top of page
  • Nadi Bangi

Kurang Kunjungan Pelancong Jejas Pendapatan Rizwanna

Penulis: Natrah Laili Abdul Aziz

Penyunting: Nur Syuhada Abdul Jalil

Foto: Natrah Laili Abdul Aziz

Kedai kecil Rizwanna, Indus Heritage di Pasar Seni yang diusahakan semenjak 2007


KUALA LUMPUR, 7 Nov - Peniaga kecil yang bertapak di Pasar Seni kini berasa tertekan akibat kurang menerima kunjungan pelancong semasa pasca pandemik.


Rizwanna S., 56, merupakan peniaga yang menjual kepelbagaian barangan buatan tangan daripada Pakistan serta menawarkan khidmat ukiran inai dengan pelbagai reka bentuk yang menarik di Pasar Seni.


Namun, perniagaan yang telah diusahakan selama 15 tahun hampir terkubur apabila jualan harian tidak menunjukkan peningkatan walaupun sektor ekonomi kini telah dibuka.


“Sebelum situasi virus covid-19 ini, perniagaan yang dijalankan adalah amat memberangsangkan. Ramai pelanggan datang untuk membeli kraftangan buatan tangan serta mendapatkan khidmat ukiran inai. Jualan saya sebelum situasi virus covid-19 ini boleh dilihat sangat rancak, namun kini tidak lagi,” katanya.


Beliau turut berkata bahawa bukan kedainya sahaja yang terpaksa menanggung kerugian, namun ramai lagi peniaga kecil di Pasar Seni yang terjejas akibat virus Covid-19 ini sehingga ada kedai yang terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu untuk meneruskan perniagaan yang tiada jualan.


“Perniagaan saya dahulu dan sekarang amat berbeza, kini saya hanya bergantung kepada khidmat ukiran inai yang ditawarkan manakala produk lain tidak dapat dijual”, tambah Rizwanna.


Katanya lagi, walaupun sektor ekonomi dibuka pada Fasa 4 PPN, namun melalui pemerhatiannya, pelanggan lokal tidak gemar untuk mendapatkan khidmat ukiran inai kerana ia bukan sesuatu yang baharu untuk pelanggan lokal.


“Pelancong luar yang kerap mendapat ukiran inai disebabkan ia merupakan sesuatu benda yang baharu untuk mereka berbeza dengan pelanggan lokal. Mereka bukan sahaja mendapatkan perkhidmatan inai ini, namun turut memborong barangan kraftangan yang terdapat di kedai saya”, ujarnya lagi.


Beliau berharap agar pelanggan lokal dapat membantu perniagaannya yang hampir tutup dengan membeli kraftangan buatan tangan dan mendapatkan perkhidmatan ukiran inai.


Beliau turut memberitahu bahawa kedai-kedai kecil di Pasar Seni akan dipindahkan di blok bangunan baru di atas arahan pihak pengurusan Pasar Seni.


Walaupun demikian, pelanggan yang ingin mengunjungi kedainya boleh mendapatkan informasi terkini menerusi aplikasi instagram, @indusheritagehenna.

328 views0 comments

Related Posts

See All
bottom of page