top of page
  • Writer's pictureYasmin Alyaa Fathinah

Masyarakat Cadang Cegah Budaya 'Catcalling'

Penulis: Yasmin Alyaa Fathinah Jafpar

Penyunting: Zurain Syahira Jupri


Sumber: @lucidsoda (Instagram)


KUALA LUMPUR, 24 April - Budaya ‘catcalling’ yang kian mengganas sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal menyebabkan masyarakat bercadang untuk membanteras jenayah tersebut.


‘Catcalling’ merupakan satu bentuk gangguan dan penderaan lisan tanpa menggunakan bahasa kasar seperti memberi komen yang tidak senonoh, mengugut atau mengejek secara seksual terhadap seseorang secara terbuka.


Kejadian gangguan seksual yang tular di Instagram baru-baru ini melibatkan dua orang lelaki yang menaiki motosikal, melakukan gangguan seksual ‘catcalling’ terhadap dua orang pelajar wanita sehingga menyebabkan salah satu daripadanya mengalami kecederaan dibahagian badan.


“Kawan saya berjaya melarikan diri tetapi saya tidak. Lelaki itu tergelincir dan jatuh semasa dia menghayun kayu yang besar ke arah saya. Saya mengambil kesempatan untuk membelasahnya semasa dia terjatuh, lalu dia menggigit lengan saya.


“Kemudian rakannya melompat daripada motosikal untuk menyerang lalu saya cuba melarikan diri. Saya tidak cukup pantas dan merasakan salah seorang daripada mereka memukul saya pada bahagian belakang dengan kayu,” ujar mangsa.


Menurut Malaysiakini, pihak polis telah berjaya menahan dua orang suspek dalam kes tersebut pada 23 April lalu. Walau bagaimanapun, tindakan memberkas suspek hanya akan menghukum penjenayah dan tidak membantu mengurangkan kadar jenayah gangguan seksual. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil tindakan dalam membendung jenayah ini daripada berleluasa.


Lee Jasmine, 21, pelajar Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM) berkata pelaksanaan undang-undang sahaja tidak mencukupi dalam mencegah jenayah gangguan seksual daripada berlaku. Sebaliknya, pendidikan seks dalam kalangan pelajar juga perlu ditekankan.


“Kerajaan boleh melaksanakan seberapa banyak undang-undang yang mereka mahu untuk menghukum pesalah tetapi jika masyarakat tidak memahami punca masalah dan perbuatan tersebut salah, maka tidak guna melaksanakan undang-undang tersebut. Apa tindakan yang boleh dilakukan oleh kerajaan? Laksanakan pendidikan seks.


“Pendidikan seks adalah sangat penting untuk mengajar kanak-kanak dari usia muda untuk memahami apa itu persetujuan & gangguan. Pendidikan seks bukan tentang mempelajari seks tetapi ia belajar tentang apa itu serangan seksual, serangan secara umum, serangan seksual di bawah umur dan sebagainya. Ia mengajar mereka bahawa jika mereka melakukan mana-mana perbuatan serius ini maka mereka akan dihukum,” katanya.


Yee Fern, 30, peguam, juga menyatakan bahawa beliau turut menyarankan kerajaan untuk mengambil tindakan mendidik masyarakat tentang jenayah melakukan gangguan seksual.


“Ini pertama kali saya mendengar keganasan sebegitu dilakukan terhadap wanita. Saya amat menekankan pihak kerajaan untuk memberi pendidikan dengan mengadakan kempen kesedaran untuk mencegah jenayah ini. Antaranya adalah memaparkan iklan bahawa tindakan gangguan seksual dan keganasan tersebut tidak dibenarkan,” katanya.


Bagi Nurul Hannani, 25, pelajar latihan amali, kerajaan boleh membuat kawalan yang ketat serta menyediakan talian hotline dalam membanteras jenayah ini.


“Kerajaan boleh meminta bantuan pihak polis untuk membuat kawalan ketat di sesebuah kawasan yang mempunyai kes gangguan seksual yang tinggi dan menyediakan talian hotline kecemasan sekiranya berlaku kepada mana-mana individu. Mangsa boleh menghubungi talian tersebut dan bantuan akan datang dalam keadaan segera, “ ujarnya.



79 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page