Penulis : Muhammad Danial Haziq Bin Roslee
Penyunting : Kogileswari A/P Vellisamy
Sumber : Internet
Pada 29 Oktober 2021, Mark Zuckerberg meraih perhatian masyarakat dunia apabila mengumumkan nama rasmi baharu bagi Facebook, iaitu Meta. Namun, perkara yang mengejutkan ialah fungsi serta komponen baru yang boleh diakses melalui aplikasi tersebut. Konsep Metaverse telah dibentangkan oleh Mark Zuckerberg sebaik sahaja nama rasmi aplikasi Facebook ditukar kepada Meta. Metaverse merujuk kepada dunia virtual yang membolehkan pengguna berkomunikasi sesama sendiri melalui platform tersebut. Bukan itu sahaja, Metaverse juga menyediakan banyak ciri-ciri khas untuk menjadikan pengalaman virtual menjadi lebih menarik. Pengguna hanya perlu memakai set kepala khas (headset) dan boleh mengakses terus ke satu dunia baharu. Metaverse membolehkan penggunanya untuk bersosial secara virtual tanpa perlu berganjak ke luar rumah. Oleh hal yang demikian, teknologi Metaverse bakal mengubah realiti kehidupan masyarakat sedunia.
Kehidupan sosial masyarakat akan berubah kepada teknologi realiti virtual. Metaverse membenarkan penggunanya untuk berjumpa sesama sendiri di dalam satu dunia virtual tanpa mengira jarak kedudukan pengguna. Namun, perkara yang membezakan Metaverse dengan teknologi komunikasi arus perdana seperti telefon bimbit ialah proses komunikasi yang lebih realistik. Sebagai contoh, telefon bimbit hanya mampu digunakan untuk berkomunikasi melalui panggilan suara atau panggilan video. Kaedah ini menyebabkan perkara seperti isyarat badan dan isyarat tangan sukar dilihat dengan jelas. Dunia virtual yang direka melalui Metaverse membolehkan penggunanya melihat pergerakan pengguna lain ketika proses komunikasi. Ciri-ciri halus seperti pergerakan badan dalam komunikasi bukan verbal dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna sekaligus melancarkan lagi proses interaksi. Malah, perjumpaan sosial beramai-ramai juga boleh dilakukan melalui Metaverse dan pengguna tidak perlu keluar dari rumah untuk berjumpa rakan-rakan di tempat lain seperti restoran.
Metaverse memberikan kemudahan untuk mencipta Avatar setiap pengguna mengikut citarasa dan nilai estetik yang digemari. Avatar merupakan entiti digital yang mewakili rupa bentuk penggunanya di dunia maya. Hal ini boleh disamakan dengan konsep “Display Picture” atau “DP” yang terdapat pada akaun pengguna media sosial. Avatar yang dipilih atau direka oleh pengguna boleh dipelbagaikan mengikut situasi yang berbeza. Sebagai contoh, pertemuan sosial bersama rakan-rakan boleh menggunaan Avatar yang berpakaian secara santai. Malah, pengguna juga boleh mereka atau menggayakan Avatar mereka ketika bermain permainan video secara maya. Elemen sebegini membuatkan Metaverse jauh lebih menarik dan canggih jika dibandingkan dengan teknologi komunikasi arus perdana yang wujud pada hari ini.
Rumah dan kediaman yang selesa merupakan impian setiap individu yang menginginkan kebahagiaan. Dunia virtual Metaverse bukan sahaja membenarkan pengguna mencipta Avatar mereka tersendiri, malah rumah juga boleh dibuat mengikut kehendak pengguna. Konsep ini dikenali sebagai Homespace. Pengguna boleh mencipta dan menghias rumah idaman mereka tanpa mempunyai sebarang batasan. Sebarang produk digital seperti gambar, video, muzik dan juga filem boleh dibawa masuk ke dunia virtual Metaverse. Hal ini sekaligus menjadikan proses menghiasi rumah menjadi lebih menarik. Gambar-gambar yang diperoleh secara fizikal boleh ditukar ke dalam bentuk digital untuk dijadikan hiasan di Homespace. Malah, pejabat peribadi juga boleh dicipta di dalam setiap kediaman mereka. Sekiranya pengguna mempunyai masalah persekitaran yang tidak selesa untuk melakukan kerja, mereka boleh menyiapkan tugasan mereka di pejabat virtual milik mereka di Metaverse. Selain itu, pengguna Metaverse boleh menjemput keluarga yang berjauhan serta sahabat handai untuk berjumpa di rumah virtual mereka. Masyarakat tidak perlu lagi menggunakan tenaga yang banyak untuk menuju ke satu destinasi lain untuk berjumpa seseorang. Budaya kunjung-mengunjung rumah secara fizikal barangkali akan terhakis dalam kalangan masyarakat setelah kewujudan teknologi sebegini.
