Oleh : Muhammad Haziq Fikri Hassan
Penyunting : Nur ‘ Ain Syafiqah Rahim
BANGI, 24 NOV – Dorongan seorang ibu dan minat yang mendalam terhadap sukan seni bela diri, menjadi pembakar semangat seorang atlet pencak silat yang meraih pingat emas dua tahun berturut-turut dalam Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM), baru-baru ini.
Thanish Ananth A/L Anbananthan, 22, pelajar tahun tiga Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) telah berjaya merangkul pingat emas dalam sukan tersebut pada 16 dan 17 November yang lalu.
Thanish berkata, “Semasa zaman persekolahan, saya adalah seorang yang susah untuk dikawal dan acah-acah gangster. Saya diperkenalkan dengan sukan kickboxing sewaktu saya berumur 16 tahun.
“Selepas saya menyertai kickboxing ini, baru saya sedar bahawa saya tidaklah sekuat yang disangkakan. Saya ditumpaskan pada perlawanan kickboxing pertama saya semasa di Singapura.
“Dengan menyertai sukan seni mempertahankan diri ini, saya tidak lagi bergaduh di luar sesuka hati, malah saya hanya menggunakannya sekadar keperluan sahaja,” katanya lagi.
Walaupun Thanish seorang yang selalu sibuk dengan latihan dan juga pertandingan sukan seni mempertahankan diri, namun pelajarannya tetap terjaga.
Anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu bakal menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik tahun hadapan.
Kejayaan itu adalah hasil daripada minat dan dorongan oleh ibunya yang ingin melihat anak lelaki sulungnya itu berjaya dalam sukan seni mempertahankan diri.
Anak kelahiran Johor itu bukan sahaja jaguh di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malah beliau juga berjaya meraih pingat emas dalam beberapa pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan seperti Kejohanan Wushu Johor pada tahun 2013 dan 2016, Kejohanan Wushu Kebangsaan 2014, 2015 dan 2016, National Wushu Open Championship 2016, Kung-fu Heroes Johor 2017 dan 2018, serta Malaysia Wushu Sanda Circuit 2018.
Beliau juga pernah menyertai Majlis Antara Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dalam acara silat dan berjaya memenangi pingat perak
Selain acara pencak silat, Thanish juga berjaya meraih pingat emas dalam acara sukan Taekwondo dan juga pertandingan Kickboxing.
Sementara itu, Thanish dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang memainkan peranan sebagai ketua keluarga sejak berpisah dengan ayahnya tujuh tahun lalu.
Adik-beradiknya yang lain tidak kurang hebatnya kerana masing-masing berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti tempatan.
Thanish juga menyimpan hasrat untuk mewakili Malaysia dalam Mixed Martial Art (MMA) bagi acara pencak silat, taekwondo, kickboxing dan sebagainya suatu hari nanti.
Comments