top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Lebih 10 000 Gegar Konsert Hausboom Music 2019

Oleh: Siti Nurhazira Binti Abu Bakar

Penyunting: Ateefa Binti Zulkifli


Sumber: Instagram @hausboommusic

SERDANG, 23 Nov – Konsert Hausboom Music 2019 kembali menggegarkan Mines International Exhibition Convention Centre (MIECC) dengan mencipta sejarah tersendiri apabila menerima seramai 10 000 orang penonton bermula jam 4 petang hingga 10 malam pada 10 November lalu.


Konsert ini menghimpunkan seramai 8 artis ternama tanah air daripada pelbagai genre di bawah satu bumbung iaitu B-Heart, Pop Shuvit, Budak Nakal Hujung Simpang, Bunkface, Hujan, Gerhana Ska Cinta, K-Clique dan ratu rock negara, Ella.


Menurut Pengurus Kreatif dan Pemasaran Hausboom, Azzim Zahid Azmi, “Konsert pertama Hausboom adalah pada tahun 2017 namun tempat adalah terhad kepada 150 orang sahaja. Bagi menikmati persembahan tersebut, penonton perlu membuat tempahan nama terlebih dahulu.”


“Pada tahun ini, kami telah mengambil keputusan untuk membawa sedikit keunikan iaitu dengan mengadakan konsert berskala besar dan lebih meriah. Pemilihan penampilan artis di pentas Konsert Hausboom Music 2019 juga bertujuan untuk menghiburkan semua penonton. Alhamdulillah, kami telah mendapat sambutan yang sangat hangat dan dalam masa 24 jam sahaja, tiket RockZone telah habis dijual.”


Tambah Azzim lagi, “Pihak kami menerima banyak permintaan daripada para penonton untuk menganjurkan lebih banyak konsert namun ianya masih dalam perbincangan kerana ia perlu dinilai dari pelbagai aspek. InsyaAllah, sekiranya tiada apa-apa halangan, Konsert Hausboom Music 2020 akan kembali dengan lebih ramai barisan artis terkemuka.”


Salah seorang penonton konsert, Nurul Fatihah Noordin, 23, berkata, “Saya berasa sangat teruja apabila dapat melihat persembahan daripada barisan artis yang popular terutamanya Ella kerana saya merupakan peminatnya. Sekiranya Hausboom akan membuat comeback, saya tidak akan teragak-agak untuk menjadi sebahagian daripada ribuan penonton.”


Manakala Afifa Syahirah Baharudin, 23, yang juga merupakan penonton konsert berkata, “Saya sangat menikmati konsert tersebut kerana tempatnya yang selesa selain pemilihan barisan artis yang baik. Para penonton juga mudah untuk membeli makanan dan minuman di ruangan yang disediakan oleh pihak Hausboom.”


Terdahulu, tiket dijual dengan harga mampu milik iaitu RM30 untuk early bird, RM60 pada hari kejadian dan RM100 untuk RockZone.

62 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page