top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Masih relevankah lagi akhbar cetak di Malaysia?

Oleh: Shafiq Muslim

Penyunting: Fathur Rezky Zuliyus


Berita tentang penutupan beberapa buah akhbar terkenal di Malaysia pada hujung tahun lepas dan beberapa bulan lalu sedikit sebanyak telah menimbulkan persoalan tentang masih relevankah lagi industri akhbar cetak di negara ini? Satu demi satu syarikat akhbar dilihat ‘gulung tikar’.


Akhbar berbahasa Inggeris The Malay Mail telah rasmi memberhentikan operasi pencetakannya pada Disember 2018 dan kini hanya beroperasi secara dalam talian sahaja. Selain itu, akhbar Tamil Nesan juga mengikut langkah yang sama selepas menamatkan operasinya pada Februari lepas.


Baru-baru ini pada 9 Oktober, negara digemparkan lagi dengan berita penutupan syarikat akhbar yang telah lama bertapak di Malaysia iaitu Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Akhbar di bawah syarikat ini iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! di mana masing-masing sudah berusia 80 tahun dan 15 tahun ini akhirnya terpaksa akur dengan keputusan penutupan yang dibuat oleh pengurusan syarikat terbabit akibat beberapa masalah yang dihadapi.


Kemunculan teknologi yang berasaskan Internet telah mengubah lanskap pembangunan negara daripada pelbagai aspek terutamanya kepada pembangunan industri media. Jika dahulu media cetak menjadi wadah utama bagi masyarakat untuk mendapatkan maklumat, tetapi kini dengan adanya media digital; semua hanya dihujung jari.


Di sini penulis tertanya-tanya adakah akhbar cetak di Malaysia akan mengalami kepupusan?

Mengikut Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar dalam akhbar Berita Harian pada 16 Oktober 2019, berkata bahawa industri akhbar cetak ini mempunyai masa depan yang malap, sukar dan tidak menentu.


“Perkara ini mungkin menakutkan dan saya juga sedih, tetapi saya perlu realistik. Mengikut ramalan mungkin dalam masa 5 tahun akan datang, hampir semua surat khabar di dunia dalam bentuk tradisional akan terhapus, berdasarkan ranting dan jualan yang merosot.” Katanya lagi.


Penulis juga cuba mencari punca yang menyebabkan perkara ini berlaku. Benarkah perkara ini terjadi kerana rakyat Malaysia sudah tidak suka membaca akhbar? Ataupun adakah semua benda yang terjadi adalah salah teknologi?


Dari hasil kajian dan pembacaan penulis berkaitan isu ini. Di sini penulis menyenaraikan beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh pihak akhbar cetak bagi memastikan industri media ini tetap kekal di Malaysia.


Bebaskan pengaruh politik daripada syarikat akhbar


Sesebuah syarikat akhbar seharusnya bebas daripada kecenderungannya terhadap sesuatu fahaman politik. Dalam hal ini, bagi mengelakkan perkara ini berlaku pengaruh politik seperti pemilikan saham syarikat akhbar oleh pihak parti politik perlu dielakkan. Sebagai contoh, sebelum ini UMNO merupakan pemegang saham terbesar dalam Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sewaktu pemerintahan kerajaan di bawah pimpinan parti tersebut. Hal ini telah menyebabkan masyarakat menganggap segala maklumat yang disampaikan dalam berita Utusan Malaysia lebih berat sebelah kepada kerajaan sahaja.


Menurut Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin dalam suatu forum yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 17 Oktober lalu menyatakan bahawa kalau kandungan editorial dilihat tidak mewakili suara rakyat sebenar, kalau kandungan editorial dilihat sangat jelas mempromosi sesuatu agenda sudah tentu perkara ini akan menyebabkan orang tidak mahu membaca akhbar tersebut.

Masyarakat akan mula mempertikaikan tentang kesahihan berita yang disampaikan oleh akhbar yang berada di bawah pengaruh politik ini. Dalam konteks ini juga, sesebuah akhbar perlulah bersifat neutral bagi memastikan akhbar dijadikan sebagai rujukan berita yang utama oleh masyarakat.


Isi kandungan akhbar yang menarik


Penulisan berita memerlukan kemahiran yang tersendiri, jauh berbeza daripada menulis karangan mahupun menulis surat. Orang yang ingin menulis berita perlulah pandai mencari angle sesuatu isu untuk dijadikan berita yang menarik. Berita adalah suatu penulisan fakta yang ringkas dan padat bagi memastikan pembaca mudah untuk menghadamnya.


Memetik kata Timbalan Menteri Pertahan, Liew Chin Tong dalam akhbar Berita Harian, menyatakan bahawa kandungan akhbar seharusnya mempunyai konteks serta memberi perspektif dan analisis kepada sebarang peristiwa yang berlaku.


“Tidak harus ada dinding pemisah di antara platform cetak mahupun digital kerana apa yang penting ialah kandungan dan ‘kandungan ialah raja’ kepada sesebuah akhbar” katanya lagi.


Kesimpulannya, penulis yakin bahawa akhbar cetak masih relevan di negara kita tetapi perlu ada penambahbaikan daripada beberapa aspek yang telah dinyatakan. Menurut Datuk A Kadir Jasin, berkata bahawa tiada apa yang boleh menewaskan akhbar jika ia mempunyai kandungan yang berkualiti. Oleh itu, semua syarikat akhbar perlu memastikan setiap berita yang disampaikan berkualiti dan lebih telus.

355 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page