Nadi Bangi
Konvoi 2021 Kelab Ukhuwah Kembara Malaysia (KUKMbikers) Bersama Pelajar UKM
Updated: Jan 18, 2021
Oleh: Lingesh Kumar
Gambar: Lingesh Kumar
Penyunting: Mathuumitha G Ragawan

Kelab Ukhuwah Kembara Malaysia atau lebih dikenali sebagai KUKMbikers telah dimulakan oleh beberapa warga kerja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar awal 2017. Pada awal penubuhan, kumpulan ini hanya dikenali dengan nama UKM Bikers. Tujuan utama penubuhan pada ketika itu adalah sebagai sayap sokongan kepada siswa-siswi UKM melalui kursus Citra 6: LMCP1642 Seni Konvoi Bermotosikal. Citra 6 ialah Kekeluargaan, Kesihatan dan Gaya Hidup. Sebagai sebuah citra berkaitan kesihatan dan gaya hidup, ia memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk mengetahui selok belok aktiviti konvoi dan bagaimana ia mempengaruhi gaya hidup seseorang. Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Hj. Toriman (kini Prof. Dato’ dan merupakan Naib Canselor UKM) bersama Prof. Dr. Khaidzir Hj. Ismail (kini telah bersara) berserta rakan-rakan UKM yang lain telah bersama-sama terlibat secara langsung di awal penubuhan UKM Bikers dan menjadi penggerak utama dalam kursus Citra tersebut.
UKM Bikers yang digerakkan pada Jun 2017 (kini menjadi KUKMbikers), diwarnai dengan beberapa warga UKM yang terlalu mencintai dunia pemotoran. Hasrat untuk menyampaikan ilmu, teknologi dan kemahiran tahap tinggi mengenai motosikal telah mendorong dua warga UKM, iaitu Prof. Dato’ Dr. Ekhwan Hj. Toriman dan Prof. Dr. Khaidzir Hj. Ismail bersama rakan-rakan pemotoran yang lain untuk bersama bergabung tenaga, masa dan sumber bagi menggerakkan KUKMbikers. Perbincangan awal bersama pihak Citra UKM membuahkan hasil apabila majoriti ahli mesyuarat bersetuju minat ini perlu dikongsi bersama pelajar secara sistematik, teratur dan luar biasa.
Dalam tempoh sebulan, kursus Citra Seni Konvoi Bermotosikal dimulakan dengan bilangan pelajar sulung seramai 100 orang pada sesi akademik 2017/2018. Sebetulnya bilangan pelajar yang ramai adalah kurang sesuai bagi kursus bermotosikal kerana aktiviti utamanya adalah berada di atas jalan raya untuk berkonvoi. Bagi memenuhi keperluan kelas ini, usaha giat dijalankan bagi mengenal pasti bikers UKM di semua PTj dan hasilnya ahli-ahli awal UKM Bikers dapat dibentuk melalui 20 bikers. Bilangannya semakin bertambah dan pada Oktober 2018 (dalam tempoh lebih kurang satu tahun) ahlinya telah mencecah lebih kurang 60 orang, meliputi pelbagai lapisan warga UKM, lelaki dan perempuan, golongan staf akademik, pengurusan, pelaksana, pelajar dan juga alumni UKM. Keahlian UKM Bikers juga terdiri daripada kampus Kuala Lumpur dan Cheras; tidak hanya tertumpu di kampus Bangi. Kini pada 2021, KUKMbikers yang diterajui oleh Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh (a.k.a Mrs. P) sebagai Pengerusi dan En. Nik Hairi Omar sebagai Timbalan Pengerusi telah berjaya mengumpulkan ahli kelab seramai hampir 150 orang.

Konvoi sulung 2021 setelah bertaraf KUKMbikers adalah membawa sekumpulan pelajar UKM dalam program kembara mahasiswa Teluk Intan, Perak pada 9-10 Januari 2021. Konvoi bermotosikal merupakan satu aktiviti yang kerap dilakukan oleh sekumpulan penunggang motosikal yang bergerak ke suatu tempat dari suatu tempat secara beramai-ramai sambil menunggang motosikal dengan diiringi beberapa kenderaan lain sebagai back-up vehicle. Ahli KUKMbikers membawa pelbagai motor berkuasa tinggi dalam konvoi ini seperti Harley-Davidson, BMW, Triumph, Kawasaki, Ducati, Honda, Yamaha dan Suzuki untuk mengikuti pengembaraan aktiviti yang dianjurkan. Konvoi yang turut ditaja oleh TOBAKI MALAYSIA ini memastikan semua peraturan jalan raya diikuti sepenuhnya dan pergerakan konvoi adalah dalam kumpulan kecil agar tidak mengganggu keselesaan pengguna jalan raya yang lain. Aktiviti ini dilakukan untuk membawa mesej kesopanan sebagai penunggang motosikal semasa di lebuhraya dan penganjuran aktiviti berkonvoi juga membantu para mahasiswa untuk mempelajari secara mendalam mengenai permotoran berhemah serta menjadi suatu pengalaman yang bermanfaat bagi pelajar yang berdaftar kursus citra seni konvoi bermotosikal.
