top of page
  • Nurul Yasmin Yuhanis Ahmad Yunus

Kisah Kasut Emas Piala Malaysia 1984

Penulis: Nurul Yasmin Yuhanis Ahmad Yunus

Penyunting: Umi Hanisah Jeshri


Kasut emas yang dianugerahkan ‘Agatas Golden Boot Award 1984’.

Sumber Foto: Dunia Sukan dan Yasmin Yunus


Bekas bintang bola sepak kebangaan Pahang FA era 80-an, Dato’ Yunus Alif dianggap sebagai salah seorang penyerang tempatan terbaik pernah mewarnai saingan Liga Malaysia dianugerahkan ‘Kasut Emas Piala Malaysia 1984’ mewakili Pahang FA.


Dato’ Yunus Alif, 64, merupakan anak kelahiran Kuala Terengganu pada 27 Mei 1958 mencipta nama bersama pasukan Pahang apabila telah berjaya meraih jumlah jaringan sebanyak 14 gol sepanjang saingan Liga Malaysia pada 1984.


Seramai 18 pemain telah menerima anugerah Sam-Agatas Golden Boot Award 1984, diatas kejayaan menjaringkan gol dan membawa kemenangan untuk pasukan masing-masing sepanjang Piala Malaysia 1984.


Senarai penerima Anugerah Sam-Agatas Golden Boot Award 1984. Sumber Foto: Zahara Ngah

Keratan akhbar penerima Anugerah Sam-Agatas Golden Boot Award 1984, Dato’ Yunus Alif, Dato’ Zainal Abidin Hassan dan T. Pathmanathan. Sumber Foto: Zahara Ngah

Dari kiri Zulkifli Hussein, Dato' Yunus Alif dan Dato' Zainal Abidin Hassan menerima Anugerah Sam-Agatas Golden Boot Award 1984 sebagai penjaring gol terbanyak. Sumber Foto: Dunia Sukan


Kedua-dua pemain handal Pahang FA, Dato’ Yunus Alif dan Dato’ Zainal Abidin Hassan mempunyai jumlah saringan yang sama sepanjang saingan Liga Malaysia 1984 dan masing-masing telah menerima anugerah di Sam-Agatas Golden Boot Award 1984.


PENGALAMAN DI SKUAD KEBANGSAAN MEMBENTUK DIRI KEPADA KEJAYAAN


Menurut Dato’ Yunus Alif, perjalanan beliau dianugerahkan kasut emas bukan mudah dan memerlukan pengalaman yang banyak dalam dunia bola sepak.


Bakat beliau bermain bola sepak lahir ketika bermain untuk kelab Fajar Hiliran ketika usia belasan tahun.


“Selepas bersama kelab tersebut, saya mula bermain bersama pasukan negeri Terengganu FA pada 1976 ketika berusia 18 tahun dan dipanggil untuk menganggotai skuad kebangsaan pada tahun 1977,” katanya.


Skuad Kebangsaan Malaysia 1978. Sumber Foto: Yasmin Yunus


Beliau mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan pada tahun 1978 untuk kejohanan antarabangsa seperti Piala Ulang Tahun Jakartaraya di Indonesia, King's Cup di Thailand, Piala Presiden Park (Korea Cup) di Korea Selatan dan Sukan SEA Manila 1981.


“Adalah sukar untuk mencipta nama di dalam karier bola sepak kerana kita merupakan satu pasukan, jika saya mempunyai mesin merentas masa silam, saya mahu kembali ke Sukan SEA Manila 1981 untuk mengubah keputusan perlawanan akhir acara bola sepak supaya memihak kepada pasukan negara.


Namun terkilan dengan keputusan skuad negara tewas kepada Thailand 2-1 dan tuah tidak menyebelahi kami walaupun telah menguasai perlawanan tersebut.


Saya masih ingat bahawa Arwah Datuk Mokhtar dan Isa Bakar tidak lokek ilmu walaupun sudah ternama, tetap sudi memberi tunjuk ajar dan memberikan semangat kepada saya serta beberapa pemain yang lebih muda," ujarnya.


Walaupun digugurkan dalam tahun 1982 kerana faktor kesihatan, prestasi beliau di musim 1984 berjaya memikat hati jurulatih negara Frank Lord dan Mohd Bakar untuk kejohanan pra-Olimpik dan pra-Piala Dunia dalam tahun 1985.


“Apabila saya dianugerahkan menjadi penjaring terbanyak pada tahun 1984, saya dengan semangatnya kembali menyarungi jersi pasukan Malaysia untuk mengharungi cabaran Pusingan Kedua Kelayakan Pra-Olimpik 1984 di Singapura dan Pusingan Kelayakan Piala Dunia.” kata Dato’ Yunus Alif.


