top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Lubang besar Tengah Jalan Putuskan Hubungan 5000 Penduduk

Penulis: Azril Izzat Ramlan

Penyunting: Farah Natasya Ramani

Foto: Azril Izzat Ramlan

DUNGUN, 28 Nov – Seramai 5,000 penduduk di kawasan Hulu Dungun terputus hubungan selepas jalan utama di Kilometer 10, Jalan Tepus – Pasir Raja mendap sehingga terbentuk lubang besar.


Berikutan keadaan jalan yang membentuk lubang besar di tengah-tengah laluan utama, jalan terbabit akhirnya terpaksa ditutup kepada semua kenderaan sehingga menyebabkan penduduk yang menetap di kawasan Kampung Kuala Jengai, Rantau Panjang, Syukur, dan Pasir Raja terputus hubungan. Laluan tersebut merupakan jalan utama yang menghubungkan penduduk kampung ke kawasan bandar.


Penduduk, Nordin Saman, 54 berkata mendapan tersebut merupakan mendapan yang paling serius yang pernah berlaku di kawasan itu sejak dua minggu lalu. ”Mendapan yang berlaku kali ni lebih serius dengan terbentuk tiga lubang seperti kawah besar. Perkara ini sememangnya berbahaya bagi pengguna-pengguna di kawasan ini. Kita tak mahu lah berlaku sebarang kemalangan di sini.”


Tambah beliau lagi, perkara ini bukanlah perkara yang baru oleh penduduk kampung di kawasan tersebut. ”Sejak kejadian banjir besar yang melanda Kuala Terengganu 2014 lalu, jalan di situ sering berlaku mendapan dan setiap kali mendap, pihak berkuasa hanya menampal jalan tersebut dan kali terakhir tampalan dibuat adalah pada 30 ogos lalu. Saya amat berharap keadaan ini turut dipandang serius oleh pihak berkuasa seperti mana seriusnya keadaan jalan kali ini.”, katanya.


Sementara itu, penduduk, Wan Zawawi Wan Ahmad, 38, berkata di sebarang jalan yang terbabit mempunyai lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Jengai, SK Jongok Batu, SK Syukur, SK Pasir Raja dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai. Keadaan jalan yang berlubang sehingga memaksa jalan tersebut terpaksa ditutup telah menyulitkan guru-guru serta para pelajar untuk berulang-alik dari sekolah ke kediaman masing-masing. Tambah beliau lagi, sejak kejadian itu ramai pelajar yang tinggal di Kampung Minda dan Talong membuat keputusan untuk tidak hadir ke sekolah.


“Kalau nak ke sekolah, guru-guru dan pelajar terpaksa menggunakan Jalan Bukit Besi Lama dan ke Kampung Rantau Panjang dengan jarak sejauh 30 kilometer. Perjalanannya ada lah lebih kurang 30 ke 40 minit,” katanya.


Wan Zawawi turut berkata mendapan yang sering berlaku itu adalah disebabkan oleh pembentung aliran air di bawah jalan terbabit pecah. Beliau menyuarakan agar masalah pembetung itu diselesaikan dengan segera untuk mengelakkan berlaku mendapan yang lebih teruk sehingga merosakkan struktur jalan sepenuhnya. Menurut beliau, keadaan jalan yang berlubang sekarang telah memutuskan hubungan seramai 5000 orang penduduk dan jika keadaan menjadi lebih teruk, ia mampu memutuskan hubungan penduduk sehingga lebih 10,000 orang dan akan membawa kepada pelbagai masalah lain.


“Apabila jalan tersebut rosak, ia secara tidak langsung telah memutuskan hubungan kami di kawasan selatan dengan penduduk di kawasan utara. Jika terdapat apa – apa kecemasan, sudah tentu ia akan menyukarkan pihak bertanggungjawab untuk datang memberi bantuan. Di kawasan Hulu Dungun ini, pasti akan berlaku banjir setiap kali musim tengkujuh, sudah jelas dan pasti pihak berkuasa akan mengalami kesukaran untuk membantu memindah penduduk atau menghantar bekalan kepada mangsa banjir jika keadaan jalan sebegitu rupa. Oleh sebab itu, saya mewakili seluruh penduduk di sini amat berharap keadaan ini dapat diambil tindakan dengan segera,” katanya.


439 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page