top of page
  • Writer's pictureNurfaizatul Huda Ahmad

Mangsa Langgar Lari Berjaya Genggam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan

Penulis: Nurfaizatul Huda Ahmad

Editor: Farzana Nafiz


Nur Ashikeen di Majlis Konvokesyen UKM ke-50 hari ini

Sumber Gambar : Facebook UKM


BANGI, 28 Nov - Graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) berkerusi roda yang pernah menjadi mangsa langgar lari pada tahun 2008 berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-50 di sini, hari ini.


Nur Ashikeen Iqbal, 29, terpaksa berkerusi roda selepas terlibat dalam sebuah kemalangan langgar lari 14 tahun yang lalu di Singapura.


"Kemalangan langgar lari pada tahun 2008 telah menyebabkan saya lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah dan lebih menyedihkan lagi pemandu tersebut dalam keadaan mabuk ketika melanggar saya.


"Bagaimanapun, saya tidak pernah menyesali apa yang tuhan telah tentukan buat saya, malah saya akan terus bersikap positif untuk terus berjaya dalam hidup serta fokus kepada kelebihan yang ada pada diri saya," jelas beliau.


Akibat kemalangan tersebut, wanita kental ini terlantar di hospital selama 6 bulan.


Menurutnya, sebagai orang yang normal sebelum ini, beliau memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri bergerak menggunakan kerusi roda pada mulanya.


“Saya mengambil masa yang lama juga untuk membiasakan diri bergerak menggunakan kerusi roda namun keluarga dan kawan-kawan banyak membantu serta tidak jemu memberi sokongan.


“Saya sangat bersyukur kerana kebanyakan kelas diadakan secara atas talian, jadi ini memudahkan proses pembelajaran saya tanpa perlu banyak bergerak kerana saya tinggal jauh di Petaling Jaya,” katanya.


Sebelum menyambung Ijazah Sarjana di UKM, beliau belajar dalam bidang psikologi dan antara sebab beliau memilih jurusan tersebut kerana mahu lebih mengenali diri serta belajar cara menguruskan emosi dengan lebih baik.


Beliau memilih untuk mendalami bidang perniagaan kerana berpendapat bidang ini mampu aplikasikan ilmu psikologi yang diambilnya ketika membuat Ijazah Sarjana Muda.


"Saya merancang untuk terus bergiat aktif dalam bidang perniagaan dan mula mempromosikan produk minyak wangi organik saya di pelbagai platform supaya saya dapat membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai warga OKU,” tambahnya.


28 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page