top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Langkah-Langkah Mengurangkan Risiko Kecederaan Semasa Berbasikal

Oleh: Siti Masyitah Shabri

Penyunting: Amiera Hanis Hussin

Sumber: Harian Metro


Sejak kebelakangan ini, aktiviti sukan berbasikal dilihat sebagai sebuah “trend” dalam seluruh lapisan masyarakat termasuklah kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa di Malaysia. Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu Khairy Jamaluddin telah mengalami kecederaan akibat terlanggar lubang ketika menunggang basikal yang dimuat naik menerusi perkongsian di Instagram beliau. Hal ini membuktikan bahawa dalam pada kebaikan aktiviti riadah yang sihat ini, terdapat juga impak buruk yang boleh berlaku. Statistik menunjukkan banyak kemalangan yang berlaku semasa melakukan aktiviti berbasikal, dengan sebanyak 56 kes penunggang maut, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan dalam kemalangan sejak Januari hingga Oktober lalu yang dilaporkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Aziman Alias.


Meskipun hobi berbasikal bukanlah satu hobi yang baru, namun angka kes kemalangan ini membuktikan bahawa kemudahan laluan dan keselamatan basikal masih belum meluas di negara kita. Kemalangan semasa berbasikal ini berpunca dari beberapa aspek utama, termasuklah keadaan basikal, kecuaian penunggang dan keadaan jalan raya atau laluan basikal. Dengan bilangan penunggang basikal dan kes kemalangan yang semakin meningkat, langkah berjaga-jaga harus dititik beratkan oleh para penunggang basikal.


Memakai Pakaian Yang Bersesuaian

Langkah utama yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu yang ingin berbasikal adalah dengan memakai pakaian yang bersesuaian supaya dapat mengelak dan mengurangkan kadar kecederaan jika berlakunya kemalangan. Pastikan anda memakai topi keledar keselamatan yang bersesuaian dengan saiz kepala dan mengenakan pakaian yang terang supaya mudah dilihat oleh pemandu atau penunggang kenderaan lain terutamanya pada waktu malam. Kasut, pelindung siku dan lutut juga tidak kurang pentingnya bagi mengurangkan risiko kemalangan dan dapat mengekalkan keupayaan mengayuh. Bagi kayuhan pada waktu malam, pasang lampu yang berkelip di belakang basikal dan pakai jaket berjalur yang reflektif. Kegagalan memasang lampu basikal di depan dan belakang boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan mengikut Kaedah 35 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. Semak semula dan pastikan anda memakai alatan ini dengan lengkap sebelum memulakan aktiviti kayuhan.


Rancang Perjalanan

Pastikan anda merancang perjalanan dengan menggunakan jalan yang biasa digunakan dan elakkan mengambil jalan yang anda tidak pasti keadaannya. Hal ini dapat mengelakkan anda daripada sesat dan mengurangkan risiko kemalangan akibat keadaan jalan raya tersebut.

Beritahu sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga atau kenalan yang tinggal berhampiran anda tentang rancangan perjalanan dan kawasan yang akan anda lalui semasa berbasikal. Hal ini dapat memudahkan mereka untuk mengetahui keberadaan anda sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini. Di samping itu, sediakan maklumat peribadi yang mudah diakses bersama anda sebagai persediaan bagi memudahkan orang awam untuk laporkan jika berlakunya kecemasan.


Patuhi Peraturan Jalan Raya

Penunggang basikal perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain. Antara peraturan yang perlu dipatuhi oleh penunggang basikal adalah mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya. Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) APJ 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM2,000. Pastikan anda menunggang di lorong yang ditetapkan untuk basikal dan tidak menunggang di kawasan yang dilarang bagi menjamin keselamatan.

Perbuatan lain yang perlu dipertimbangkan demi menjaga keselamatan adalah beri isyarat tangan yang betul beberapa saat sebelum menukar lorong sama ada ke kiri atau ke kanan, jaga jarak yang selamat antara kenderaan lain, tunggang basikal di sisir jalan, jangan berbual dengan rakan atau menggunakan telefon bimbit semasa menunggang basikal.


Kesihatan Diri

Kesihatan diri adalah paling mustahak dalam setiap aktiviti fizikal. Lakukan pemeriksaan kesihatan secara kendiri sebelum melakukan aktiviti yang memerlukan tenaga dan stamina yang tinggi. Pastikan anda tidak mengalami sebarang masalah kesihatan sebelum menunggang basikal. Hal ini penting untuk mengelakkan sebarang kecederaan yang mungkin berlaku kelak. Kenal pasti tahap kemampuan diri anda sendiri dengan memulakan latihan secara berperingkat agar dapat mengelakkan kecederaan fizikal seperti terseliuh, kekejangan otot, keradangan tenden dan lain-lain semasa bersukan.

Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiothorasik, Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon mengatakan kepada Bernama bahawa kebanyakan masyarakat mengambil ringan pemeriksaan kesihatan sedangkan adalah sebaiknya seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka sebelum bersukan. Hari ini kerana bukan semua aktiviti fizikal adalah bersesuaian dengan kita. Beliau mendapati bahawa beberapa rakannya yang aktif bersukan basikal mengadu sakit dada apabila membuat aktiviti sukan, dan sejurus beliau menanyakan adakah mereka membuat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu, ramai di antara mereka yang mengatakan tidak.

Meskipun kaedah-kaedah ini dilihat sebagai perkara yang remeh, namun langkah penjagaan keselamatan ini sedikit sebanyak dapat menyelamatkan nyawa anda dan orang sekeliling. Sentiasa patuhi arahan yang ditetapkan semasa berada di jalan raya dan segera laporkan jika terdapat perkara yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya kepada pihak yang bertanggungjawab.

2,206 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page