top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Lima Kakitangan Hospital Didakwa Seleweng Urus Jenazah

Penulis: Farah Natasya Ramani

Penyunting: Azril Izzat Ramlan

Sumber: Google


KAJANG, 13 Dis - Lima kakitangan Unit Forensik sebuah hospital di sini didakwa atas pertuduhan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan sekitar tahun 2019 hingga 2021.


Tiga daripada lima suspek dibicarakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 8 Disember lalu. Tertuduh, Mohd Nizam Noordin, 41 disyaki menerima rasuah sebanyak RM600 bagi memberi kerja pengurusan dua jenazah dan Muhd Azhar Nahar, 44 didakwa menerima sejumlah RM900 sebagai upah membenarkan ejen yang sama menguruskan tiga jenazah. Manakala, Mohd Redzuan Che Hussain, 34 menerima jumlah suapan tertinggi iaitu sebanyak RM3,450 apabila memberi ejen, Nur Azlan Azmi, 33 menguruskan sembilan jenazah. Ejen membayar kesemua suspek berjumlah RM300 sehingga RM400 bagi setiap jenazah.


Sementara itu, tertuduh keempat, Mohd Fariq Ariffin, 34 dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh, 9 Disember lalu atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM1,750 sebagai balasan memberikan kerja pengurusan enam jenazah kepada ejen. Manakala di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, tertuduh kelima, Sharum Hassim, 41, didakwa menerima wang berjumlah RM300 atas kesalahan yang sama. Kelima-lima suspek bagaimanapun mengaku tidak bersalah.


Sehubungan dengan itu, pengasas Afiz Ayub Foundation, Afiz Ayub melalui satu hantaran dalam laman sosial Facebook beliau sebelum ini pernah “membongkarkan” modus operandi kartel pengurusan jenazah tersebut namun dibidas sesetengah individu kerana dikatakan memfitnah.


“Modus operandinya, jika jenazah sampai di pekarangan forensik dan katakan waris keluarga sudah ada pihak yang akan menguruskan si mati, mereka (pihak forensik) akan memberikan pelbagai alasan seperti menjual nama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kononnya hanya lantikan JAIS sahaja dibenarkan mengurus jenazah. Ini membuatkan waris terpaksa menerima cadangan mereka kerana tidak mahu jenazah “disimpan” terlalu lama.”, katanya.


Tambah pengasas kumpulan bantuan badan amal itu lagi, terdapat satu kes di sebuah hospital kerajaan di Kota Bharu yang mana sepatutnya jenazah dituntut dan diuruskan oleh pihaknya namun pasukan forensik hospital berkenaan tidak membenarkan atas alasan jenazah sudah pun siap diurus oleh pihak mereka dan terus meminta bayaran sebanyak RM1,400.


Melalui satu ciapan yang dibuat oleh Wahida Hussain, 35, menerusi akaun Twitternya, beliau mendakwa pihak forensik kurang senang dengan kehadiran Afiz Ayub Foundation atau lebih dikenali sebagai TeamAA dalam membantu pengurusan jenazah kerana tidak mengenakan sebarang caj yang merangkumi urusan mandi, kafan serta penghantaran ke tempat pengebumian.


“Kartel ni lah yg selalu kacau Afiz Ayub Foundation. Team ni lah yg selalu sailang kitorang. Yang selalu benci kitorang. Sebab kitorang buat percuma.”, kata sukarelawan itu.


Sementara itu, difahamkan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 Januari tahun depan serta turut membenarkan dua kes terbabit dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama-sama tiga lagi suspek yang lain.

247 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page