• Nadi Bangi

Mata Pencarian Musnah Sepanjang PKP Penuh

Oleh: Izzati Azali

Penyunting: Aina Safuan


Sumber Foto: Lokasi


BANGI, 29 Jun - Peniaga kecil atau penjaja di kawasan Sungai Tangkas menyatakan PKP 3.0 adalah detik yang paling tertekan buat mereka kerana mata pencarian seharian dilihat semakin merudum dan musnah hari demi hari.


Kawasan Sungai Tangkas salah satu tempat tumpuan golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sangat sibuk pada sebelum ini telah beralih kepada situasi yang sunyi dan kurang pelanggan ekoran daripada pelaksanaan PKP Penuh bermula 1 Jun lalu.

Menurut Ramli Abu Bakar, 62, hasil perniagaannya sangat tidak memberangsangkan dan amat mengecewakan sepanjang PKP pada kali ini. Peniaga tersebut turut menyatakan bahawa dirinya hanya mengharapkan pendapatan terhadap perniagaan ABC itu semata-mata.


“Mata pencarian saya memang musnah kerana nilai modal dan hasil perniagaan dilihat tidak berbaloi, saya hanya berharap kepada perniagaan ABC ini sahaja dan memang tidak ada sebarang usaha seperti Cash On Delivery (COD), saya tidak mampu nak tampung kos” ulas peniaga tersebut.


Peniaga tersebut turut menyatakan bahawa perniagaannya pada kali ini juga adalah yang paling terjejas teruk jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini iaitu bermula pada tahun 2012 sehingga kini. Lelaki itu turut menyatakan dirinya tidak berani mengambil risiko untuk usaha seperti COD dalam perniagaannya kerana tidak mampu dari segi kos atas sebab nilai modal yang dikeluarkannya adalah tidak berbaloi dengan hasil pendapatan.


Menurut Erman Ahmad, 46, juga salah seorang peniaga kecil yang menjual Jus Mangga berdekatan kawasan Sungai Tangkas itu turut menyatakan bahawa pendapatan bagi perniagaannya sememangnya tergugat walaupun masih dibenarkan beroperasi mengikut masa yang ditetapkan bermula 6 pagi sehingga 10 malam.


“Pendapatan saya kali ini sememangnya terjejas dan membimbangkan kerana dari tahun 2015 saya memang hanya tumpu kepada perniagaan ini sahaja dan saya juga ada mempromosikan perniagaan jus saya dalam aplikasi Foodpanda, saya fikir mungkin cara ini serba sedikit boleh bantu saya” kata peniaga tersebut.


Peniaga Jus Mangga itu menyatakan bahawa promosi perniagaannya dalam aplikasi Foodpanda serta jualan online melalui media sosial telah membantu dirinya untuk menampung kekurangan pendapatan yang semakin terjejas ekoran pelaksanaan PKP penuh pada kali ini.


Begitu juga dengan penjaja lain yang kebanyakannya merungut dengan cabaran situasi kini yang sangat memerlukan komitmen dan usaha yang lebih terhadap perniagaan bagi meraih pendapatan yang cukup untuk menampung perbelanjaan seharian.

29 views0 comments

Related Posts

See All