Penulis: Nurul Izzah Aisa
Penyunting: Wong Yee Tian
Sumber Foto: Nadi Bangi
Silat adalah satu seni atau kepandaian berjuang dengan menggunakan ketangkasan menyerang dan mempertahankan diri. Membicarakan tentang ini, terdapat beberapa jenis silat yang perlu kita ketahui iaitu yang menjadi asas kepada pertahanan diri seperti silat cekak, silat gayong, silat lincah, silat sendeng, gerak kilat serta silat pulut. Melalui hubungannya dalam kalangan masyarakat Melayu, silat pada masa dahulu dianggap sesuatu yang wajar dan mereka yang mahir dalam ilmu silat dianggap ‘pendekar’. Malah, seni pertahan diri ini turut dipertandingkan bagi menguji kepakaran pesilat-pesilat yang terlibat.
Seni silat perlu diangkat martabatnya kerana ini adalah seni warisan Melayu yang tidak akan pernah pupus ditelan zaman. Keunikan dan teknik pertahan diri yang wujud sejak zaman nenek moyang ini perlu diteruskan sehingga ke hari ini.
Filem Mat Kilau Angkat Martabat Silat
Dalam salah satu filem tempatan Mat Kilau arahan Syamsul Yusof, filem ini telah mendapat kutipan sebanyak RM97 juta sepanjang tempoh dua bulan tayangan dan menjadikan filem ini adalah filem tempatan dengan keuntungan tertinggi sepanjang zaman. Dalam filem ini, elemen silat dalam masyarakat Melayu telah diangkat dan diperkenalkan sekaligus menjadikan seni pertahan diri ini kembali di mata masyarakat khususnya pada zaman moden ini. Ini bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada filem Malaysia tetapi juga kepada masyarakat Melayu melalui seni silat yang telah diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi.
Elemen silat dalam filem seperti ini wajar dimartabatkan kerana ramai yang masih menganggap seni silat masih merupakan satu seni pertahan diri yang lama.
Mohd Al Jufferi Jamari Permata Silat Negara
Kemenangan Al Jufferi dalam kategori silat yang dipertandingkan.
Sumber Foto: Harian Metro
Siapa yang tidak mengenali Al Jufferi Jamari, pesilat negara kita. Beliau pernah menjadi juara dunia sebanyak empat kali dalam seni bela diri silat. Kini, beliau telah bersara sebaik sahaja beliau tamat dalam Kejuaraan Silat Dunia 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada tahun lalu. Al Jufferi telah menceburi bidang silat sejak berumur dua tahun lagi dan tujuan ayahnya, Jamari Dirun menghantar beliau adalah untuk kebaikan diri apabila dewasa dan juga bagi memastikan warisan Melayu tidak pupus ditelan zaman.
Kejayaan beliau ini telah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia dalam seni silat. Kemenangan ini bukan sahaja memberi nama kepada negara tetapi martabat seni silat dan warisan Melayu terkenal di serata dunia.
Silat Bukan Perkara Lapuk atau Lama
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini sesuai dalam menggambarkan bahawa seni silat tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Walaupun seni silat telah dikenali sebagai satu seni pertahan diri yang menggunakan alatan senjata seperti keris, pedang, parang dan kerambit, ia bukanlah menjadi ‘tiket’ untuk kita mengatakan seni silat ini adalah satu seni pertahan diri yang lapuk.
Menurut Setiausaha Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Negeri Kelantan, Che Mohd Hanif Che Deraman, 38 berkata terdapat cara bagi menaikkan lagi keunikan seni silat khususnya pada zaman moden ini. Melalui perkongsian beliau, pihak pertubuhan silat perlu lebih memodenkan cara penyampaian maklumat contohnya melalui Youtube, Facebook dan Tiktok yang merupakan medium utama masyarakat pada hari ini. Kejohanan silat yang dianjurkan juga perlu mengambil inisiatif dengan menggabungkan peralatan moden seperti scoreboard, teknik pemarkahan digital dan lain-lain.
Namun begitu, tradisi silat yang masih ada tidak boleh ditinggalkan walaupun kecanggihan teknologi digunakan kerana tradisi ini adalah sumber utama dalam mendidik sahsiah pesilat dengan lebih baik.
Keris merupakan antara alatan yang digunakan dalam silat.
Sumber Foto: Harian Metro
Pentingnya Seni Silat kepada Masyarakat
Memandangkan silat ini adalah satu seni pertahan diri, ianya wajar dipelajari oleh semua masyarakat. Menurut Che Mohd Hanif lagi, silat dan seni bina diri amat penting kepada masyarakat kerana ia mampu membentuk seseorang menjadi lebih berdisiplin serta mampu berdikari dalam kehidupan seharian.
“Silat dan seni bela diri amat penting kepada masyarakat kerana ia mampu membentuk seseorang untuk menjadi lebih berdisiplin serta menjadi salah satu benteng pertahanan negara,” katanya.
“Silat juga mampu mendidik anak-anak supaya lebih berdikari dalam menjalani kehidupan seharian.
"Bukan itu sahaja, silat juga mampu membina masyarakat yang lebih peka dan prihatin terhadap masyarakat lain kerana falsafah dalam silat adalah tolong-menolong sesama insan bak kata pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing,” tambahnya lagi.
Jadi, seni silat warisan Melayu ini perlu dimartabatkan kerana ianya mampu memberikan kebaikan dan manfaat kepada pengamalnya pada suatu hari nanti.
Comments