top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Letusan Semeru Bagai Kiamat Kecil Bagi Penduduk

Penulis: Hazlina Nasa Sutrisno

Penyunting: Alyaa Zainal


Sumber: WhatsApp penduduk tempatan


LUMAJANG, 5 Dis : Tragedi letusan Gunung Semeru yang memuntahkan lahar panas selain kepulan asap dan debu panas pada jam 3 petang semalam bagaikan sebuah petanda kiamat kecil bagi penduduk di Kabupaten Lumajang, Jawa Timur, Indonesia.


Gunung Semeru merupakan gunung berapi yang aktif, terletak di kawasan Jawa Timur, Indonesia dengan ketinggian 3,676 meter dari paras laut. Letusan gunung berapi tersebut merupakan kali kedua dan terburuk dalam tahun ini selepas kali pertama dicatatkan pada Januari 2021. Kepulan asap dan hujan debu didapati menyelimuti kawasan perumahan penduduk selain meranapkan infrastruktur seperti Jambatan Gladak Perak yang merupakan akses penduduk untuk ke jalan utama. Tragedi tersebut juga menggemparkan apabila mereka dihujani dengan batu kerikil selain asap tebal mengaburi pandangan, menyebabkan penduduk bertempiaran lari dalam kegelapan.



Suudi, 42 seorang warga tempatan berkata beliau dan beberapa orang keluarga tidak dapat pulang ke rumah selepas Jambatan Gladak Perak musnah akibat letusan gunung berkenaan.


“Saya tidak dapat pulang ke rumah saya di Lumajang dan sekarang masih berada di Tempeh, iaitu di rumah kakak saya kerana Jambatan Gladak Perak roboh. Lahar panas Semeru meletus mengikut alurnya tapi akibat haba panas yang meluap, maka jambatan tersebut roboh dan tiada lagi laluan yang boleh digunakan penduduk. Jika ada pun, penduduk kena lalu Malang yang lebih jauh dan memakan masa yang sangat lama,” ujar beliau.


Dalam tragedi tersebut, CNN Indonesia melaporkan setakat ini seramai 13 orang maut manakala sejumlah penduduk melecur parah selain cedera akibat debu panas yang dikeluarkan Gunung Semeru, dan ada juga mangsa yang dilaporkan hilang.


Hasil temubual wartawan Nadi Bangi mendapati sejak letusan berlaku, ahli keluarga masih tidak dapat menghubungi mangsa dan penduduk Kabupaten Lumajang terpaksa bergelap kerana terputus bekalan elektrik, air, terputus akses jaringan internet dan seluruh akses ke kawasan terjejas terpaksa ditutup akibat bencana tersebut.


Seorang warga Lumajang yang menetap di Melaka, Sutina 42, ketika dijumpai berkata beliau tidak dapat menghubungi saudara mara di kampung selepas tularnya berita Gunung Semeru meletus disiarkan di media sosial.


‘Saya tidak dapat menghubungi ahli keluarga yang tinggal di Lumajang khususnya selepas berita Semeru meletus disiarkan di Facebook. Kalau call biasa boleh, tapi kalau call guna internet tak boleh. Mungkin ketiadaan elektrik ditambah dengan suasana huru-hara menyebabkan mangsa tidak sempat melihat telefon bimbit. Saya pun agak risau kerana ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan penduduk terputus bekalan air juga kerana air pakai pam elektrik. Semoga semuanya selamat,’ katanya.


Salah seorang penduduk Pronojiwo Lumajang, yang dikenali sebagai Mat Nadi, 40 turut berkongsi kegusaran selain pengalaman menyelamatkan mangsa letusan khususnya mereka yang mengalami luka bakar.


‘Allahu akbar, kita sudah diberi peringatan kiamat kecil oleh Allah. Ya Allah, selamatkanlah kami. Beberapa orang melecur teruk akibat debu panas telah dibantu dan mereka menumpang sebentar di rumah saya sebelum bantuan perubatan tiba malam semalam. Banyak juga rumah penduduk terutama di Curah Kobokan yang rumahnya ditenggelami debu tebal selain banjir lumpur dan hujan batu,’ ujar beliau.


Rata-rata penduduk masih bimbang dan telah diingatkan supaya terus berhati-hati akan sebarang kemungkinan atau letusan susulan yang boleh berlaku dalam masa terdekat. Setakat jam 8 malam, terdapat segelintir penduduk yang sudah pulang ke rumah khususnya mereka yang berada di kawasan yang kurang terjejas. Bagi mangsa yang terjejas teruk dan kehilangan tempat tinggal, mereka terpaksa menetap di penempatan sementara di masjid, balai raya ataupun rumah sanak saudara demi menjaga keselamatan mereka.



177 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page