Penulis: Priiyalakshmi Kumarrajah
Penyunting: Ahmad Bhaihaqi Mat Tiah
Sumber Gambar: Nur Nadia Ismail
BANGI, 27 Nov - Seorang pelajar kelainan upaya (Pendengaran) meraih Anugerah Tengku Ampuan Afzan dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas dan memperolehi dekan bagi lima semester di Majlis Konvokesyen ke-50, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Nur Nadia Ismail, 26, antara tips yang diamalkan untuk mengekalkan kecemerlangan adalah tidak segan untuk bertanya.
Tambahnya lagi, beliau menghadapi kesukaran untuk belajar secara atas talian semasa
pandemik Covid-19 kerana tidak dapat mendengar tutur kata.
Beliau meminta bantuan rakan-rakan sekelas untuk menterjemahkan kuliah kepada bentuk tulisan dan juga meminta buku nota rakan yang lengkap.
"Saya berasa sukar untuk belajar ketika itu kerana tidak dapat mendengar percakapan.
Sepanjang kelas, saya memerlukan kawan untuk menterjemahkan percakapan tersebut dalam bentuk teks," katanya ketika pihak Nadi Bangi menemu bual melalui WhatsApp.
"Nasihat saya adalah jangan berdiam diri sekiranya tidak faham. Saya meminta buku kawan yang sudah menyalin kuliah pensyarah dan meminta penterjemahan melalui group Whatsapp kelas setelah tamat kuliah," ujarnya.
Nadia juga berkongsi tips kecemerlangan seperti sentiasa mengikhlaskan hati untuk mencapai kejayaan walaupun menghadapi sebarang tekanan.
"Sentiasa ikhlaskan hati untuk mencari kecemerlangan yang boleh dikekalkan walaupun
kadang-kadang tekanan," katanya.
"Ibu bapa saya berpesan agar tidak perlu berasa stres dalam pelajaran dan mereka memahami keadaan saya dalam menghadapi kesukaran ketika belajar," tambahnya.
Ibu bapa Nadia antara insan yang menjadi tulang belakang menyokong minat dan berpendapat bahawa beliau hilang semangat sekiranya ibu bapanya tiada di sisinya.
Nadia juga berkongsi bahawa masyarakat masih mempunyai stigma yang negatif terhadap orang kelainan upaya (OKU) dalam bidang pendidikan.
“Stigma terhadap OKU ini masih ada dalam masyarakat dan perkara ini menjadi halangan untuk mereka diberi peluang untuk belajar,” katanya lagi.
“Hal ini kerana masyarakat kurang peka terhadap golongan ini dan menganggap mereka tidak mempunyai keistimewaan untuk ditonjolkan.
“Ada yang masih tidak percaya bahawa saya memasuki alam universiti kerana status OKU pendengaran.
“Masyarakat mungkin jarang mendengar OKU boleh berdikari sehingga melanjutkan pendidikan tinggi seperti diploma, Ijazah dan Doktor Falsafah,” tambahnya.
Nadia bermatlamat untuk menjadi seorang guru Pendidikan Khas khususnya dalam Pendengaran dan kini sedang menunggu panggilan temu duga daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Beliau juga berharap agar dengan matlamat ini dapat menggalakkan OKU pendengaran yang lain juga dapat mencontohi semangatnya.
Seramai 7961 pelajar bakal bergraduasi di Majlis Konvokesyen ke-50 UKM yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) pada 26 November sehingga 1 Disember 2022.
Proud of u 😍