top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kewajaran Harga Rokok Bakal Diturunkan?

Oleh: Amiera Hanis Hussin

Penyunting: Siti Masyitah Shabri


Sumber: buzzkini

Tidakkah anda terfikir jika harga rokok yang diturunkan boleh menyebabkan perokok-perokok tegar ini lebih sukar untuk berhenti dari merokok? Tidakkah anda terfikir dengan tindakan menurunkan harga rokok itu lebih menggalakkan mereka untuk meghisap rokok? Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan baru-baru ini mencadangkan agar harga rokok dikurangkan. Apa yang lebih menarik perhatian sewaktu sesi perbahasan Akta Kastam 2020 di Parlimen pada 16 Disember lalu ialah beliau telah mencadangkan agar harganya dikurangkan sehingga serendah RM8 agar dapat bersaing dengan rokok seludup. Cadangan ini diusulkan beliau sebagai langkah menangani masalah penjualan rokok seludup yang begitu berleluasa di dalam negara. Persoalannya, bagaimana pula dengan masalah kesihatan individu jika perancangan ini dilihat lebih kepada dapat menarik minat dan menggalakkan individu untuk merokok?


Menurut Portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, statistik yang melibatkan penggunaan rokok adalah sebanyak 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini merupakan satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang pada 1998. Jumlah perokok pula meningkat dari 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta dalam tahun 2011. Hal ini amat membimbangkan jika penurunan harga rokok yang dibicangkan akan meningkatkan statistik jumlah perokok yang sedia ada.


Penyakit berkaitan rokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini, yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia pada setiap tahun. 49% daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar peratusan di negara maju seperti di Britain (38%), Amerika Syarikat (35%) dan Sweden (30%).


Aspek Kesihatan

Melalui pandangan yang boleh dibuat berkaitan isu ini adalah penurunan harga rokok tidak wajar dilaksanakan kerana tindakan ini dapat mempengaruhi lebih ramai orang untuk terus mengambil atau mula terjebak dengan gejala dan tabiat merokok, Harganya yang rendah menyebabkan sesiapa sahaja mudah untuk memilikinya. Seperti yang kita tahu, rokok mempunyai kandungan bahan yang berbahaya serta padat dengan bahan-bahan kimia yang menjadi punca kanser. Masalah kesihatan yang sering melibatkan individu merokok ini tidak lain tidak bukan adalah kanser paru-paru yang kini diklasifikasikan sebagai masalah kesihatan lazim, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Kandungan bahan didalamnya juga mampu memusnahkan sistem pertahanan semulajadi paru-paru. Salur udara yang terdapat pada paru-paru dilapisi oleh ‘rerambut’ halus yang dipanggil sebagai cilia. Cilia berfungsi untuk menyah toksin bakteria dan virus daripada paru-paru. Rokok menghalang cilia daripada melakukan tugasan ini dan akhirnya menjadikan bahan kimia tersebut sebagai penyebab kanser dalam paru-paru.


Masalah kesihatan yang melibatkan perokok ini secara keseluruhannya merupakan masalah ketiga selepas kanser payudara dan kanser kolorektal. Seramai 2948 orang pesakit kanser paru-paru telah dilaporkan pada tahun 2006, dimana 1445 orang di kalangan lelaki dan 603 di kalangan wanita. Saya tidak bermaksud untuk berpanjang kata, cukuplah bagi kita yang ingin berfikir dengan sihat. Kalau dilihat pernyataan yang dibuat oleh pengeluar rokok itu sendiri yang meletakkan ayat “Merokok dapat menyebabkan serangan jantung, kanser mulut, gangguan kehamilan dan bayi” di bahagian kotak rokok. Persoalannya sekarang mengapa penghasil rokok itu sendiri mahu menyatakan sedemikian? Hal ini sudah jelas membuktikan bahawa merokok boleh memberi kesan berbahaya kepada kesihatan.


Aspek Ekonomi

Dari sudut ekonomi pula, tidak dinafikan bahawa perancangan yang diusulkan ini adalah untuk mengurangkan kerugian ekonomi, di samping memberi persaingan kepada rokok seludup. Tetapi jika dilihat dari sudut lain, hal ini mungkin memberi kerugian yang lebih besar kepada sektor ekonomi jika harga rokok diturunkan. Andai kata kerugian yang dihadapi negara disebabkan rokok seludup adalah sebanyak RM5 billion dan berkemungkinan jumlah sedemikian akan lebih meningkat kepada RM6 billion atau lebih sekiranya harga rokok diturunkan. Hal ini kerana seperti yang kita sedia maklum bahawa rokok merupakan salah satu barang anjal yang sentiasa mendapat permintaan yang tinggi. Tambahan pula, apakah jaminan kita bahawa RM8 itu mampu menyelesaikan masalah pasaran gelap? Justeru, ada baiknya jika kita tidak menurunkan harga rokok demi menjamin kebaikan ekonomi.


Secara kesimpulannya, penurunan harga rokok bukanlah satu tindakan akhir yang wajar dibuat secara melulu. Kita perlulah berfikir dari sudut yang pelbagai atau cara lain yang lebih berkesan seperti mendidik atau memberi kesedaran kepada masyarakat supaya berhenti merokok kerana semua masalah ini tidak akan berlaku jika tiada permintaan.


42 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page