Nabila Najwa Saiful Azuwar
Lawatan ke Melaka Anjuran UKMbassadors Semat Minat Pelajar Antarabangsa Terhadap Malaysia
Updated: Nov 20, 2022
Penulis: Nabila Najwa Saiful Azuwar
Penyunting: Najwa Ismet Badjened

Sumber Gambar: UKMbassadors
MELAKA, 12 Nov - “Lawatan ke Melaka telah memberikan keseronokan kepada pelajar-pelajar pertukaran dari Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Kazakhstan kerana mereka dapat mempelajari banyak pengetahuan tentang sejarah dan budaya warisan Malaysia, mereka juga amat kagum dengan seni bina bangunan-bangunan bersejarah di Melaka”, kata Krishna.
Pelajar-pelajar tersebut dibawa ke Melaka untuk lawatan perjalanan sehari untuk melawat tempat-tempat yang bersejarah seperti bangunan A’Famosa, Gereja St Paul, Red Square dan Jonker Street. Selain itu, mereka juga dibawa ke Muzium Sejarah dan Etnografi, Muzium Sastera, Muzium Budaya Cheng Ho, Muzium Pendidikan dan juga Melaka River Cruise.
Menurut Presiden UKMbassadors, Krishna Baskaran, tujuan program lawatan itu dianjurkan adalah bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar pertukaran untuk menerokai sebahagian sejarah Malaysia dan juga untuk mendedahkan kepelbagaian budaya yang terdapat di Melaka seperti Komuniti Baba Nyonya.
“Perjalanan ke Melaka bersama UKMbassadors amat menyeronokkan, kami dapat melihat tempat-tempat bersejarah pada zaman Portugis di Malaysia, menikmati makanan dan minuman yang lazat di bandar”, kata Christopher, pelajar pertukaran Indonesia.
Pelajar-pelajar pertukaran yang datang jauh dari pelbagai pelosok dunia ini dapat menikmati juadah tempatan yang popular di Melaka seperti cendol durian dan makanan tradisional Nyonya, ini merupakan pengalaman yang amat diingati oleh pelajar-pelajar tersebut.
“Walaupun saya pernah pergi ke Melaka untuk 3 kali tetapi saya tetap berasa seronok kerana saya boleh berinteraksi dengan ramai rakan-rakan antarabangsa”.
“Bagi saya, program sebegini dapat memberi peluang untuk mengenali antara satu sama lain dengan baik dan perlu diadakan dengan kerap”, kata Kodai, pelajar pertukaran dari Jepun.
“Banyak lagi program oleh UKMbassadors yang akan dianjurkan pada masa hadapan, antaranya ialah program Minggu Global di mana sepanjang minggu tersebut akan dilengkapi dengan pelbagai aktiviti dari 10 Disember hingga 16 Disember”, kata Presiden UKM Global itu lagi.
Antara acara yang akan diadakan sewaktu Minggu Global berlangsung ialah acara Global Cafe dimana pelajar antarabangsa dan juga lokal akan berkongsi makanan tradisi negara mereka. Bukan itu sahaja, tayangan filem antarabangsa juga akan diadakan dimana mereka akan mempamerkan filem antarabangsa dan banyak lagi aktiviti yang telah dirancang untuk semua pelajar UKM.