Oleh: Sarah Marini
Penyunting: Ain Arifah
Sumber: Google
Mungkin bagi sesetengah masyarakat melihat mayat yang berada dalam keadaan yang begitu teruk adalah perkara yang tidak normal bagi mereka. Namun begitu, lain pula keadaannya kepada pakar forensik yang telah bertahun berkhidmat dengan sesuatu kerja yang melibatkan mayat. Selama 11 tahun berkhidmat dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Noor Hazfalinda Hamzah kini telah pakar dalam menangani proses mengenal pasti mayat yang tidak dikenali.
Selama bertugas di jabatan forensik, antara kes yang pernah dikendalikan (secara kumpulan) ialah kes penemuan mayat seorang wanita warga Mongolia yang pernah menjadi isu hangat di Malaysia pada masa tersebut. “Saya dan rakan-rakan di jabatan telah pergi ke tempat kejadian untuk membuat siasatan tambahan ke atas kes tersebut”, jelas Dr Noor Hazfalinda.
Beliau yang pernah berkhidmat kepada Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa Forensik itu membawa maksud sesuatu bidang yang berkaitan dengan kaedah saintifik untuk menyelesaikan jenayah, yang melibatkan pemeriksaan objek atau bahan bukti yang terlibat dalam kejadian jenayah tersebut (merujuk kepada Kamus Cambridge). Perubatan forensik merupakan satu cabang sains perubatan yang diiktiraf manakala ahli-ahli forensik adalah pakar yang mengesan dan menyiasat bukti-bukti dalam kes jenayah dan seterusnya dibawa ke mahkamah.
“Kebiasaannya, apabila terdapat mayat yang tidak dapat dikenalpasti, polis akan berada di tempat mayat dijumpai atau di tempat kejadian. Para polis akan mengutip bahan-bahan bukti di tempat kejadian. Sekiranya yang dijumpai adalah tulang-tulang, pakar forensik atau pakar forensik antropologi akan dipanggil ke tempat kejadian untuk membantu siasatan. Segala pakaian atau barang kemas seperti subang, gelang, dan lain-lain akan direkod dan diambil gambar untuk tujuan bahan bukti pengenalan mayat semasa post mortem (pemeriksaan dibuat ke atas mayat setelah kematian).
“Cap jari dan gambar muka mayat akan diambil untuk proses identifikasi. Segala tanda pengenalan pada mayat akan direkodkan sama ada dalam bentuk bertulis atau gambar seperti tatu, parut luka atau bedah, kecacatan, tanda lahir, kesan berkhatan atau tidak dan jantina. Odontologist (pakar dental), anthropologist (pakar forensik tulang) atau radiologist ( pakar radiologi) akan dipanggil untuk menjalani proses kenal pasti mayat sekiranya gigi, tulang, dan mayat sudah reput atau busuk apabila dijumpai.
Gambar x-ray gigi dan seluruh mayat akan diambil kerana proses identifikasi boleh dibuat melalui tanda pengenalan gigi. Sampel DNA juga boleh diambil untuk proses pengenalan. Kesimpulannya, identifikasi mayat boleh dibuat menggunakan pakaian atau barang kemas, DNA, imbasan x-ray gigi dan tulang serta tanda-tanda pengenalan pada badan jika mayat tidak busuk dan tiada sebarang kecacatan atau penyakit pada mayat.” Terang Dr. Noor Hazfalinda mengenai prosedur sebelum menjalankan proses mengenal pasti mayat.
Bedah siasat seterusnya dilanjutkan kepada proses mengenal pasti sebab kematian dan jangka masa kematian yang akan dikendalikan oleh pakar forensik. Proses akan dibuat berdasarkan laporan sebelum post mortem dan juga jika ada laporan orang hilang. Proses perbandingan dilakukan oleh pakar forensik dan polis. Perbandingan rekod cap cari, pakaian, gigi, perubatan dan tanda pengenalan pada mayat akan digunakan untuk membandingkan mayat dengan mana-mana orang yang hilang. Segala bahan bukti yang dikesan di tempat kejadian akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa oleh saintis forensik.
Tambah Dr. Noor Hazfalinda, cabaran paling besar dalam proses identifikasi mayat adalah sekiranya mayat yang dijumpai telah busuk, mereput atau hanya tinggal tulang atau gigi sahaja serta mayat yang rentung sepenuhnya. Hal ini demikian menyebabkan semakin sukar untuk menentukan identiti mayat. Cabaran seterusnya adalah sekiranya ahli keluarga si mati tidak bersetuju untuk menjalankan proses post mortem ke atas mayat. Namun begitu, sekiranya terdapat arahan dari pihak polis, post mortem perlu dijalankan walaupun ditolak oleh ahli-ahli keluarga, terutamanya untuk kes-kes yang mencurigakan seperti kes bunuh dan kemalangan jalan raya.
Kommentarer