• Nadi Bangi

MAJLIS PELANCARAN PESTA TANGLUNG UKM KE-40 DISAMBUT MERIAH OLEH PELBAGAI KAUM

Oleh: Liaw Jia Ying

Penyunting: Zarith Sofea



Sumber: PT UKM

BANGI, 24 September: Majlis Pelancaran Pesta Tanglung Universiti Kebangsaan Malaysia (PT UKM) ke-40 bukan sahaja disambut meriah oleh kaum Cina, kaum lain juga tidak ketinggalan dalam memeriahkan lagi sambutan tersebut yang diadakan di Dewan Gemilang UKM baru-baru ini.


PT UKM merupakan sebuah persatuan yang mengamalkan kebudayaan dan meraikan perayaan kaum Cina, iaitu Zhong Qiu, serta menawarkan sebuah platform yang dapat melatih pelajar untuk menjadi seorang pemimpin.


Menurut Ketua Pengarah PT UKM ke-40, Lee Jia Hoe (Program Kejuruteraan Awam), aktiviti melepaskan tanglung merupakan acara tahunan yang dijalankan sejak tahun 2012.


“Tujuan kami mengadakan aktiviti ini adalah supaya semua pelajar dapat meraikan Perayaan Zhong Qiu (Mid Autumn Festival) bersama-sama serta berharap agar hasrat mereka menjadi kenyataan.


“Saya berasa gembira kerana majlis ini mendapat sambutan daripada pelbagai kaum dan berjalan dengan lancar,” katanya.


Chew En Ru (Program Komunikasi Media), mengatakan bahawa dia sangat teruja untuk melihat suasana aktiviti melepaskan tanglung pada tahun ini kerana dia tidak berpeluang untuk menyertai majlis tersebut pada tahun sebelumnya kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.


Dia juga menganggap aktiviti melepaskan tanglung merupakan suatu tindakan berdoa.

Aleeza (Program Geografi) berkata, “Aktiviti melepaskan tanglung ini merupakan kali pertama dilakukan oleh saya dan aktiviti ini dilihat dapat menghimpunkan semua orang tanpa mengira kaum.”


Walau bagaimanapun, seorang pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ho Mi Zhi memberitahu, “Saya bimbang sekiranya tanglung ini dilepaskan tanpa pengawasan kerana ia akan menyebabkan kemalangan.


“Namun, semua tanglung telah diikat oleh pihak penganjur, maka ia hanya akan dilepaskan dalam ketinggian terhad sahaja,” ujar beliau.

45 views0 comments