top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Loaf Adam Patisserie Tarik Pengunjung Dengan Cromboloni “Made From Scratch”

Penulis: Intan Sabrina Hanapi 

Penyunting: Nur Aleeya Alisha Mohammed Farish


Sumber: Instagram @maqanmy 


Johor Bahru, 25 Dis- Sebuah kedai pastri terkenal, Loaf Adam Patisserie yang terletak di Larkin, Johor Bahru telah menarik perhatian ramai pengunjung dengan penjualan Cromboloni yang sedang tular di seluruh Malaysia baru-baru ini. 


Loaf Adam Patisserie merupakan satu kafe dan bakeri dimiliki oleh Adam Adli atau dikenali sebagai Loaf Adam di platform Tiktok dan Instagram yang mula beroperasi sejak dari bulan September lepas. 


Hampir 1,000 orang pelanggan sanggup beratur panjang di kedai Loaf Adam setiap hari hanya untuk membeli Cromboloni yang sedang tular di seluruh media sosial seperti TikTok, Instagram dan X. 


Loaf Adam menjual sebanyak tiga jenis Cromboloni iaitu Pistachio Praline, Chocolate Pecan Praline dan Seasalt Honeycomb serta beberapa pastri yang lain seperti Strawberry Pistachio Tart, Pain Au Chocolat, Butter Croissant dan Noisette Praline Eclair.


Menurut Adam keistimewaan Cromboloni di Loaf Adam adalah mereka menghasilkan pastri “from the scratch” yang seratus peratus buatan sendiri termasuklah dalam pembuatan krim kastard. 


“Penghasilan Cromboloni di Loaf Adam ini dibuat from scratch yang sepenuhnya dibuat oleh kami serta bahan yang digunakan semuanya berkualiti. 


“Dari segi proses mencari idea dan pembuatan resepi, saya mulakan dengan membuat perancangan misalnya mencari saiz dan acuan yang sesuai kemudian saya akan mula mengajar pekerja yang lain untuk mereka ambil alih proses pembuatan itu sepenuhnya. 


“Pada masa yang sama, saya juga sentiasa memastikan setiap pekerja saya seperti barista, baker dan pelayan dapat menguasai kemahiran mereka dengan baik agar mereka dapat memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan,” katanya. 


Tambahan lagi, beliau juga berkata bahawa antara kelainan yang dibawa oleh Loaf Adam sebagai kedai pastri yang bertapak di Johor Bahru adalah mereka ingin membawa budaya Melayu yang menghasilkan pastri di Malaysia. 


“Bagi saya, ianya agak sukar untuk mencari kedai pastri yang dimiliki oleh orang melayu sekarang jadi, saya ingin menjadikannya satu budaya bagi kaum kita untuk menghasilkan pastri di Malaysia. 


“Disebabkan itu, ramai pelanggan tertarik dengan pastri di kedai kami kerana ianya merupakan suatu perkara yang baharu untuk mencuba pastri yang dibuat oleh orang Melayu. 


“Oleh itu, permintaan oleh pelanggan agak luar biasa dan menyebabkan kami perlu bekerja lebih masa namun setiap Cromboloni tetap dihasilkan dengan penuh semangat dan cinta,” katanya kepada wartawan Nadi Bangi. 


Terbaru, Loaf Adam telah mengeluarkan notis bahawa mereka akan mengurangkan pengeluaran Cromboloni mereka kepada 240 hidangan sehari dan dijual pada pukul 3 hingga 4 petang dan 5 hingga 6 petang sahaja bagi menjaga kualiti produk serta kesihatan para pekerja.



56 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page