• Nadi Bangi

Kesihatan Diri Aset Paling Bernilai

Oleh : Sharifah Sofeena

Penyunting : Shafiq Haizad

Sumber : Google


Kesihatan merupakan aset yang terpenting dan perlu dititikberatkan agar tubuh badan sentiasa sihat. Penggunaan teknologi digital menyebabkan seseorang menghabiskan banyak masa dengan hanya duduk dan melihat skrin komputer atau telefon pintar. Oleh itu, setiap individu perlu mengambil inisiatif untuk mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengelak daripada risiko mendapat penyakit.


Antara masalah kesihatan yang ketara di Malaysia ialah obesiti, penyakit jantung dan diabetes. Hasil Tinjauan Kebangsaan Morbiti (NHMS) pada 2019 mendapati bahawa sebanyak 50.1% daripada orang dewasa mempunyai sama ada berlebihan berat badan atau obes di mana 30.4% adalah berlebihan berat badan manakala 19.7% peratus adalah obes. Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa Malaysia merupakan salah sebuah negara yang tergemuk di Asia. Menurut Laporan Perangkaan Sebab Kematian di Malaysia 2019 pula, sebanyak 18,267 kematian (15.6%) daripada 117,387 kematian pada 2018 disebabkan penyakit jantung. Meskipun Malaysia mempunyai sistem dan kemudahan kesihatan yang baik, gaya hidup yang sihat perlu diamalkan terlebih dahulu kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.


Menambah ilmu tentang gaya hidup sihat


Kebiasaannya orang yang menghidap sesuatu penyakit akan berazam untuk mengubah dan menjaga kesihatan diri. Hal ini demikian kerana mereka ingin mengelak penyakit yang dihidapati menjadi lebih serius atau ingin pulih daripada penyakit tersebut. Ada juga yang bersemangat dan mempunyai motivasi yang tinggi setelah melihat orang lain mengamalkan gaya hidup sihat sehingga menunjukkan transformasi yang baik. Dewasa ini, ramai orang yang berkongsi tentang amalan yang dilakukan untuk mempunyai gaya hidup yang sihat di platform media sosial seperti Instagram, Tiktok dan Youtube. Namun, setiap individu perlu berhati-hati kerana tidak semua info yang disampaikan adalah betul dan perlu bijak mencari maklumat tambahan agar tidak tersilap langkah. Antara contoh info yang salah disebarkan adalah seperti pemilihan produk rendah lemak yang dipercayai bagus untuk kesihatan tetapi hakikatnya mempunyai nilai kalori yang tinggi.


Peka dengan pemakanan yang diambil


Tidak ramai rakyat Malaysia yang melihat jumlah kalori pada label makanan ketika membeli makanan seperti roti,air dan sebagainya. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan satu kajian tentang kesedaran orang ramai berkaitan kesihatan dan mendapati bahawa hanya 6.6% rakyat Malaysia yang celik kesihatan pada tahap yang baik. Kajian tersebut turut meliputi tentang pengetahuan gaya pemakanan sihat termasuk jumlah hidangan, pengambilan lemak dan pengambilan kalori. Mengetahui keperluan kalori juga penting kerana pengambilan kalori yang berlebihan atau kekurangan akan mendatangkan risiko penyakit seperti penyakit jantung atau hipertensi sekiranya berlebihan dan bantut dalam kalangan kanak-kanak bagi kekurangan pengambilan kalori dalam tempoh masa yang lama.


Bersenam


Selain menjaga pemakanan, bersenam juga merupakan salah satu cara untuk mempunyai kesihatan yang baik. Setiap individu juga perlu mengetahui jenis senaman bersesuaian dengan tahap kesihatan diri serta kekerapan bersenam. Selain dapat menjaga kesihatan dan menurunkan berat badan, bersenam juga dapat mengawal dan menurunkan risiko tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit jantung dan kolestrol tinggi. Ketika musim pendemik ini, ramai yang menghabiskan masa membuat kerja secara atas talian dan duduk lama. Antara rutin yang boleh dibuat di rumah ialah membuat kerja rumah, berkebun, berdiri semasa bercakap di telefon atau berjalan kaki ke kedai berhampiran atau di pekarangan rumah. Bersenam juga dapat menggalakkan untuk mengekalkan berat badan yang sihat iaitu BMI di antara 18.5 dan 24.9.


Menjaga kesihatan mental


Penularan wabak Covid-19 juga turut memberikan kesan kepada kesihatan mental kerana ramai yang terkesan kerana masalah kehilangan pekerjaan, berjauhan dengan ahli keluarga dan sebagainya. Malah sebelum pandemik berlaku juga, statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, mendapati hampir setengah juta penduduk Malaysia mengalami kemurungan. Mempunyai fikiran dan tanggapan positif dapat mengatasi masalah stres dan tidak bertindak mengikut emosi. Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai hubungkait antara kesejahteraan kesihatan fizikal dan mental mendapati bahawa penyakit mental boleh menggangu sistem imun badan, gaya hidup yang tidak sihat, peningkatan hormon stres dan sebagainya. World Health Organization (WHO), juga berpendapat bahawa kesihatan yang baik merangkumi kedua-dua kesihatan fizikal serta kesihatan mental. Kesihatan mental yang terjejas boleh menyebabkan gejala fizikal kerana ia bersaling kait. Semua orang perlu memainkan peranan dan membantu antara satu sama lain kerana isu masalah mental masih lagi mempunyai stigma dalam kalangan rakyat Malaysia. Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) juga telah mewujudkan talian sokongan psikososial bagi menangani isu kesihatan mental untuk mereka yang memerlukan.

399 views0 comments