Nadi Bangi
Mana Kesopanan Dan Kesusilaan Kau? Graduan UM Dikecam Hebat Oleh Netizen
Oleh: Deliyana Darwes
Penyunting: Norasikin Ariffin

BANGI, 20 Okt – Berikutan video yang dimuat naik di laman Twitter oleh pemilik akaun Hazwan Syafiq yang tular isnin lalu, tindakan seorang graduan Universiti Malaya (UM) yang menayangkan plakad yang tertulis “Tolak Rasis” dan “Undur VC” selepas menerima ijazah beliau diatas pentas konvokesyen UM kali-59 dianggap biadap dan dikecam hebat oleh netizen.
Perkongsian video yang berdurasi 14 saat itu memaparkan graduan yang dikenali sebagai Wong Yan Ke melaungkan perkataan “undur VC, ini tanah Malaysia!” sambil menayangkan plakad tersebut mendapat 483k tontonan dan 15.2k perkongsian di laman Twitter.
“Majlis rasmi, dihadiri tetamu kehormat dan ibu bapa. Tahu darah amarah, tapi kau pilih pentas yang salah bro. melaungkan kata protes atas pentas, menjerit sambil angkat placard. Mana kesopanan dan kesusilaan kau?” tulis Hazwan syafiq dalam bebenangnya di laman Twitter.
“Jenis tak tahu adab, tak ada adat dan common sense” pemilik akaun @mrdcreatives turut memberi komen pada bebenang tersebut.
“Ya masuk universiti nak jadi pandai, tapi kalau takda adab semua kepandaian tu boleh masuk tong sampah” Pemilik akaun @fikirkausiapa menambah komen.
Sebuah petisyen telah disebarkan oleh Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya meminta UM menarik semula ijazah Sarjana Muda yang dimiliki Wong Yan Ke tempoh hari dan memintanya membuat permohonan maaf secara terbuka, namun terdapat juga sebilangan netizen yang tidak menyokong tindakan tersebut.
Pemilik akaun @zunarkartunis menerusi laman Twitter nya dalam tangkapan skrin balasan email kepada mybangi.net@gmail.com yang memintanya untuk menandatangani petisyen tersebut namun dibalas dengan balasan “Boleh, saya boleh sign dengan syarat kamu juga tolong sign petisyen saya supaya Naib Canselor Universiti Malaya dipecat kerana racist”.
“Tidak adil bagi graduan itu. Dia mendapat sijilnya secara adil. Cara beliau untuk menyatakan pendapatnya, ia boleh dibahaskan.” Menurut pemilik akaun @amirafiqkamil1 yang turut memberi komen pada bebenang tersebut.
Namun begitu, pihak UM turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan graduan tersebut yang dilihat jelas tidak menghormati majlis istiadat dan menggangu kelancaran majlis. Tindakan tersebut telah mencemar nama baik UM sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi serta para graduan dan seluruh warga UM.
Pihak UM telah membuat laporan polis berikutan kejadian tersebut dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan untuk tindakan lanjut yang sewajarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak UM pada 15 Oktober lalu.