• Nadi Bangi

Kos Sara Hidup ketika Pandemik Beban Utama Pelajar

Updated: Apr 23, 2021

Oleh: Vijayabalan A/L Krishnan

Penyunting: Kanessha A/P Rama Krishnan


Sumber : Instagram Kolej Rahim Kajai UKM


BANGI, 18 April - Kos sara hidup pelajar UKM telah menjadi beban utama kepada mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyebabkan mereka terpaksa ikat perut bagi menampung perbelanjaan bagi meneruskan pengajian.


Kemasukan pelajar ke kampus dilaksanakan secara berfasa untuk mengurangkan lambakan aliran pelajar ke kampus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan alternatif bagi makanan dan pengangkutan kurang disediakan disebabkan oleh kurangnya pelajar di kampus. Kekurangan alternatif ini menyebabkan harga perkara tersebut meningkat.


Sikap sesetengah pihak bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing- masing seperti kedai - kedai makanan di sekitar kawasan UKM yang memberi keutamaan kepada keuntungan diri sendiri menyebabkan pelajar terbeban dan terpaksa mengikat perut untuk menggunakan duit mereka untuk perkara yang lebih mementingkan seperti nota, alat tulis dan juga peralatan elektronik yang kian lebih digunakan disebabkan pembelajaran hibrid. Hal ini merupakan salah satu faktor yang mendorong kepada peningkatan beban pelajar yang berada di kampus UKM dari segi kewangan.


“ Kos perbelanjaan untuk makanan dan pengangkutan mencecah sehingga RM 500 sebulan dan perkara ini menyebabkan saya mengalami masalah kewangan” ujar Seelam Appayamma A/P Apparoo, pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.


Seelam juga mengatakan bahawa walaupun beliau merancang penggunaan duit, kos bagi menampung makanan dan pengangkutan agak tinggi berbanding daripada kos lain. Sebanyak RM 15 – 20 perlu dibayar setiap kali menggunakan perkhidmatan ‘FoodPanda’ untuk memesan makanan apabila tiada perkhidmatan kafeteria kolej dan RM 20 – 30 perlu digunakan untuk membayar Grab untuk perkhidmatan pengangkutan bagi kawasan jarak dekat. Hal ini menyebabkan kos perbelanjaan sara hidupnya mencecah sehingga RM 450 – 500.


Pengeluaran duit perbelanjaan sebanyak ini sememangnya menyebabkan pelajar mengalami masalah kewangan dan menyebabkan beban untuk menampung kos perbelanjaan pelajar selama tempoh pengajian mereka kian meningkat.


“Saya terpaksa menguruskan perbelanjaan saya dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan utama dan perbelanjaan untuk makanan tidak diambil kira sebagai perkara penting dalam situasi sebegini” kata saudara Mohamad Cayrol Bin Akhubar Ali, seorang pelajar tahun 2 dari UKM sebagai pandangan beliau terhadap kos sara hidup di kampus.


“Saya terpaksa mengorbankan makanan apabila tiada duit dan saya tidak mahu menyusahkan ibu bapa dengan kerap meminta duit untuk berbelanja apabila mengetahui situasi keluarga pada masa kini” ujar Mohamad Cayrol.


Situasi sebegini agak menyukarkan sara hidup rakyat Malaysia terutamanya pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT). Pihak Kerajaan dan Universiti perlu menyediakan suatu pelan tindakan serta inisiatif yang dapat membantu pelajar - pelajar dalam situasi sebegini dari segi kewangan, makanan dan sebagainya. Pengurangan yuran pengajian merupakan salah satu perkara perlu diambil kira oleh Pihak pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga Alumni untuk menjaga kebajikan pelajar dan dapat mengurangkan beban mereka dari segi kewangan.


Bukan sahaja pihak yang relevan dalam usaha menangani isu sebegini malah semua pihak perlu berganding bahu antara satu sama lain untuk menangani masalah beban kewangan pelajar UKM demi menjaga kejaminan kebajikan pelajar UKM.






1,092 views11 comments

Related Posts

See All