Teleportasi ialah kemampuan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam sekelip mata. Konsep teleportasi banyak digunakan dalam penceritaan fiksyen seperti novel, komik, dan filem. Walaubagaimanapun, teleportasi telah berjaya dijadikan realiti dengan kewujudan Metaverse. Penggunanya boleh bergerak ke mana-mana sahaja tanpa menggerakkan kaki. Konsep teleportasi Metaverse ini boleh disamakan dengan aktiviti melayari internet dengan menekan butang klik sesebuah pautan. Dalam masa beberapa saat sahaja, pengguna boleh membuka pautan internet tersebut dengan pantas. Metaverse menaik taraf teknologi ini dengan membenarkan penggunanya bergerak ke mana sahaja dengan sekelip mata di dalam dunia virtual. Pengguna Metaverse boleh melawat taman tema atau Homespace sahabat handai dengan pantas sekiranya mereka mempunyai rangkaian internet yang lancar. Bayangkan, sekiranya pengguna berasa bosan atau mempunyai masa lapang, mereka hanya perlu memakai set kepala khas Metaverse dan terus melakukan teleportasi ke tempat yang ingin dikunjungi dengan sepantas kilat.
Perisian Metaverse berfungsi dengan menggunakan platform Horizon untuk memenuhi keperluan pengguna. Platform ini diasingkan kepada tiga bahagian iaitu Horizon Home, Horizon Worlds dan Horizon Workrooms. Horizon Home digunakan untuk mereka cipta dan menghias rumah virtual milik pengguna. Perkara pertama yang dilihat oleh pengguna sebaik sahaja mereka memakai set kepala khas Metaverse ialah rumah virtual mereka. Oleh itu, Horizon Home bertindak sebagai muka hadapan bagi perisian Metaverse. Sekiranya pengguna ingin menambah hiasan atau mencipta rumah virtual yang baharu, Horizon Home merupakan platform yang digunakan untuk mencapai matlamat tersebut. Antara ciri khas yang disediakan di Horizon Home ialah “invite”. Pengguna boleh menghantar jemputan kepada pengguna Metaverse yang lain untuk datang mengunjungi rumah virtual mereka. Platform yang seterusnya ialah Horizon Worlds yang berfungsi sebagai medium kreatif buat pengguna. Horizon Worlds ialah platform untuk mencipta sebarang tempat atau dunia virtual yang baharu untuk dikunjungi. Pelbagai tempat yang menarik boleh dicipta melalui Horizon Worlds seperti taman tema, panggung wayang, dan akuarium. Malah, terdapat juga pilihan untuk mencipta akuarium dengan ikan yang terapung di udara bagi menarik perhatian pengguna. Horizon Workrooms pula berfungsi sebagai platform untuk mengendalikan urusan atau pertemuan yang formal. Aktiviti seperti mesyuarat, sesi pembelajaran di sekolah dan universiti merupakan fungsi utama Horizon Workrooms. Oleh itu, Metaverse mempunyai platform yang serba lengkap untuk memaksimakan kepuasan pengguna sekaligus mencorakkan budaya kehidupan yang baru kepada masyarakat.
Akhir sekali, Metaverse sememangnya akan membawa perubahan kepada gaya hidup masyarakat. Menurut Mark Zuckerberg, Metaverse bakal menjadi platform arus perdana bagi tujuan komunikasi dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang. Di sebalik teknologi serta kemudahan canggih yang disediakan oleh Metaverse, timbul pelbagai persoalan di benak fikiran saya. Adakah kemunculan Metaverse bakal menggalakkan gaya hidup sedentari dalam kalangan masyarakat? Bagaimana pula dengan budaya mengunjungi rumah keluarga terdekat ketika sesebuah perayaan? Segalanya mungkin terjawab apabila perisian pertama Metaverse iaitu VDN Metaverse versi tiga dimensi (3D) akan dilancarkan secara rasminya pada 8 Januari 2022.
Comments