Menurut Prof. Madya Sr Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani yang merupakan penasihat Konvoi Bakti Mahasiswa UKM, program kembara ini dianjurkan oleh para mahasiswa yang mengambil kursus Citra Seni Konvoi Bermotosikal (LMCP1642) untuk memberi pendedahan aktiviti berkonvoi secara pengalaman-kendiri kepada pelajar serta melakukan sesi perkongsian pengalaman melalui Forum Permotoran di Kampus UKM Teluk Intan. Konvoi ini juga sebagai sebahagian keperluan tugasan pelajar yang perlu melengkapkan jarak perjalanan sebanyak 1,000 kilometer sepanjang tempoh satu semester. Forum Permotoran Berhemah yang dikendalikan oleh En. Mazli Mohd. Zain (yang juga merupakan Ketua Marshal program kembara Teluk Intan) dengan penglibatan penceramah utama En. Kamisan Makhtar (secara maya) serta perkongsian konvoi oleh Ar. Dr. Mastor Surat (yang merupakan sweeper menggunakan motosikal klasik Honda C90) telah menyuntik semangat pelajar dan peserta konvoi untuk sentiasa mengutamakan keselamatan di samping keterujaan sepanjang program berlangsung. Penganjuran aktiviti ini juga mengekalkan gaya hidup sihat dan dapat meningkatkan jaringan profesional dalam kalangan ahli kelab motosikal dan sebagai tugasan yang diberikan kepada para pelajar untuk mencapai portfolio keperluan kursus. Aktiviti ini melibatkan 50 ahli KUKMbikers termasuk para pelajar yang mendaftar LMCP1642.

Pihak Nadi Bangi juga telah menemu ramah seorang pelajar yang menyertai konvoi tersebut untuk menceritakan pengalamannya sepanjang sesi konvoi motosikal.
Muhammad Saeid Bin Mohamad Juwanda, pelajar tahun tiga jurusan Komunikasi dan Media, memberi pandangan seperti berikut. "Saya merasakan citra ini sungguh menarik untuk diambil kerana ia menawarkan pelbagai ilmu baharu mengenai permotoran berhemah serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan menarik perhatian saya untuk kekal aktif dalam kursus citra ini. Terima kasih UKM dan TOBAKI MALAYSIA yang sudi menaja program ini."
Saeid juga mengatakan bahawa persediaan yang dilakukan sebelum memulakan perjalanan seperti merancang dan memilih tempat rehat serta stesen minyak petrol sangat cekap dan tersusun.
"Taklimat yang diberikan oleh Prof. Sharifa dan En. Mazli serta bacaan doa oleh Dr. Nasaruddin sebelum memulakan perjalanan konvoi ke Kampus UKM Teluk Intan di samping pengawalan yang strategik oleh ahli-ahli Kelab Ukhuwah Kembara Malaysia membantu kami untuk bergerak dengan lancar dan selamat, sekaligus memudahkan atur cara program." katanya.
Tambah beliau juga perjalanan konvoi tidak risau kerana mengetahui ahli-ahli KUKMbikers yang mengiringi konvoi pada kali ini turut disertai oleh pakar perubatan dan ketua jururawat. Pergerakan ala roket (laju dan perlahan) motosikal berkuasa tinggi kategori SBK (superbike) BMW HP4 yang ditunggang oleh En. Jihad sangat menarik perhatian pelajar dengan riding gear yang sesuai dengan kuasa pecutan motosikal tersebut. Ia juga berfungsi sebagai marker kumpulan konvoi ini agar tidak terpisah terlalu jauh dengan kumpulan kecil di hadapan. Secara tidak langsung juga pelajar dapat melihat pelbagai jenis riding gear yang sesuai dengan kuasa jentera motosikal masing-masing.
