top of page
  • Writer's pictureMuhammad Yusry Haiqal Yusof

Kuala kangsar, Kota Sejarah Yang Tiada Lunturnya

Penulis: Yusry Yusof

Penyunting: Aiman Zainuddin


Sumber Foto: Portal rasmi Areca Books


Ratusan tahun sudah berlalu tetapi pesona Kuala Kangsar sebagai bandar bersejarah tidak pernah luntur.

Kuala Kangsar mendapat namanya bersempena pokok kangsar (hibiscus flocossus) yang tumbuh di tebing Sungai Perak. Namun versi lain turut menyebut nama itu diperoleh apabila orang Melayu datang ke situ meneroka tempat baharu dengan menaiki sampan. Mereka dikatakan mudik hingga sampai ke anak sungai di tebing kiri Sungai Perak. Sepanjang bermudik anak sungai itu adalah yang ke-99 mereka lalui justeru ia disebut sebagai 'Kuala Kurang Satu Sa" (kuala tidak cukup 100).

Hari ini menjejak kaki ke bandar diraja itu selain imbauan terhadap nostalgia pembangunan sebuah watan, seni bina uniknya turut menyingkap susuk Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, iaitu Sultan Perak pertama bersemayam di tebing kiri hulu Sungai Perak.

Pada zaman pemerintahan baginda landskap Kuala Kangsar diserikan dengan binaan Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Perak ketika itu, mengecap tahap kemakmuran yang hebat hasil perlombongan bijih timah dan industri getah.

Malah kemakmuran hasil ekonomi menyaksikan jalan raya dan landasan kereta api dibina, termasuk jambatan pertama merentasi Sungai Perak iaitu jambatan kereta api Victoria yang dibuka oleh Sultan Idris pada 1900.

Kuala Kangsar juga menjadi mercu tanda sejarah pendidikan di Malaysia. Minat baginda yang dalam terhadap bidang pendidikan menyaksikan beberapa buah sekolah dibina. Antaranya institusi pendidikan aliran Inggeris, Sekolah Clifford sementara Madrasah Idrisiah untuk aliran Islam.

Malah, baginda turut menerajui penubuhan MCKK yang mempersiapkan anak-anak daripada keluarga bangsawan Melayu di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menyertai Perkhidmatan Pentadbiran Melayu.

Menurut rekod sejarah, atas dorongan Sultan Idris nazir sekolah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ketika itu, R J Wilkinson mencadangkan penubuhan sebuah sekolah asrama khas untuk pendidikan orang Melayu daripada kalangan keluarga elit. Ia bertujuan melatih anak-anak Melayu untuk kemasukan ke cabang-cabang perkhidmatan kerajaan yang tertentu.

Pembentukan 'Sekolah Asrama Melayu' pada 1905 disokong oleh keempat-empat Sultan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Malah, Sultan Idris sendiri menganugerahkan 30 ekar tanah merasmikan bangunan 'Big School' di Jalan Padang pada 1909 sebelum ia ditukar nama menjadi MCKK.

Penubuhan MCKK yang mendapat jolokan 'Eaton Timur' berasaskan hasrat menjadikannya mirip sekolah awam elit di England. Sekolah itu dibuka pada 1905 dengan pengambilan pertamanya membabitkan 40 murid. Meskipun pada peringkat awal ia dikhususkan kepada pelajar lelaki daripada keluarga bangsawan Melayu, ia dibuka kepada masyarakat umum mulai 1955.

Bangunan 'Big School' yang menjadi sebahagian kompleks MCKK hari ini diisytihar sebagai monumen warisan negara pada 2009.

Sumber Foto: Berita Harian


Satu lagi warisan seni bina di Kuala Kangsar yang diisytiharkan sebagai monumen warisan negara ialah Masjid Ubudiah. Mendapat pengiktirafan itu pada 2012, pembinaannya bermula ketika Sultan Idris bernazar untuk membina sebuah masjid seandainya baginda sembuh daripada penyakit yang diderita sekembalinya dari England pada 1911, selepas menghadiri pertabalan Raja George V.

Batu asas masjid ini diletakkan sendiri oleh baginda pada 26 September 1913, dan masjid ini hanya siap serta dirasmikan pada 1917, manakala Sultan Idris mangkat pada 1916.

Direka oleh arkitek kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, AB Hubback, ia menelan belanja ketika itu $224,000 (RM1.9 juta) dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya. Keindahan rekaan Masjid Ubudiah dilengkapi kubah tengah yang besar diapit empat menara dengan setiap satunya menjulang 126 kaki tinggi.

Masjid ini lewat siap dua tahun daripada jadual asal disebabkan beberapa bahan binaan terpaksa ditempah semula gara-gara gajah-gajah milik diraja yang bergaduh mengakibatkan beberapa keping pualam pecah.

Sisi sejarah bandar diraja ini dapat disaksikan dalam Pameran Kuala Kangsar Pesona Bandar Diraja anjuran Areca Books dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.


Ketua projek, Khoo Salma Nasution, berkata pihaknya menjalankan penyelidikan selama hampir enam bulan untuk mengadakan pameran ini.

Katanya selain bahan-bahan arkib, pameran ini turut didukung oleh temu bual dengan individu berkaitan selain kerabat diraja.

"Pameran ini sebahagian daripada bidang pemetaan warisan. Bidang ini mungkin kurang dikenali tetapi saya sudah 30 tahun melakukannya.

"Malah antara pengasas awal kajian warisan di Malaysia," katanya. Pameran dengan tajuk Kuala Kangsar, pesona bandar diraja itu berlangsung mulai 3 Januari itu bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Kuala Kangsar.

246 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page