top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Mangrove Kayaking Tarikan Baharu Di Bagan Lalang

Updated: Nov 8, 2021

Penulis: Amirah Shahirah Sukemi

Penyunting: Aina Syahirah Haidil

SEPANG, 30 Oktober - Bagi mereka yang menggemari aktiviti yang mencabar serta ingin merasai pengalaman berkayak di hutan paya bakau tanpa perlu memandu ke Langkawi, Mangrove Forest Kayak Adventure yang bertempat di Bagan Lalang adalah satu lokasi yang wajib anda kunjungi.


Mangrove Kayaking Bagan Lalang adalah merupakan satu-satunya tempat berkayak di kawasan hutan paya bakau di negeri Selangor. Selain berkayak menikmati alam semula jadi, pengunjung yang mencuba aktiviti ini juga berpeluang untuk melihat pelbagai jenis pokok paya bakau.


“Terdapat 10 jenis pokok bakau yang dapat dilihat disini antaranya pokok bakau berembang, pokok bakau kurap, pokok bakau minyak dan sebagainya. Selain daripada pokok bakau, pengunjung juga dapat melihat baby mangrove serta hidupan paya bakau yang lain seperti obor-obor, ikan belacak, ketam biola biru dan jika anda bernasib baik anda juga boleh melihat burung helang berterbangan di kawasan paya bakau ini” kata Ismail Ishak yang merupakan salah seorang staff Mangrove Kayaking Bagan Lalang.


Menurut Pengarah Operasi Mangrove Kayaking Bagan Lalang, Ahmad Nazri Ismail ketika ditemubual, beliau menyatakan bahawa Mangrove Kayaking ini semakin mendapat sambutan apabila setiap minggu ada sahaja program yang dilakukan sebanyak 2 sesi iaitu pagi dan petang.


“Mangrove Kayaking disini juga mendapat tarikan daripada pengunjung tempatan malah pelancong asing dari Arab Saudi, Netherlands, Vietnam, Indonesia yang bekerja dan menetap di sini terkandas akibat Covid-19, datang untuk turut merasai pengalaman berkayak di kawasan hutan paya bakau.” tambah beliau lagi.


Susulan daripada pengumuman kebenaran merentas daerah, lokasi ini juga bukan sahaja menjadi tarikan utama dalam kalangan penduduk tempatan, malah mendapat tarikan penduduk luar lebih-lebih lagi selepas viral di Tiktok.


Kepada pencinta aktiviti outdoor, pengalaman berkayak sambil disajikan dengan pemandangan hutan paya bakau di Sungai Sepang pasti akan memberi kepuasan dan keterujaan untuk berkunjung ke sini sekali lagi.


“Saya melakukan aktiviti Mangrove Kayaking disini buat kali kedua kerana tidak puas, untuk meneroka dan bergambar bersama pokok-pokok paya bakau sepanjang melakukan ekspedisi di sini.” kata Norshuhada Ab Hamid yang merupakan salah seorang pengunjung yang menyertai aktiviti kayak disini.


Harapan Ahmad Nazri Ismail apabila ditanya tentang masa hadapan, beliau berharap semoga tempat ini boleh berkembang menjadi kawasan eko pelancongan pada masa hadapan sesuai dengan keadaan pantai yang cantik dan menarik dengan penambahbaikan yang bakal dilakukan seperti pembinaan café, house boot dan sebagainya bagi menarik lagi orang ramai berkunjung dan mencuba aktiviti di sini.




165 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page