top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Masalah Pengangguran di Malaysia Perlu Dipandang Serius

Updated: Jun 11, 2021

Oleh: Ziera Adurah

Penyunting: Mariam Zamri


Sumber: Google Image


Dalam era globalisasi kini di mana kebanyakan masyarakat sangat mementingkan kerjaya dan karier, masih ramaikah di antara kita yang mengalami masalah pengangguran? Jawapannya ialah ya, malah di Malaysia, masalah pengangguran bukanlah satu isu yang jarang kita dengar. Kadar pengangguran dalam sesebuah negara dapat menentukan pertumbuhan mampan negara tersebut. Jika kadar pengangguran adalah rendah, bermaksud negara tersebut mempunyai pertumbuhan yang baik manakala jika masalah pengangguran berlaku dengan banyak, maka berlakunya pembaziran dalam aspek sumber manusia bagi sesebuah negara tersebut. Pengangguran berlaku secara berbeza antara individu. Sesetengah individu hanya menghadapi pengangguran dalam jangka masa yang pendek yang mana ianya merupakan satu proses semulajadi bagi mereka yang bergerak daripada satu pekerjaan kepada pekerjaan yang lain. Namun, bagi sesetengah individu mereka menghadapi masalah pengangguran selama berbulan-bulan malah ada di antara mereka yang menganggur selama bertahun-tahun. Masalah pengangguran ini terus menjadi salah satu masalah ekonomi yang perlu dipandang serius dan harus ditangani dengan segera.


Statistik Pengangguran di Malaysia


Di Malaysia, jumlah rakyat yang menghadapi masalah pengangguran pada tahun 2020 telah meningkat. Hal ini adalah kerana fenomena pandemik Covid-19 yang telah menggegarkan dunia dari sudut kesihatan, keselamatan, ekonomi dan sosial. Masalah pendemik ini yang telah menyebabkan negara terpaksa menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama berbulan-bulan telah menyebabkan ramai di antara rakyat negara ini dibuang kerja. Hal ini kerana firma atau syarikat yang mereka bekerja memberhentikan operasi dengan serta merta dan tidak lagi mampu untuk menampung pembayaran gaji pekerja serta terpaksa memecat sumber manusia mereka. Menurut laporan Statistik Tenaga Buruh 2020, berlaku kenaikan kadar pengangguran di negara ini sebanyak 3.9 pada suku pertama tahun berbanding 3.3 peratus pada tahun 2019. Pada November tahun yang sama juga, berdasarkan statistik yang diberi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran ini terus meningkat sehingga 4.8 peratus atau seramai 764,400 orang. Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur pada November meningkat kepada 764,400 berbanding Oktober iaitu seramai 748,200. Dalam jumlah pengangguran ini, didapati bahawa golongan belia merupakan penyumbang tertinggi kepada masalah pengangguran di Malaysia.


Punca-punca Berlakunya Pengangguran


Pada pendapat saya, sebab berlakunya pengangguran di Malaysia ini adalah pelbagai dan kompleks. Antara punca masalah pengangguran yang biasa kita dengar adalah sikap masyarakat, terutama sekali dalam kalangan belia, yang suka memilih jenis pekerjaan. Ramai di antara penganggur ini tidak mahu bekerja dalam sektor pekerjaan 3D iaitu “dirty, difficult and dangerous” (pekerjaan yang kotor, sukar dan bahaya). Hal ini dapat kita lihat sendiri di sekeliling kita di mana sektor pembinaan sering dipenuhi dengan warga asing. Sesetengah daripada mereka yang menganggur ini lebih rela menganggur daripada bekerja dalam sektor yang mereka tidak mahu.


Punca kedua masalah pengangguran di Malaysia masih tinggi ialah kerana tiada keseimbangan antara jumlah graduan dan jumlah peluang pekerjaan. Jumlah peluang pekerjaan yang ada kini tidak mampu untuk menampung jumlah graduan universiti. Pada 2019, lebih 10,000 orang graduan dihasilkan, namun jumlah pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka adalah terhad. Hal ini telah menyebabkan graduan universiti terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dan mereka yang tidak berjaya terpaksa menganggur. Kehendak dan sikap majikan juga menyumbang kepada masalah pengangguran di negara ini. Kebanyakan majikan kini bersikap terlalu mendesak terhadap pekerja di mana mereka mahukan hasil kerja yang berkualiti dan baik tanpa ingin membantu pekerja mereka. Ini memperlihatkan kehendak majikan yang terlalu tinggi kepada para pekerja dan akan menyebabkan ramai di antara pekerja mereka meletakkan jawatan kerana terlalu stres.


Persoalannya di sini, apakah langkah yang dapat dilakukan untuk mengurangkan masalah pengangguran di negara ini?


Langkah Mengatasi Masalah Pengangguran


Langkah yang paling utama dalam mengurangkan masalah pengangguran perlulah bermula dengan diri kita sendiri. Masyarakat perlulah bersikap terbuka, bermakna untuk tidak terlalu memilih dalam pekerjaan serta menerima pekerjaan yang bergaji rendah dan pekerjaan yang bukan berkolar biru. Bekerja dengan pekerjaan yang bergaji rendah adalah lebih baik daripada menjadi penganggur tanpa sebarang pendapatan.


Selain itu, langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam memastikan kerjasama antara pihak IPT dan keperluan industri. Sebagai contoh, syarikat Petronas membangunkan institusi pendidikan mereka sendiri bagi menghasilkan graduan yang seiring dengan keperluan mereka. Oleh itu, kerajaan perlulah memberikan panduan kepada pihak IPT untuk memastikan kursus yang ditawarkan dan jumlah graduan adalah seimbang dengan keperluan industri. Pengurangan pengambilan pekerja asing juga dapat membantu mengurangkan masalah pengangguran dalam negara. Firma dan syarikat perlulah mendahulukan warga tempatan daripada warga asing semasa pengambilan pekerja. Jumlah pekerja asing perlu dikurangkan sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus bagi menurunkan kadar pengangguran di negara ini.


Kesimpulannya, masalah pengangguran yang berlaku di Malaysia ini perlulah dipandang serius oleh semua pihak, bukan oleh pihak kerajaan sahaja. Semua pihak mestilah berganding bahu dalam menangani masalah ini daripada terus berlaku kerana hal ini dapat mencerminkan situasi ekonomi negara kita. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah tentu mahukan negara yang mempunyai pertumbuhan yang baik. Masalah ini hanya dapat diatasi jika semua pihak dapat duduk semeja dan bekerjasama untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam negara ini.


1,503 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page