Oleh: Kishan Kumar Selvaraju
Penyunting: Keziah Shamma Mahendran
Sumber: Google
Tindakan pihak kerajaan yang menetapkan SOP yang kurang jelas, ditambah pula dengan institusi pengajian tinggi (IPT) yang bercadang untuk membuka semula institusi pendidikan bagi sejumlah pelajar serta menggalakkan kepulangan pelajar ke kampus bagi menggunakan kemudahan makmal hanya untuk mereka menutup semula institusi tersebut apabila terdapatnya peningkatan dalam kes jangkitan COVID-19 dalam jangka masa pendek sememangnya membebankan pelajar, lebih-lebih lagi dengan norma baru yang terpaksa dibiasakan oleh mereka bagi memastikan diri masing-masing tidak ketinggalan dalam menimba ilmu.
Walaupun pada mulanya pelajar menghadapi cabaran membiasakan diri dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian, lama-kelamaan majoriti daripada mereka telahpun menjalankan pelbagai usaha yang membantu bagi memudahkan proses pembelajaran dengan menggunakan aplikasi dan gadget tertentu. Namun begitu, walaupun secara fizikalnya, ramai yang cuba dengan sedaya upayanya untuk menyelesaikan tugasan mingguan dan lain-lain aktiviti yang diberikan oleh pihak pengajar melalui kelas fizikal dan atas talian yang saling bersilih-ganti, hakikatnya ramai yang sedang berdepan dengan masalah kesihatan, terutamanya dari segi mental.
Tekanan mental seperti kemerosotan sokongan psikososial dengan situasi yang memaksa pelajar untuk berhadapan dengan skrin komputer sepanjang masa, mengejar tarikh penghantaran tugasan dan menghadiri kuliah sudah pastinya secara tidak langsung mempengaruhi kesihatan mental pelajar, dengan adanya simptom seperti kegelisahan, kemurungan, keletihan, kehilangan motivasi, akibat kurangnya komunikasi dengan manusia sebenar. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh New Straits Times, yang memfokuskan kepada pelajar universiti di Malaysia, hasil kajian menunjukkan bahawa 20.4 peratus pelajar mengalami masalah kesihatan mental minimum, 6.6 peratus mengalami masalah kesihatan mental sederhana dan 2.8 peratus mengalami masalah kesihatan mental melampau. Pelajar yang tinggal di kampus akibat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan pula mengalami tahap masalah kesihatan mental yang tertinggi berbanding dengan pelajar yang tinggal bersama keluarga di rumah masing-masing.
Di samping kesihatan mental yang semakin rapuh dengan adanya perubahan terhadap kaedah pembelajaran dan tugasan yang diberikan, ramai pelajar IPT turut dibelenggu masalah kewangan. Hal ini dikatakan demikian kerana, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan lancar sepanjang pandemik COVID-19 ini, para pelajar terpaksa membeli gadget yang diperlukan untuk pembelajaran secara talian. Golongan pelajar yang tidak dapat balik ke rumah dan terperangkap di kampus pula sangat memerlukan sumber kewangan untuk memenuhi keperluan asas harian seperti makanan dan lain-lain lagi. Ia menjadi cabaran yang besar kepada pelajar, terutamanya mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Para pelajar ini tidak dapat membeli makanan menggunakan servis Grab dan Foodpanda dan sebaliknya harus bergantung kepada makanan di kafe universiti ataupun makanan dan barangan percuma yang disumbangkan oleh pihak institusi tinggi.
Tindakan pihak institusi pengajian tinggi (IPT) pula yang menggalakkan sesetengah pelajar untuk pulang ke kampus walaupun jumlah kes jangkitan COVID-19 tempatan semakin meningkat hari demi hari juga membebankan pelajar serta keluarga keluarga mereka dari segi mental dan fizikal terutamanya kepada kebanyakan pelajar yang kini menghadapi masalah kewangan. Ramai pelajar menghadapi masalah dari segi kewangan bagi menanggung kos pengangkutan yang mahal ditambah pula kos bagi membeli barangan dan makanan yang diperlukan dan mencukupi terutamanya apabila pelajar perlu mematuhi SOP sepanjang mereka berada di kampus. Persediaan menghantar para pelajar ke institusi pengajian masing-masing bertambah lagi membebankan para pelajar dan ibu bapa masing-masing terutamanya dengan adanya sesetengah daripada mereka yang telah pun kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19 ini.
Bagi mereka yang perlu meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah pula, peluang untuk meluangkan masa dengan secukupnya dengan keluarga masing-masing semasa pandemik ini merupakan salah satu cabaran yang terpaksa dihadapi oleh ahli keluarga dan para pelajar. Hal ini disebabkan kerana hampir keseluruhannya harinya, para pelajar hanya berkurung di dalam bilik kerana mereka perlu mengikuti kuliah serta kelas tutorial sambil memastikan setiap tugasan yang diberikan disiapkan dalam masa yang ditetapkan. Pelajar yang terpaksa tinggal di kampus sehingga jumlah kes jangkitan dan situasi di luar kampus menjadi lebih terkawal pula tidak dibenarkan keluar dari kawasan kampus untuk tempoh masa yang lama sehingga mereka tidak dapat berjumpa dengan ahli keluarga mereka selama tempoh tersebut. Misalnya, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia mengenai saudara Mohd. Firdaus Garasiah, mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang telah pun menerima hakikat buat tahun kedua berturut-turut, bahawa dia tidak dapat pulang beraya di kampung di Sandakan, Sabah dan redha beraya di kampus sahaja kerana pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan dalam usaha memerangi penyebaran virus COVID-19.
Melengkapkan tempoh latihan industri pula merupakan cabaran yang dihadapi oleh pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi (IPT) di kala pandemik. Menurut Utusan Malaysia, dengan bermulanya pandemik ini, banyak syarikat yang terpaksa menghentikan operasi mereka dan ada juga yang menghentikan pengambilan pelajar dengan menarik kembali tawaran menjalani latihan industri di syarikat mereka bagi menjimatkan sumber kewangan syarikat yang menyebabkan ramai pelajar telah diberhentikan daripada meneruskan latihan industri mereka. Oleh hal yang demikian, pelajar perlu mencari peluang latihan industri di syarikat lain dan memulakan semula latihan industri mereka. Hal ini meningkatkan cabaran untuk mendapatkan peluang latihan industri dan membebankan pelajar untuk menyara kehidupan dengan elaun yang rendah.
Secara keseluruhannya, sepanjang COVID-19 pelajar menghadapi pelbagai cabaran yang sukar dalam meneruskan pembelajaran mereka maka pihak institusi pendidikan dan kerajaan perlu memberi perhatian yang secukupnya terhadap pelajar IPT terutamanya dari segi kebajikan seperti menyumbangkan makanan dan barangan percuma ataupun pada harga murah kepada pelajar yang tinggal di dalam kampus untuk tempoh masa yang lama serta membantu dari segi sumber kewangan kepada pelajar yang menghadapi masalah kewangan untuk pulang ke kampus. Seterusnya pihak institusi pendidikan perlu bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan mental pelajar yang berada di kampus seperti mengadakan kaunseling untuk membantu pelajar yang menghadapi tekanan tinggi melalui tugasan dan pembelajaran serta melaksanakan pelbagai aktiviti untuk pelajar mengawal fikiran mental dan tekanan supaya mereka kekal stabil dan sihat.
Commenti