Skuad Kebangsaan Malaysia semasa Pusingan Kedua Kelayakan Pra-Olimpik 1984 di Singapura. Sumber Foto: Yasmin Yunus


Mengimbau semula kenangan ini, beliau tidak menyangka dapat kembali bermain dengan Supermokh yang keluar daripada persaraan ketika Malaysia dihampakan Korea Selatan 2-0 dalam kelayakan Piala Dunia 1985 di Seoul.


PAHANG FA SEBAHAGIAN BESAR KARIER


Skuad Pahang FA 1984. Sumber Foto: Yasmin Yunus

Skuad Pahang FA 1984. Sumber Foto: Dunia Sukan


Menyertai Pahang FA telah membawa perubahan besar dalam karier Dato’ Yunus Alif, sehingga beliau mencipta nama sendiri di era 80-an.


“Saya berpindah ke Pahang pada tahun 1978 atas nasihat abang saya iaitu Najib Alif dan Dato’ Abdah Alif yang juga bekas pemain Terengganu, Pahang dan kebangsaan.


Berikut merupakan titik permulaan yang besar kepada karier saya sebagai pemain bola sepak,” ujarnya.


Digandingkan bersama Dato’ Zainal Abidin Hassan dan Hamidon Abdullah di barisan depan merupakan gandingan hebat membantu Pahang FA menjulang Piala Malaysia buat pertama kali.


“Mendiang Frank Lord yang merupakan jurulatih Pahang FA pada waktu itu meletakkan saya, Hamidon Abdullah dan Dato’ Zainal Abidin Hassan dalam formasi serangan serampang tiga.


Hasilnya Pahang berjaya berjaya menumbangkan Selangor 3-2 dan memenangi Piala Malaysia buat julung-julung kali," katanya ketika ditemu bual oleh Nadi Bangi.


Beliau berjaya mengukuhkan reputasinya sebagai penyerang terbilang apabila muncul sebagai pemenang Kasut Emas Liga Malaysia setelah meledak 14 gol walaupun gagal membantu pasukan Pahang FA mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia pada 1984 apabila tewas 1-3 kepada Selangor di perlawanan akhir.


Setelah bersara dari menjadi pemain bola sepak, Dato’ Yunus Alif berjinak dalam dunia kejurulatihan dan tenaga pengajar bagi kursus kejurulatihan bola sepak.


Antara pasukan yang pernah di bawah kendalinya adalah Pahang FA, Terengganu FA, Penang FA, Perlis FA, Proton FC, T-Team FC, PBAPP FC dan Real Mulia FC.


Sebagai seorang jurulatih beliau juga meraih kejayaan, antaranya ialah Juara Liga Perdana (1995), Piala FA (2000) dan Anugerah Jurulatih Terbaik SAM/ Glamour World of Sports (1995).

Skuad Terengganu FA memenangi Piala FA 2000. Sumber Foto: Tuan Rosli


GAYA HIDUP YANG BERDISIPLIN ADALAH KUNCI UTAMA


Kedisiplinan terhadap gaya hidup sangat penting kepada setiap ahli sukan, ia merupakan set tabiat dan sikap yang membentuk corak bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian mereka.


Untuk mendapati prestasi yang stabil dan bagus, setiap atlet mahupun jurulatih memerlukan kesedaran diri yang tinggi terhadap cara gaya hidup kerana ia akan mempengaruhi kesediaan untuk berlatih, bersaing dan menang.


Menurut Dato’ Yunus Alif, gaya hidup yang sihat dan berdisiplin bukan sahaja perlu diterapkan kepada atlet malah orang biasa juga perlu menjalani kehidupan seperti ini.


“Makan makanan yang sihat dan melakukan senaman sememangnya sudah terbukti berikut merupakan gaya hidup yang sihat perlu diikuti, tetapi menjalani gaya hidup yang berdisiplin juga antara gaya hidup yang dapat mencorak kehidupan kita lebih baik,


Gaya hidup inilah yang memotivasikan dan memberi tuah kepada karier bola sepak saya.


Cara saya berdisiplin dengan gaya hidup saya ialah mencukupkan tidur saya selama 8 jam, pada pukul 10.30 malam adalah waktu saya tidur dan akan bangun pada pukul 5.00 pagi untuk solat Subuh.


Selepas subuh, saya akan mengambil sarapan pagi dan buah-buahan, sejurus selepas itu akan pergi berjoging sama ada bersama keluarga saya atau berseorangan sahaja.


Pada waktu tengah hari hingga petang pula saya akan pergi bermain golf bersama rakan saya dan rutin ini akan berulang setiap hari.


Rutin ini sudah menjadi kebiasaan saya sejak belasan tahun menjadi pemain bola sepak, saya diajar untuk mendisiplinkan diri dan mengamalkan cara hidup yang sihat menerusi latihan dan di kem bola yang sering kali dilakukan,” kata beliau.


Akhir sekali, pengurusan masa dan mewujudkan matlamat hidup juga adalah kunci untuk berjaya dan gaya hidup yang berdisiplin.

173 views0 comments
bottom of page