman ekonomi yang memberi kesan yang lebih besar kepada negara dan rakyat. Ramai yang tersiksa akibat pandemik ini sehingga dilaporkan bahawa kes bunuh diri meningkat setiap hari di seluruh dunia akibat tidak tahan dengan tekanan kewangan. Namun begitu, Sudah bersediakah kita dengan simpanan kecemasan selama 6 bulan seperti yang dianjurkan oleh pakar ekonomi ?.jika kita sudah mempunyai simpanan seeloknya kita bertindak segera untuk menukarkan simpanan tersebut kepada bentuk emas untuk menjamin nilai simpanan anda. Coronavirus bukan sahaja berkenaan memperangi wabak penyakit semata-mata tetapi juga merupakan perjuangan untuk terus hidup dalam keadaan ekonomi sekarang yang menekan.
Pada pertengahan bulan Februari, emas mencapai aras psikologi sebanyak $1,600 yang penting dan terus meningkat sejak itu. Sesetengah penganalisis percaya bahawa selagi Coronavirus ini terus memberi impak kepada pasaran, harga emas boleh terus melonjak naik di sepanjang masa tahun 2020 dengan menghampiri $1,900, seperi yang telah berlaku pada tahun 2011.
Kesan coronavirus akan terus memberikan kesan kepada ekonomi global dan ekonomi Malaysia, dan turut memberikan kesan kepada naik turun harga emas. Banyak lagi sebab atau alasan serta ramalan bekenaan harga emas ini. Kesan Coronavirus akan menyebabkan kemelesetan ekonomi dunia dan Malaysia dan seterusnya harga emas dunia.
Jika hal ini berterusan maka kita akan diperlihatkan kepada beberapa revolusi dalam perniagaan dan gaya hidup seharian. Ini kerana di waktu pandemik ini kebanyakkan industri berubah kepada mod hibrid iaitu kepada separa atas talian yang dilihat lebih memudahkan, efisien dan menjimatkan. Sebagai contoh industry makanan yang tidak memerlukan kedai fizikal untuk menjual dan boleh menjadikan rumah sebagai tempat operasi dan fokus kepada pemasaran secara atas talian yang lebih menjimatkan dan menggunakan khidmat penghantaran grabfood dan foodpanda untuk menghantar makanan kepada pelanggan.
Rata-rata mereka yang diberhentikan kerja juga kini merupakan pemilik bisnes, bertukar karier dan kebanyakkan mereka bertukar kepada mod survival dalam situasi ekonomi. Secara tidak sedar mereka-mereka inilah yang meneruskan pengaliran wang dalam negara seterusnya membantu peredaran ekonomi negara.
Penemuan vaksin covid-19 memberikan kelegaan kepada umum dan memberikan sedikit nafas lega kepada kebanyakkan pemilik perniagaan terutamanya di sektor perhotelan dan penerbangan untuk kembali beroperasi dan mengembalikan situasi normal dan rekrut pekerja mereka.
Ramai turut maklum bahawa kehidupan selepas pandemik ini juga akan turut berevolusi kerana ekonomi kini berubah kepada gig ekonomi yang mementingkan skill dan bakat berbanding kelayakan dan sijil perngiktirafan semata-mata. Hal ini kerana majikan kini lebih berminat kepada pekerja yang cekap dan berkaliber untuk melakukan pelbagai kerja berbanding merekrut mereka yang mempunyai kelayakan namun belum terbukti kecekapan dalam melakukan kerja.