Nadi Bangi
Kurang Faham Erti Cinta Sejati Punca Berlakunya Fenomena Sugar Baby
Oleh: Ercy Gracella A
Penyunting: Farhan Nasir

Sumber: Facebook Kolej Rahim Kajai
BANGI, 11 Jun - Sesi webinar Sugar Baby: Triumphing in Times of Trouble yang dianjurkan oleh Kolej Rahim Kajai kali ini telah membincangkan bahawa kurang pemahaman ataupun salah tafsir maksud cinta sejati merupakan salah satu punca wujudnya fenomena sugar baby dalam kalangan masyarakat khususnya golongan pelajar.
Pengetua Kolej Rahim Kajai, Dr Razaleigh Muhamat@Kawangit berkata dalam ucapan beliau, “webinar ini dasarnya untuk membincangkan hal-hal berkenaan dengan sugar baby yang sebenarnya bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita, namun tidak semestinya kita perlu memandang ringan atau sebelah mata sahaja tentang isu ini kerana ia adalah merupakan satu isu yang agak serius lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan golongan mahasiswa”.
“Kita sedia maklum bahawa dalam situasi pandemik yang sukar ini, banyak pihak terkesan sama ada dari sudut emosi, lebih-lebih lagi daripada sudut ekonomi termasuklah golongan mahasiswa”, tambah beliau.
Menurut Pakar Psikologi Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Rozmi Ismail, isu sugar baby ini merupakan sebuah isu yang berkaitan dengan sifat moral dan juga boleh diperkatakan sebagai isu moral. Selain daripada faktor kewangan, kurang pengetahuan dan kefahaman tentang cinta sejati ini menjadi tunjang utama berlakunya fenomena ini.
“Cinta yang sejati mestilah terdiri daripada tiga komponen iaitu komitmen, keintiman dan nafsu. Selain itu, gaya keibubapaan ataupun cara anak diberi didikan adalah sangat penting kerana elemen ini akan membentuk masa hadapan seseorang”, tambah beliau.
Fenomena ini juga merupakan perkara yang ditolak oleh setiap agama, bangsa dan juga negara. Tidak dapat dinafikan bahawa data dari aplikasi Sugarbook mungkin meragukan ataupun tidak sahih tetapi fokus utamanya adalah kewujudan isu ini, tanpa kita mengira jumlahnya banyak ataupun sedikit.
Walau bagaimanapun, masyarakat tidak boleh terlalu cepat menilai ataupun melontarkan kata-kata negatif kepada golongan sugar baby ataupun mereka yang pernah menjadi sugar baby kerana kita tidak tahu hakikat di sebaliknya.
Namun, isu sosial seperti ini perlu diatasi dengan efektif agar isu ini tidak akan menjadi suatu norma dalam masyarakat.
Dalam hal ini, pendidikan kepada masyarakat juga merupakan satu perkara yang penting. Sekiranya masalah sosial seperti isu sugar baby ini tidak ditangani dengan segera, dikhuatiri bahawa masyarakat akan berbalik kepada 300 tahun yang lalu, iaitu kembali menjadi dunia ataupun negara yang tidak bertamadun. Perkara ini didengari dahsyat tetapi tidak mustahil untuk menjadi realiti.