top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kolej Keris Mas Muncul Juara Vocal Ensemble 2019

Updated: Nov 12, 2019

Oleh: Ateefa Zulkifli

Penyunting: Siti Nurhazira Binti Abu Bakar


Sumber: Keris Voice

BANGI, 11 Nov – Kumpulan Keris Voice mewakili Kolej Keris Mas muncul juara pada Pertandingan Vocal Ensemble bersempena dengan Karnival Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia kali ke-47 pada 4 November lalu.


Kolej Keris Mas meraih kemenangan berganda apabila turut memenangi Anugerah Persembahan Terbaik dengan membawa pulang sebuah hamper, sijil penyertaan, sebuah plak serta tunai RM700.


"Tema yang telah diberikan untuk pertandingan ini ialah perpaduan. Kami telah memilih untuk menonjolkan tema perpaduan itu melalui makanan. Jadi kami telah menggubah lagu Aku Penghibur dendangan Jamal Abdillah dan dipersembahkan dalam bentuk teater musikal," jelas Muhammad Shahidan pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi tahun satu selaku ketua kumpulan Keris Voice.


Walaupun latihan yang diadakan lebih kurang dua minggu sahaja, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mengejar gelaran juara.


Barisan juri seramai tiga orang telah diketuai oleh penyanyi dan guru vokal, Fitri Hiswady Bin Hasan Nordin, beliau memberi pujian terhadap usaha yang diletakkan oleh para peserta dalam menyampaikan persembahan pada malam tersebut.


"Bila kita menyanyi melalui vocal ensemble, ia memerlukan persefahaman kerana semasa persembahan berkumpulan, kita tidak boleh menyerlah seorang diri, kita perlu menyerlah bersama kumpulan maka persefahaman amat penting antara ahli kumpulan," nasihat beliau dalam ucapannya.


Keris Voice terdiri daripada Nurlisa, Ain Nadirah Azmi, Muhammad Azhar, Muhammad Shahidan serta Muhammad Aiqal, masing-masing merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda tahun satu dan Hazimah binti Mohd Aris, pelajar Ijazah Doktor Falsafah Sains Makanan tahun tiga.


Terdahulu, Naib Johan disandang oleh Kolej Aminuddin Baki yang juga merangkul Anugerah Gubahan Lagu Terbaik. Manakala, Kolej Dato' Onn di tempat ketiga dan turut bersaing ialah Kolej Rahim Kajai yang telah memenangi Anugerah Khas Juri.


172 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page