top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ketahui Apa Itu Kanser Usus

Penulis: Amiera Hanis Hussin

Penyunting: Siti Masyitah Shabri


Sumber : Google

Pernahkah anda mengambil tahu mengenai kesihatan usus anda? Adakah anda tahu apa itu kolon dan rektum? Benar, usus sememangnya organ dalaman yang sukar dilihat menggunakan mata kasar, tetapi ini tidak bermakna kita perlu mengabaikanya. Baru-baru ini, anggota kumpulan komedi iaitu Pak Lah Cecupak atau nama sebenarnya Noor Affendi Nurdin dilaporkan meninggal dunia pada usia 53 tahun akibat kanser usus tahap empat. Penyakit kanser ini jarang dibualkan oleh masyarakat jika dibandingkan dengan penyakit-penyakit yang lain. Namun, kita perlu mengambil tahu serba sedikit apa itu kanser kolon dan rektum.


Kolon dan rektum adalah bahagian segmen usus besar di dalam badan. Usus besar ini memainkan peranan penting untuk proses penghadaman makanan dan pembuangan najis. Kanser kolon dan rektum adalah yang paling lazim di dunia. Di Malaysia sahaja dianggarkan sebanyak 37,400 kes kanser yang dikesan pada setiap tahun. Sejumlah 21,700 kes kematian setiap tahun disebabkan oleh kanser. Kanser ini adalah yang kedua lazim selepas kanser payudara. Kanser kolon dan rektum ini adalah yang pertama di kalangan kaum lelaki dan kedua di kalangan kaum wanita dan dijangka akan terus meningkat dari tahun ke tahun.


Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Mahkota Medical Center, Dr Azali Hafiz Yafee

Sumber: Laman Sesawang Mahkota Medical Centre


Mengikut temubual yang dibuat, Dr Azali Hafiz Yafee Bin Amar yang merupakan Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Mahkota Medical Center, Melaka menyatakan bahawa kanser ini pada peringkat awal mungkin tidak menunjukkan gejala-gejala yang jelas. Terdapat beberapa gejala yang perlu diberi perhatian seperti perubahan kekerapan membuang air besar seperti cirit birit, sembelit yang berterusan, penurunan berat badan yang ketara, sakit perut yang berterusan, pendarahan semasa membuang air besar (najis bercampur darah), pucat dan kembung serta sakit perut disebabkan oleh usus besar yang tersumbat. Sehingga kini, punca sebenar kanser ini masih tidak dapat difahami dan diketahui dengan tepat dan jelas. Kanser ini berkemungkinan disebabkan oleh penglibatan banyak faktor dan mungkin kejadian ini berlaku melibatkan tempoh jangka masa yang panjang.


Faktor-Faktor Berlakunya Kanser Kolum dan Rektum

Antara faktor yang menyebabkan seseorang itu menghidap kanser kolon dan rektum ini adalah disebabkan faktor umur. Insiden kanser ini meningkat seiring dengan peningkatan umur seseorang. Lebih dari 90% kes yang melibatkan kanser di Malaysia berlaku pada umur melebihi 40 tahun. Faktor kedua adalah disebabkan oleh polip. Polip merupakan ketumbuhan yang berlaku pada permukaan usus besar. Kebanyakan kanser bermula dengan polip. Terdapat jenis polip yang tertentu yang boleh menyebabkannya membesar kemudian membawa kepada kanser. Seterusnya disebabkan oleh faktor keturunan. Mana-mana ahli keluarga yang ada menghidap kanser kolon dan rektum pada usia muda mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap kanser ini, begitu juga dengan pesakit yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah menghidap kanser ovari, rahim dan payudara, mempunyai risiko untuk mendapat kanser kolon dan rektum.


Selain itu, kanser kolon dan rektum juga disebabkan oleh pemakanan. Makanan yang mengandungi banyak lemak dan kurang serat mempunyai hubung kait dengan penyakit ini. Oleh sebab itu, penjagaan makanan sangat penting untuk diamalkan oleh setiap individu. Seterusnya adalah disebabkan oleh rokok. Penghisap rokok mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk pembentukan polip dalam usus. Sekitar 30% hingga 40% penghidap kanser adalah dari kalangan perokok. Akhir sekali, berat badan dan kecerdasan harian juga sangat memainkan peranan yang penting dalam menjadi penyebab seseorang itu menghidap kanser kolum dan rektum. Masalah kegemukan atau berat badan yang berlebihan serta kurang bersenam mempunyai risiko untuk menghidap kanser.


“Doktor boleh mengesan penyakit berdasarkan daripada temubual dan pemeriksaan kesihatan pesakit seperti yang dijelaskan di atas. Selanjutnya, doktor perlu menjalankan prosedur seperti sigmoidoskopi atau kolonoskopi (ujian yang dilakukan untuk mengesan bahagian hujung usus besar) untuk memeriksa usus besar dan mengambil sampel tisu untuk dihantar ke makmal untuk pengesahan. Pengambilan sampel darah dan radiologi juga penting untuk tujuan mengklasifikasikan tahap dan pemantauan kanser.” – Dr Azali Hafiz Yafee


Langkah-Langkah Pencegahan

Seperti penyakit-penyakit yang lain, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Kita mungkin tidak dapat menghalang terjadinya kanser secara keseluruhan. Tetapi kita dapat mengurangkan risiko untuk mendapat kanser dengan cara mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti pemakanan yang seimbang. Lebihkan pengambilan makanan yang berserat seperti sayuran, bijirin serta buah-buahan, meningkatkan aktiviti-aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang normal.


Tidak dapat dinafikan ramai pesakit mengalami gangguan emosi apabila disahkan menghidap kanser. Kebanyakan dari mereka yang menerima keputusan ujian yang telah dibuat dengan perasaan yang terkejut, sedih, hampa, bimbang, kecewa serta marah kerana tidak dapat menerima hakikat tersebut. Oleh itu, penghidap penyakit kanser usus besar ini amat disarankan supaya tidak tangguh untuk mendapatkan rawatan di hospital sebaik sahaja disahkan menghidap kanser. Lebih cepat anda mendapatkan rawatan, lebih tinggi peluang anda untuk sembuh. Kanser hanyalah satu perkataan, bukannya satu hukuman. Manusia hanya mempunyai satu nyawa, hanya satu peluang untuk membuat segala yang dihajati.

127 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page