top of page
Writer's pictureNadi Bangi

Menagih Semasa Menjaga Ibu Menghidap Strok

Oleh: Shafiq Haizad

Penyunting : Sharifah Sofeena

Sumber: Instagram Melaka Hari Ini

MASJID TANAH, 24 Nov – Seorang penganggur lelaki ditahan oleh penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), melutut merayu untuk dilepaskan atas kesalahan mengambil dadah dengan memberikan alasan perlu menjaga ibunya yang terlantar sakit dirumahnya malam tadi.


Peristiwa menyayat hati meminta untuk dibebaskan itu bertahan selama hampir 10 minit kerana bapa seorang anak itu memberikan pelbagai alasan kepada sepasukan penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang membuat serbuan ekoran aduan daripada jiran-jiran sebelah dan keluarga sendiri.


“Tolonglah abang, jangan tangkap saya nanti tiada siapa nak jaga emak saya dan tukar lampinnya,” katanya hampir menangis sambil melutut dilepaskan.


Walau bagaimanapun, pasukan AADK tetap tegas meminta lelaki berusia 37 tahun itu untuk patuh kepada undang-undang dan membawanya ke pejabat Alor Gajah untuk menjalani ujian saringan air kencing selepas dia mengaku bersalah mengambil dadah jenis morfin.


Lelaki terbabit yang turut menghidap penyakit tibi itu mengaku mengambil dadah jenis morfin dan pernah menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun serta kerap dihantar ke pusat pemulihan sebelum ini atas kesalahan yang sama.


Nadi Bangi telah merujuk akaun Youtube Tv Melaka yang mengatakan, suspek yang juga merupakan bapa kepada seorang anak itu adalah antara 11 individu yang ditangkap di perumahan masing-masing selepas didapati positif dadah dalam Ops Perdana yang dijalankan oleh AADK dan telah berakhir pada jam 1 pagi tadi.


Dalam video yang sama juga Pengarah AADK Melaka, Nazir Mohamad berkata situasi menyayat hati itu adalah perkara biasa yang perlu dihadapi penguat kuasa. Mereka perlu tegas dan amanah ketika menjalankan tugas untuk membanteras penagihan dadah di negeri ini.


“Ini semua adalah alasan yang kita sudah lali mendengarnya dan perlu bertindak profesional mengawal situasi supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak. Dalam kes penahanan orang yang disyaki, pegawai AADK yang membuat serbuan akan memastikan ahli keluarga yang lain dimaklumkan mengenai penahanan itu,” katanya.


Tambah Nazir, dalam Ops Perdana yang dijalankan selama empat hari telah dijalankan sejak 20 November dan berakhir semalam. Pihaknya telah menahan 86 individu dan mendapati 80 orang daripadanya positif dadah jenis syabu dan heroin.


“Manakala statistik sejak Januari lalu sehingga semalam, seramai 909 individu telah ditangkap berdasarkan aduan diterima daripada ahli keluarga sendiri dan jiran tetangga,” katanya.


Mengulas lanjut Nazir berkata, tangkapan turut membabitkan 16 penjawat awam, manakala selebihnya kebanyakannya adalah penganggur berusia 41 ke atas. Katanya, kesemua yang ditahan akan dikenakan tindakan lanjut mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

39 views0 comments

Commenti

Valutazione 0 stelle su 5.
Non ci sono ancora valutazioni

Aggiungi una valutazione
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page