top of page
  • Writer's pictureNurul Izzah Aisa

Mahir Lukis Gambar Walaupun Melalui CCTV

Updated: Dec 7, 2022

Penulis: Nurul Izzah Aisa

Penyunting: Wong Yee Tian


Pelukis sedang menghasilkan sebuah karya lukisan. Sumber Gambar: Nurul Izzah Aisa


KUALA LUMPUR, 26 Nov - Hanya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang pelukis berjaya menghasilkan sebuah lukisan wajah manusia yang realistik.


Pelukis tempatan, Zakaria Mat Isa, 56 berkata beliau mampu menghasilkan sebuah lukisan wajah manusia melalui kamera litar tertutup walaupun rupa manusia di dalam kamera tersebut hanya samar-samar dan kurang jelas.


“Selain melukis lukisan tempahan daripada pelanggan, saya juga boleh melukis wajah orang secara realistik hanya melalui CCTV.


“Walaupun dalam CCTV tersebut wajahnya samar-samar tetapi dari segi bentuk muka, di situlah saya dapat keluarkan sedikit demi sedikit sehingga terhasilnya lukisan gambar

manusia tersebut,” katanya.


Menurut beliau, dalam menghasilkan lukisan dari gambaran yang tidak jelas ini sebenarnya memerlukan banyak teknik sehingga gambaran lukisan itu berjaya dihasilkan.


“Untuk melukis wajah orang yang hanya dalam gambaran CCTV sebenarnya mempunyai asas-asas tertentu seperti dimulakan dengan anatomi, pergi pula kepada bentuk tengkorak dan bila semua itu dapat digabungkan, akhirnya akan terhasil satu bentuk wajah manusia.


“Bukan dari segi teknik ini sahaja, tetapi perlu juga untuk merujuk kepada teknik yang lain mengikut langkah satu demi satu,” tambah beliau lagi.


Zakaria telah mula menceburi bidang seni lukis sejak tahun 1987 dan dalam tempoh tersebut beliau juga menyambung pelajaran pada peringkat diploma di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang elektrik perhubungan.


Setelah menghabiskan pengajian, beliau mula merasakan bahawa diri beliau lebih berminat ke arah seni lukis dan di situlah beliau mula menghasilkan karya-karya lukisan.


Zakaria juga mendapat tempahan untuk menghasilkan potret wajah individu korporat,

kenamaan, menteri dan juga sultan sehingga ada lukisannya yang mencecah RM35,000.


Sejak beliau melukis 20 tahun yang lalu, beliau banyak menyertai pameran seni sama ada solo atau berkumpulan bertempat di Jalan Tun Razak Club, Pameran APS, Pan Pacific Hotel, Saloma Bistro, Bukit Kiara Club, Pangkor Laut Resort dan banyak lagi.


Kini, Zakaria telah membuka sebuah kedai lukisan di sekitar Kuala Lumpur dan menjadikan ini sebagai kerjaya tetap beliau.


Kerjaya sebagai seorang pelukis tempatan akan diteruskan lagi memandangkan sumber pendapatan beliau ini adalah merupakan sumber rezeki untuk menampung keluarganya.

42 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page