Penulis: Ainul Salsabila Aidi
Penyunting: Nur Izzah ‘Atirah Abdul Rahim
Sumber: Twitter
KUALA LUMPUR, 17 Mei: Keterujaan peminat kumpulan penyanyi dari Korea Selatan, SEVENTEEN dirasai apabila tarikh konsert jelajah dunia mereka diumumkan, setelah 2 tahun ia dinanti-nantikan sejak pandemik COVID-19 bermula.
Kumpulan SEVENTEEN yang akan kembali dengan album baharu ke-4 mereka berjudul ‘Face The Sun’, membuat pengumuman konsert jelajah dunia ini melalui Twitter rasmi mereka.
Konsert jelajah dunia ke-3 mereka yang dinamakan ‘Be The Sun’ ini menyenaraikan lokasi konsert di beberapa negara di Amerika Syarikat dan Kanada yang akan bermula pada bulan Ogos sehingga September. Namun secara rasminya, ia akan bermula pada 25 Jun 2022 di Gocheok Sky Dome, Seoul, Korea Selatan.
Sumber: Twitter
Peminat SEVENTEEN dari serata dunia menunjukkan reaksi positif daripada pengumuman ini setelah sekian lama konsert mereka diadakan secara maya akibat pandemik.
Nadia Shuhada, 17, berasa teruja apabila pengumuman konsert mereka yang akan diadakan secara fizikal ini dikeluarkan dan berharap bahawa Malaysia turut tersenarai kelak.
‘‘Sudah 2 tahun berlalu sejak konsert jelajah dunia mereka diadakan. Oleh kerana konsert di Malaysia sewaktu itu dibatalkan kerana pandemik, saya berharap untuk konsert kali ini mereka akan datang ke Malaysia.” katanya.
Bagi Nurnazihah Badrulazmi, 23, perasaan beliau bercampur baur apabila mendapat tahu tentang hal ini kerana sudah terlalu lama tidak menghadiri konsert yang mengumpulkan ramai orang.
“Saya menantikan saat ini selama 2 tahun kerana perasaan menonton konsert mereka secara atas talian amat berbeza daripada menyaksikan persembahan mereka di depan mata yang sememangnya memberi impak mendalam. Namun, saya juga risau jika suasana konsert kali ini akan berubah kerana sudah pasti terdapat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan susulan norma baharu,” luahnya.
Beliau juga berharap agar situasi COVID-19 semakin baik supaya tidak berlaku sebarang pembatalan konsert untuk siri kali ini kerana peminat meletakkan harapan tinggi untuk menyaksikan mereka secara langsung.
Disebalik keterujaan peminat, ada juga yang meluahkan perasaan kecewa kerana tiada pengumuman mahupun ura-ura kedatangan SEVENTEEN ke Eropah untuk konsert kali ini.
Peminat dari Perancis, Cyprian, 21, berkata beliau berharap agensi kumpulan SEVENTEEN dapat mempertimbangkan Eropah seperti mana mereka dilihat memfokuskan kepada pasaran peminat di Amerika Syarikat dengan mengumumkan tarikh dan lokasi konsert di sana terlebih dahulu.
Sebelum ini konsert jelajah dunia ke-2 SEVENTEEN, ‘Ode To You’ pada bulan Februari dan Mac 2020 yang melibatkan beberapa buah bandar seperti Kuala Lumpur, Taipei, Madrid, Paris dan Berlin terpaksa dibatalkan oleh kerana situasi COVID-19 membimbangkan.
Dalam pada itu, peminat-peminat SEVENTEEN khususnya di Asia dan Eropah masih menantikan pengumuman lebih lanjut berkenaan tarikh dan lokasi konsert seperti yang dimaklumkan menerusi poster rasmi konsert.
Commentaires