• Farena Hani

Majlis Global Iftar Dihadiri Oleh Pelajar Antarabangsa

Penulis: Farena Hani Abd Manap

Penyunting: Haisyadatul Hurairi

Sumber: UKMBassadors


BANGI, 14 April - Pelajar pertukaran dari lima buah negara telah menghadiri Majlis Global Iftar anjuran Pusat Perhubungan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Majlis yang diadakan di Dewan Bankuasi, Bangunan Canselori UKM dihadiri oleh pelajar pertukaran daripada negara Jepun, Korea, China, Bangladesh dan ahli kelab UKMbassadors sebagai tanda mereka menghormati bulan yang mulia ini.


Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah UKM Global, Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Pegawai Tadbir UKM Global, Harfiz Rasul Mohamad.


Pandemik yang melanda dunia pada dua tahun lepas telah menyebabkan program pertukaran pelajar secara fizikal telah tergendala. Maka, Majlis Global Iftar merupakan salah satu inisiatif yang dapat memberi peluang kepada para pelajar pertukaran yang terlibat untuk merasai pengalaman berjauhan dari keluarga serta dapat beramah mesra dengan UKMbassadors yang lain.


Menurut Pengarah UKM Global, Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad, beliau menyatakan bahawa program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar antarabangsa tentang ibadah puasa dan suasana ramadan di Malaysia


“Pelajar berpeluang bertanya soalan tentang aktiviti yang dilakukan semasa bulan Ramadan di Malaysia dan program ini juga dapat memeriahkan aktiviti pengantarabangsaan di kampus,” katanya.


Ahli jawatankuasa bagi majlis ini iaitu UKMbassadors sendiri telah memastikan agar majlis tersebut berjalan dengan lancar. Alunan bacaan tarannum telah disampaikan oleh dua orang pelajar iaitu Husayn Azizi dan Akasyah Yunos disertai dengan tazkirah yang telah disampaikan oleh Dr. Abu Dardaa bin Mohamad.


Menurut Vaid Druhi, pelajar pertukaran Sarjana dari United Kingdom, dia merasakan bahawa ianya merupakan satu pengalaman yang menarik apabila seorang individu mampu menahan diri daripada perasaan lapar dan dahaga dengan keadaan cuaca Malaysia yang panas.


“Saya juga dapat berjumpa dengan ramai pelajar pertukaran yang lain dan antara makanan tradisional Malaysia yang saya gemar adalah kuih karipap,” katanya lagi.


Menurut perkongsian cerita dari Ryota Yamamoto semasa majlis sedang berlangsung, dia sangat menyukai makanan di Malaysia dan mempelajari serba sedikit Bahasa Melayu sebelum datang ke Malaysia untuk menyesuaikan dirinya di sini.


“Saya juga cuba untuk menahan rasa lapar dan dahaga agar dapat merasai pengalaman berpuasa di bulan Ramadhan,” katanya lagi.


Sebelum ini, pelajar-pelajar pertukaran hanya menyertai program atau majlis yang dianjurkan oleh UKM Global secara atas talian sahaja dengan menggunakan platform yang disediakan seperti Google Meet, Zoom, Cisco Webex dan Microsoft Teams.

46 views0 comments