Nadi Bangi
Kuasa Viral Bantu Pekerja Kilang Terjejas Pkp Jual Roti John
Oleh: Hazwani Amiruddin
Penyunting: Natasha Mazlan

Sumber: Twitter
KAJANG, 20 Jun- Rezeki tidak datang bergolek jika tiada usaha, itulah gambaran kegigihan seorang pekerja kilang yang baru-baru ini tular di Twitter menjual roti john bagi menampung kehidupan susulan tiada pendapatan kerana diarahkan cuti tanpa gaji sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) diumumkan pada 1 Jun 2021 yang lalu.
Nor Shahirah Binti Aminnordin, 23 yang mesra disapa sebagai Shira, merupakan pembantu produksi di sebuah kilang di Semenyih tidak menyangka bahawa postingan beliau telah mencapai 26 ribu retweet dan rata-rata daripada komen yang diperoleh adalah positif dan berminat untuk membeli roti john tersebut bagi membantu gadis ini menjana pendapatan.
“Pada awalnya saya berasa agak tertekan setelah mendapat arahan daripada pihak kilang untuk bercuti tanpa gaji selepas tamat tempoh kuarantin disebabkan menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dan saya bersyukur keputusan ujian saya telah disahkan negatif.” Ujar Shira ketika di temubual wartawan Nadi Bangi. “Saya bangun semula daripada masalah kerana memikirkan komitmen yang perlu ditanggung setiap bulan dan saya terfikir untuk membuka tempahan roti john kerana sebelum ini abang saya pernah berniaga di bazar Ramadan jadi kelengkapan itu masih ada.” Tambah beliau ketika ditanya mengenai idea untuk berniaga.

Sumber: Twitter
Shira juga tidak menyangka bahawa ramai pengguna Twitter yang sanggup membantu sehingga beliau tidak menang tangan untuk menyiapkan pesanan pelanggan sambil dibantu oleh ibunya yang berusia 52 tahun. Menurut Shira, sebelum ini beliau menggunakan aplikasi Facebook dan Whatsapp sahaja. Tetapi disebabkan perlu mencari pendapatan lebih, beliau mencuba nasib dengan menggunakan aplikasi Twitter. Shira juga memberitahu bahawa jika sebelum ini jumlah pesanan yang diterima adalah 20 hingga 30 pesanan sahaja sehari. Kini, melalui kuasa viral yang terjadi, beliau mampu menjual hampir dua kali ganda pesanan setiap hari.
“Saya juga terkejut ada pihak yang menghubungi saya untuk memberi sumbangan dengan membayar 100 bungkus pesanan dan kemudian meminta saya mengedarkannya kepada frontliners dan mana-mana pihak yang memerlukan.” Ujar Shira lagi. Wartawan Nadi Bangi juga berkesempatan untuk membantu Shira mengedarkan roti john kepada beberapa orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terkandas ketika PKP.
Mengulas kepada perancangan masa hadapan, anak keempat dari lima orang adik beradik ini memberitahu, beliau telah menanam hasrat untuk mengembangkan perniagaan roti john ini ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak lupa berkongsi rezeki dengan lebih ramai golongan masyarakat di masa akan datang.