Dalam aktiviti konvoi bermotosikal tersebut juga telah berlangsung sebuah forum mengenai permotoran berhemah secara maya dan kehadiran fizikal bersama penunggang motosikal yang berpengalaman dalam aktiviti konvoi dan sebagainya telah lagi mempermudahkan para pelajar untuk memahami cara-cara dan peraturan konvoi yang harus sentiasa diamalkan ketika berada di jalanraya.

Dalam forum itu juga telah diterangkan secara terperinci mengenai keselamatan dan persediaan yang harus dilakukan sebelum memulakan aktiviti berkonvoi motosikal dalam aspek kenderaan dan keselamatan diri sendiri seperti berikut:
a) Kenderaan/motosikal : Keadaan motosikal pada tahap yang baik dan memuaskan. Jika secara tiba-tiba kita rasa tunggangan kita tidak seperti sedia kala, itu mungkin bermakna ada masalah di bahagian motosikal. Kita mestilah memeriksa semua alatan yang perlu berada dalam keadaan yang baik. Pastikan tekanan angin tayar depan dan belakang mengikut spesifikasi yang disarankan seperti dalam buku panduan. Periksa status minyak enjin juga. Bagi motosikal yang mungkin sudah ada tanda-tanda kerap kekurangan minyak enjin (makan minyak hitam), pastikan ia terkawal atau kita perlulah sediakan minyak hitam yang lebih. Lampu isyarat kiri dan kanan juga perlu diperiksa. Ini amat penting sebagai penunggang motosikal untuk isyarat membelok atau memotong terutamanya ketika berada di jalan kampung atau bandar yang mempunyai banyak persimpangan. Tidak mengira saiz motor, keselamatan perlu dititikberatkan. Periksa lampu brek – adakah ianya berfungsi untuk brek depan dan belakang? Sekiranya tidak, kita harus membaikinya dahulu sebelum tiba hari berkonvoi. Kesan buruk jika tidak berfungsi adalah amat membahayakan kepada rakan atau pengguna jalan raya yang berada di belakang kita. Tiada isyarat membrek mungkin boleh menyebabkan kemalangan. Rantai (chain) telah di minyakkan pada malam sebelum hari berkonvoi, yang tidak kurang kepentingannya adalah pencucian kenderaan anda - baru ia nampak berkilat dan cantik apabila pengguna jalan raya yang lain memerhatikan kenderaan kita. Kita juga perlu mengisi minyak motor dengan secukupnya supaya tidak mengganggu pit stop konvoi. Serba sedikit akan mengganggu perjalanan masa konvoi itu nanti jika disebabkan motosikal kita mengalami kekurangan minyak petrol.
b) Diri kita: Pastikan kita mempunyai rehat yang cukup - untuk mengelakkan keletihan ketika menunggang. Pastikan tidur yang cukup tapi jangan terlebih tidur juga - kalau tidak cukup tidur, akan membawa risiko kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya. Riding gear - topi keledar fullface/flipup/open face, glove, padding jacket, riding boot, knee guard, back protector, racing suite dan lain-lain mengikut kesesuaian anda sendiri. Jika demam atau selsema, mungkin ikut budi bicara diri sendiri sama ada patut atau tidak mengikuti konvoi (dalam situasi pandemik lebih baik duduk rumah jika bergejala dan jangan merisikokan kesihatan ahli konvoi yang lain). Ini boleh menyebabkan terganggu tumpuan atau hilang fokus ketika menunggang motosikal. Sebelum tayar golek (TG), lakukanlah sedikit senaman ringkas (stretching) supaya keadaan kita lebih selesa semasa menunggang motosikal dan juga supaya tidak berlaku kecederaan semasa perjalanan seperti kekejangan otot dan sebagainya.
Setelah mengikuti konvoi ini dan merasai sendiri pengalaman menunggang di lebuhraya bersama kumpulan motosikal berkuasa tinggi, ia adalah merupakan satu pengalaman yang sangat unik dan sudah pastinya tidak semua individu bergelar pelajar berpeluang merasainya. Apa yang pasti, para pelajar kursus ini semakin menghargai motosikal yang dihadiahkan oleh ibu bapa untuk masuk UKM; dan ia bukanlah sekadar kenderaan beroda dua untuk pergi ke kelas semata-mata. Ia adalah untuk tujuan kebaikan dengan cara kita berukhuwah serta berkembara dalam membantu ekonomi negara. Terima kasih UKM yang menawarkan kursus luar biasa ini kepada pelajar-pelajarnya.
