Penulis: Ahmad Bhaihaqi Mat Tiah
Penyunting: Priiyalakshmi Kumarrajah
Sumber Foto: Instagram @adyratnakajai
BANGI, 22 DIS - Aktiviti malam galau yang diadakan di kafeteria Kolej Rahim Kajai disambut meriah bagi melepaskan tekanan yang dihadapi oleh para pelajar di saat-saat berada dalam penghujung semester ini.
Sebanyak 11 buah lagu yang telah didendangkan dan berjaya menggamit perasaan serta jiwa para pendengar. Antaranya ialah Tak Ingin Usai, Bila Nanti, Rumah Singgah dan lain-lain lagi. Pihak Nadi Bangi juga sempat berbual-bual dengan pengetua KRK iaitu Prof. Madya Dr. Razaleigh Muhamat@Kawangit.
“Saya melihat ramai juga para pelajar KRK ini turun ke kafeteria dan datang memeriahkan suasana Malam Galau ini,” kata beliau.
Beliau juga sempat bergurau senda dengan menyatakan bahawa pihak Adyratna boleh mengenakan caj bayaran kepada para pelajar yang ingin menonton persembahan ini pada masa kelak.
“Jika Malam Galau ini diadakan lagi suatu hari kelak, kamu (merujuk kepada persatuan Adyratna) boleh mengenakan caj bayaran kepada para pelajar sekiranya mereka ingin menonton persembahan ini,” katanya dalam nada berseloroh.
Para pelajar KRK juga turut tidak ketinggalan untuk memeriahkan susasana Malam Galau dengan menyanyi bersama-sama dengan para penyanyi Voice Of Kajai. Menurut Muhammad Faris Kamarulzaman, pelajar jurusan Geografi berpendapat, acara seperti ini sangat bagus diadakan lagi kerana dalam masa yang sama boleh melepaskan tekanan yang ada.
“Saya merasakan acara seperti ini sangat bagus diadakan dan patut diadakan lagi kerana dalam masa yang sama boleh membuatkan para pelajar melepaskan segala tekanan dengan nyanyian-nyanyian lagu galau ini.
“Bukan itu sahaja, ia juga dapat merapatkan lagi tali persahabatan sesama kami dan bersama-sama merasakan keindahan lagu didendangkan pada malam hari,” katanya lagi.
Menurut Najihah Hafidz, pelajar jurusan Sains Pemakanan berkata dia sangat seronok melihat para pelajar menikmati masa dengan rakan-rakan yang lain.
“Walaupun terdapat kesedihan apabila lagu dinyanyikan, namun terselit juga kebahagiaan meskipun bukan berdua-duaan dengan si dia (merujuk kepada sang kekasih) kerana adanya perpaduan sesama warga Kolej Rahim Kajai,” katanya lagi sambil berseloroh.
Malam Galau ini dimeriahkan dengan persembahan yang cukup menarik daripada para pelajar yang bersuara emas seperti Mohd Rifdi, Ikon Voice Of Kajai dan beberapa lagi para pelajar yang cukup hebat belaka.
Comments