top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kritikan Body Shaming Di Pentas Miss Universe Akibat Tidak Menepati Piawai Kecantikan

Updated: Jan 10, 2022

Penulis: Azril Izzat Ramlan

Penyunting: Farah Natasya Ramani


Sumber: Google


Budaya body shaming sememangnya tidak asing lagi dalam masyarakat hari ini namun perbuatan ini dilihat masih dibiasakan dalam mana-mana laman media sosial hari ini. Misalnya, seorang peserta Miss Universe dari Thailand menerima pelbagai komen jelik yang dimuat naik ke laman sosial mengenai tubuh badannya yang dikatakan tidak menepati piawai kecantikan atau beauty standards untuk melayakkan dirinya bertanding dalam pertandingan tersebut apabila beliau memiliki berat tubuh badan sebanyak 70 kilogram. Insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana kecantikan itu adalah subjektif selain kriteria kecantikan yang ditetapkan juga adalah tidak realistik. Penduduk bumi terdiri daripada berbillion manusia oleh itu sangat mustahil bagi setiap individu memiliki bentuk fizikal yang sama.


Ann-Annchilee Scott Kemmis, 21 tahun telah mewakili negara Thailand dalam satu pertandingan peringkat antarabangsa, Miss Universe. Ann telah mendapat kritikan negatif daripada seluruh masyarakat di pelosok dunia tentang bentuk tubuh badannya sewaktu pertandingan Miss Universe edisi ke-70 itu yang berlangsung di Eilat, Israel. Kritikan negatif yang berunsurkan ejekan itu telah memenuhi ruang-ruang komen laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter serta TikTok terutamanya oleh golongan peminat pertandingan itu iaitu dikenali sebagai Pageant Lovers. Setelah pelbagai tomahan dilemparkan, persembahan perwakilan dari Thailand itu terjejas sehingga menyebabkan Ann tidak berjaya menempatkan dirinya ke dalam kategori 16 teratas seperti mana yang berjaya dilakukan oleh perwakilan-perwakilan Thailand pada tahun-tahun sebelumnya.


Perbuatan mempersendakan rupa fizikal ini bukan hanya berlaku secara lisan atau bersemuka, malah dengan arus kemodenan teknologi kini telah membuka ruang kepada perlakuan negatif ini untuk terus berlaku. Body shaming didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau diri sendiri melalui ejekan dan kritikan terhadap bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan yang dialami mereka. Perlakuan negatif ini berlaku kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengenal umur, status dan latar belakang individu.


Isu body shaming tidak sewajarnya lagi berlaku pada hari ini terutamanya di pentas pertandingan antarabangsa yang sememangnya menjadi tumpuan tahunan kebanyakan masyarakat dunia. Hal ini demikian kerana pertandingan Miss Universe merupakan satu pertandingan berprestij yang bukan hanya paras rupa menjadi ukuran malahan turut mengambil kira dedikasi serta kesungguhan peserta dalam membawa pengaruh positif yang mampu membawa kebaikan kepada masyarakat seluruh dunia. Perbuatan body shaming tidak sepatutnya dibiasakan, sebaliknya dibetulkan.


Kesan body shaming

Perbuatan body shaming jelas hanya mendatangkan kesan negatif kepada mangsa. Antara ialah mereka akan mula hilang kepercayaan dalam diri, bahkan boleh menyebabkan mangsa kemurungan akibat tekanan yang melampau yang diterima daripada perbuatan mengejek itu. Selain itu, mangsa juga berisiko mudah hilang selera makan atau stress eating. Kata-kata negatif yang sering diterima mangsa membuatkan mereka mengambil keputusan terburu-buru untuk mengubah bentuk fizikal mereka seperti mengamalkan diet yang tidak sihat, mengambil pil-pil pelangsing dan sebagainya sehingga memudaratkan diri sendiri. Selain kesan gangguan emosi, perbuatan body shaming juga mampu menjurus mangsa bertindak mengambil nyawanya sendiri seperti yang telah berlaku di beberapa negara luar. Sebagai contoh, masyarakat Korea telah dikhabarkan dengan berita kematian penyanyi popular kumpulan F(x), Sulli, yang membunuh diri apabila tidak mampu lagi menanggung tekanan diejek di media sosial hampir setiap masa.


Di Malaysia, perbuatan body shaming kini diklasifikasikan sebagai satu jenayah. Mereka yang melakukan penghinaan rupa fizikal secara maya boleh dikenakan tindakan undang-undang. Mangsa boleh melaporkan kepada polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Menurut Seksyen 233(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika didapati bersalah, pesalah boleh didenda tidak lebih daripada RM 50,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya. Walau apapun alasannya, ejekan tubuh adalah sikap yang tidak boleh dilakukan sama ada melalui lisan atau tulisan kerana memberi impak yang sangat radikal kepada mangsa.


Mengatasi Body Shaming

Tidak dinafikan bahawa isu body shaming adalah sukar untuk dibendung secara menyeluruh lebih-lebih lagi sebenarnya perbuatan ini turut berlaku kepada orang di sekeliling kita sama ada sedar atau pun tidak. Oleh hal yang demikian, untuk mengatasi body shaming, penulis berpendapat bahawa setiap masyarakat sewajarnya belajar untuk menerima diri mereka seadanya. Setiap orang mempunyai tubuh badan yang berbeza dari yang lain dan perbezaan itu sewajarnya diterima oleh setiap masyarakat sebagai satu keunikan tersendiri.


Seterusnya, mempraktikkan self-compassion atau belas kasihan diri. Setiap individu seharusnya menyayangi diri sendiri lebih daripada apa pun. Setiap orang perlu berbuat baik terhadap diri sendiri, mengambil berat dan memahami diri sendiri seterusnya mempraktikkan usaha tersebut kepada orang lain. Penulis turut berharap masyarakat seluruh dunia tidak memandang remeh isu ini malah lebih baiknya jika bertindak menguatkan lagi implikasi undang-undang terhadap pelaku sepertimana yang dilakukan oleh negara Malaysia dalam usaha membendung masalah ini disamping mangsa mendapat pembelaan sewajarnya. Setiap lapisan masyarakat hendaklah belajar menghormati kekurangan individu lain dan tidak memandang serong kepada sesiapa sahaja.

830 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page