top of page
  • Writer's pictureNorFara Faziera Razali

KTSN Sapu Bersih 9 Pingat Emas Dalam Acara Renang di SUKEM 2022

Penulis: Norfara Faziera Moh Razali

Penyunting: Siti Syazreen Mohd Mahdzim


Sumber Gambar: Facebook Kolej Tun Syed Nasir


BANGI, 29 Nov - Ng Wei Jie, atlet renang Kolej Tun Syed Nasir (KTSN) Universiti Kebangsaan Malaysia telah berjaya menyapu bersih 9 pingat emas dalam Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) fasa 1 buat tahun ini di Kompleks Renang UKM Bangi. Ng Wei Jie (Sarjana Muda Sains Pemakanan, 3) telah berjaya membawa pulang emas dalam acara 50m gaya bebas (L), 100m gaya bebas (L), 200m gaya bebas (L), 50m kuak kupu-kupu (L), 100m kuak kupu kupu (L), 50m kuak dada (L), 100m kuak dada (L), 50m kuak lentang (L) dan 100m kuak lentang (L). “Bagi saya cabaran terbesar sepanjang persiapan sebelum pertandingan adalah keadaan musim yang kerap hujan menyebabkan saya kurang mempunyai peluang untuk berlatih serta kekurangan pertandingan kerana saya sudah tidak bertanding selama tiga tahun maka sukar untuk saya mengekalkan prestasi yang baik semasa pertandingan. “Saya mengambil masa untuk berlatih selama sebulan sebelum acara bagi menyiapkan diri untuk menyertai SUKEM pada tahun ini,” katanya ketika ditemubual. Oleh kerana KTSN dan UKM Kampus Kuala Lumpur tidak mempunyai fasiliti kolam renang dan kolam renang sekitar Kuala Lumpur juga mengenakan bayaran yang tinggi untuk setiap sesi latihan maka inisiatif yang diberi kepada Wei Jie oleh Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Sukan KTSN adalah dengan memberikan laluan kepada dia untuk berlatih mengikut ketetapan dan kelonggaran waktunya sendiri. Pengurus pasukan Ahmad Haiqal Izzad Bin Abdullah (Sarjana Muda Farmasi, 2) berkata dia sangat terharu kerana pada mulanya acara renang ini tidak terlibat dan dipandang oleh pihak kolej namun Wei Jie berjaya menyakinkan mereka bahawa sukan ini boleh membawa pingat kepada KTSN. “Saya amat teruja dapat menyaksikan seorang atlet dari KTSN mampu membawa 9 pingat emas pulang dan membuktikan bahawa usaha Wei Jie tidak sia-sia. “Harapan saya agar lebih banyak atlet renang dapat dilahirkan dari KTSN dan lebih banyak pingat dapat dimenangi dari sukan renang bukan sahaja dari kategori perseorangan malahan berkumpulan juga,” katanya. Menurut MEP Sukan KTSN, Qistina Najiha Binti Ahmad Faizal (Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Pekerja, 2) berharap agar lebih ramai atlet KTSN menyertai acara renang kerana mereka sudah mempunyai atlet contoh yang begitu hebat untuk berkongsikan ilmu dan pengalaman kepada atlet renang yang lain. “Sasaran kami dalam acara renang pada SUKEM akan datang adalah untuk mengekalkan 9 pingat emas bagi semua acara individu lelaki dan kami mengharapkan pingat emas bagi kategori berkumpulan serta kategori wanita juga,” katanya.

KTSN juga telah mendaftarkan seramai 200 orang atlet yang turut menyertai pelbagai acara yang dipertandingkan.

Berdasarkan rekod SUKEM 2019, KTSN meletakkan sasaran pingat sebanyak 20 pingat emas,15 pingat perak dan 15 pingat gangsa bagi SUKEM yang berlangsung pada tahun ini.

114 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page