Nadi Bangi
ManifestaSITI2020 Akhiri Penantian Peminat
Oleh: Nur Zulaikha
Penyunting: Yusliana Yusoff

Sumber : Google
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin telah menghadirkan buah tangan baharu selepas tiga tahun tidak mengeluarkan sebarang album solo darinya selepas beliau tampil dengan album penuh menerusi SimetriSiti (2017).
Bagaimanapun, penantian selama tiga tahun ini reda apabila Datuk Siti Nurhaliza mengumumkan satu album terbaharunya yang ke-18 iaitu ManifestaSITI2020, itu dilaman sosial, yang rasmi dilancarkan di semua platform muzik digital dan juga dalam talian pada 3 Julai lalu. Datuk Siti Nurhaliza telah “trending” di Twitter sejak daripada penyanyi tersohor negara itu memuat naik satu video “teaser” mengenai album terbarunya dan sudah mendapat ratusan komen daripada sebilangan pengikutnya yang berjumlah 7.6 juta orang.
"Definisi Manifestasi ialah perbuatan melahirkan, menjelaskan, atau menyatakan sesuatu”,
katanya dalam video yang dimuat naik menerusi satu posting di Instagramnya, baru-baru ini.
"Memanifestasikan melahirkan, menjelaskan atau menyatakan sesuatu.Idea yang diwujudkan. Pemikiran yang diperlihatkan. Perasaan yang dijelaskan. Pendirian yang dinyatakan. Keinginan yang dizahirkan," katanya lagi.
Sebanyak 11 buah lagu dimuatkan dalam album berharga RM46.90 sen itu termasuk lagu Anta Permana, 7 Nasihat dan single terbaharunya Basyirah ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik Ahmad Fedtri Yahya. Apa yang paling istimewa dalam album kali ini juga, Siti Nurhaliza turut memberi nafas baru lagu nyanyian penghibur kesayangannya, Allahyarham Datuk Sudirman iaitu Teratai Menjelma.
Nadi Bangi sempat mendengar beberapa buah lagu daripada album tersebut, dan salah satunya lagu Teratai Menjelma.Teratai Menjelma yang asalnya dinyanyikan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, ia dirakamkan semula dan disuntik elemen lebih moden.Masih mengekalkan melodi dan naratif lagu asal, agak sukar untuk membuat perbandingan antara kedua-dua mereka kerana Siti menyanyikan lagu hasil ciptaan Raja Kobat ini dengan cara tersendiri. Agak meremang juga apabila Siti mengalunkan bait lirik “Bunga Teratai” dengan nada yang lembut dan lentik.
Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah album yang sepatutnya ia disiapkan lebih awal, namun penularan wabak COVID 19 membuatkan penghasilan album ini tertangguh. Tidak patah semangat, Datuk Siti Nurhaliza tetap memastikan album ini dapat diselesaikan tahun ini juga.