top of page
  • Writer's pictureEzzati Rosli

Khazanah P.Ramlee dan Saloma Dipamerkan Di Pusat Beli-Belah

Penulis: Nur Ezzati Rosli

Penyunting: Phuan Kennie


Sumber: Google


KUALA LUMPUR, 13 MEI – Pameran khas Seniman Agung P. Ramlee dan Puan Sri Saloma bersempena kempen “Raya Melodies” anjuran Fahrenheit88 sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini diadakan di pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur di tingkat 2 mulai 14 April hingga 16 Mei 2022.


Sumbangan kedua-kedua anak seni ini mencipta pelbagai nostalgia sehinggakan lagu dan filem lakonan mereka masih ditonton sehingga kini, malah nama mereka turut meniti di bibir anak-anak muda.


Menurut Nadia Farisya, 21, pelajar IPTA, dia berasa amat teruja sekali kerana dapat melihat sendiri koleksi barang peribadi Allahyarham tersebut kerana bukan senang untuk mendapat peluang sedemikian.


Pameran tersebut mempamerkan beberapa koleksi terpilih busana milik Seniman Agung dan Biduanita Negara serta barangan peribadi mereka dipamerkan khusus kepada pengunjung yang hadir.


Replika beca yang digunakan dalam filem pertama arahannya, Penarik Becha juga turut dipamerkan selain beberapa barangan lain seperti kamera dan alatan muzik milik beliau dipamerkan.


“Saya rasa pameran seperti ini patut diteruskan dan dikekalkan bukan hanya di muzium tetapi tempat terbuka ini supaya kita sentiasa dapat mengenang serta menghargai khazanah negara ini khususnya anak muda zaman sekarang,” katanya.


Paling mendapat perhatian para pengunjung adalah koleksi pakaian peribadi Saloma yang cukup mengagumkan dan cantik sekali yang masih berada dalam keadaan baik.


“Ia adalah pengalaman yang menakjubkan apabila dapat melihat dengan mata sendiri koleksi peribadi kedua-dua bintang terkenal itu,” tambahnya lagi.


Menurut Arman Amshah, 25, pelajar IPTA, ini merupakan pengalaman pertamanya melihat khazanah seperti ini dipamerkan di pusat beli-belah kerana kebiasaannya hanya melihat pameran sebegini di muzium sahaja.


Nama Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sememangnya sinonim dengan perkembangan dan pembangunan industri perfileman dan penerbitan muzik tanah air. P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929.


“Saya rasa ibu bapa yang ada anak kecil perlu bawa anak-anak mereka ke sini supaya mereka tahu tentang Seniman Agung Tanah Air dan Biduanita Negara,” kata Ismail Borhan, 36, pekerja swasta.


“Supaya generasi muda tidak hanya kenal dengan artis-artis popular zaman sekarang sahaja tetapi juga dengan seniman negara ini,” tambahnya lagi.


Minat beliau yang mendalam terhadap seni muzik, seni lakon, pembikinan filem dan penggubahan lagu terserlah sejak beliau masih muda lagi.


Manakala pasangan hidup P.Ramlee iaitu Salmah Binti Ismail ataupun lebih dikenali sebagai Saloma adalah seorang anak seni sejati yang telah mengabadikan dirinya semata-mata hanya untuk seni sepanjang hayatnya.


Karya-karya beliau mampu untuk melahirkan masyarakat harmoni dan mempunyai nilai budaya yang tinggi.


27 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page