top of page
  • Writer's pictureAsyiqin Rashid

Mak Wan Jadi Inspirasi Peluang Kedua sebagai Bekas Penagih Dadah

Penulis: Asyiqin Rashid

Penyunting: Sudais Ferhard



Kisah Hidup Seorang Bekas Penagih Dadah Jalanan


Kehidupan wanita besi tanpa sokongan keluarga ini yang dahulunya pernah sengsara dan bergelar penagih dadah jalanan kini menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat khususnya dalam kalangan komuniti Chow Kit. Biarpun terlihat biasa dari segi penampilan, namun jiwanya yang mulia mampu untuk membuka mata manusia tentang betapa hebatnya golongan bekas penagih ini apabila diberi peluang kedua.


Wan Kamariah Binti Daud, 70 yang juga dikenali sebagai Mak Wan merupakan kelahiran negeri Kelantan dan kini menetap di Chow Kit, Kuala Lumpur sejak umur 11 tahun. Kehidupannya mula terjejas setelah berkahwin atas dasar menurut pilihan keluarga dengan seorang lelaki yang tidak diketahui status kehidupannya., m Mereka hidup bersama sehinggalah mereka ditangkap atas pertuduhan mengedar dadah. Akhirnya, suaminya dikenakan hukuman gantung sampai mati.


Setelah hampir 12 tahun menjalani kehidupan tanpa bantuan suami disisi telah menyebabkan Mak Wan bertindak untuk mengambil alih pekerjaan suaminya iaitu mengedar dadah. Hal ini telah menyebabkan Mak Wan turut terjebak dalam aktiviti penagihan dadah dan sentiasa berjumpa dengan golongan penagih di kawasan-kawasan ‘hotspot’ bagi tujuan mengedar dan menagih dadah. Kehidupannya menjadi semakin kucar-kacir sehinggakan beliau pernah termasuk dalam golongan yang menjalani kehidupan seharian mereka di kaki-kaki jalan, lorong gelap dan sebagainya. Katanya, beliau merasakan masa depan kehidupannya terasa semakin malap. Keinginan untuk hidup seperti manusia biasa sudah mulai mati. Semenjak itu, Mak Wan menjadi antara wajah-wajah yang sering menjadi perhatian pihak polis setelah keluar masuk pusat serenti selama beberapa tahun.


Muncul Sinar Kehidupan


Setelah hampir 10 tahun di pusat serenti bagi tujuan pemulihan akhirnya Mak Wan telah terbuka hati untuk berubah demi memastikan masa depan kehidupannya lebih terjamin. Jika sebelum ini beliau menganggap bahawa sinar kehidupannya terpadam, namun semua itu tidak lagi menjadi penghalang apabila beliau bertekad untuk membawa perubahan besar kepada dirinya sendiri.


Menurut beliau, Komander pusat pemulihan mereka pernah berkata bahawa pemulihan yang sebenar bukanlah semasa proses latihan, namun pemulihan yang sebenar berlaku ketika mana golongan ini duduk bersendirian untuk melawan segala keinginan terhadap dadah menggunakan ilmu pemulihan yang dipelajari di pusat dahulu.


Cabaran yang dialaminya bertambah berat dan rumit apabila tempat ‘hotspot’ utama penagihan dadah bagi para penagih hanya berhadapan dengan rumah Mak Wan sendiri. Namun, Mak Wan tetap dengan pendirian beliau. Walaupun Chow Kit merupakan permulaan kepada dunia penagihan dadah bagi dirinya, beliau bertekad untuk meneruskan misinya bagi menjamin kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Ianya membuktikan bahawa gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.


Bagi mengekalkan kepulihan dirinya daripada kesan-kesan dadah, beliau meneruskan segala amalan yang telah dipelajari dan dilatih di pusat pemulihan dalam kehidupan sehariannya. Sejak itu, beliau sangat menitikberatkan tentang penjagaan kualiti solatnya, membuat amal kebajikan dengan cara memberikan sedekah makanan kepada gelandangan di kawasan sekeliling, mempelajari ilmu-ilmu agama dengan lebih mendalam dan sebagainya.


Makwan Terima Banyak Sokongan


Bermula dengan setiap pengurusan diatur seorang diri dari membeli barang mentah, memasak, membungkus dan menghantar kepada gelandangan, kini segalanya menjadi lebih mudah apabila salah sebuah NGO iaitu Yayasan Amal Malaysia menyedari kewujudan insan berbudi seperti Mak Wan. Mereka menjadikan Mak Wan sebagai ikon dan inspirasi kepada semua pejuang dadah khususnya di Malaysia.



Sejak dari itu, Warung Makan Sahabat telah dibangunkan di bawah kediamannya sendiri dengan bantuan dana dari NGO bagi memudahkan tujuan pengedaran makanan bungkus percuma setiap hari kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.


Kini, setelah meningkat usia Mak Wan tidak lagi perlu menguruskan apa-apa, hanya bertugas sebagai pemantau sahaja memandangkan hampir setiap hari pastinya ada sukarelawan yang datang untuk memberikan bantuan pertolongan dari segi tenaga kerja dan kewangan untuk sama-sama berbuat amal kebajikan.



Dalam pada masa sama, NGO Yayasan Amal Malaysia juga memberikan dana penuh kepada pihak Mak Wan untuk pembangunan pembinaan Rumah Didik Sahabat. Rumah ini dibangunkan atas dasar bagi membantu masyarakat khususnya golongan yang tekad ingin mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. Pelbagai majlis ilmu telah diadakan seperti kelas Fardhu Ain, kelas mengaji Al-Quran dan sebagainya telah menjadi rutin harian masyarakat di sana untuk datang dan menuntut ilmu.


Mak Wan Harap Usaha Beliau Diteruskan


Mak Wan juga berkata bahawa beliau menginginkan agar legasi Warung Makan Sahabat diteruskan walaupun dirinya sudah pergi meninggalkan dunia. Berbekalkan tenaga dan kudrat yang masih ada, Mak Wan masih gigih menguruskan Warung Makan Sahabat ini bagi membantu masyarakat membuka minda bahawa peluang kedua masih ada sekiranya peluang diberikan kepada mereka.


Namun, persepsi masyarakat sekeliling merupakan antara cabaran terbesar bagi diri beliau. Berbicara tentang stigma, Mak Wan berpendapat bahawa seseorang manusia itu sendiri yang mengehadkan kemampuan diri kerana terlalu memikirkan pandangan orang lain. Seseorang itu hanya perlu yakin bahawa Allah mengetahui niat dan amalan masing-masing sehingga manusia lain boleh membuat penilaian sendiri.






135 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page