top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Microsleep Boleh Membunuh

Oleh : Najwa Syuhadah

Penyunting : Aisyah Masri

Sumber : Google

Terbaru insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan penyerang bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad dan keluarganya yang dipercayai akibat terlelap semasa memandu atau lebih dikenali sebagai microsleep. Ketika kejadian, beliau dipercayai hilang kawalan ketika memandu dan terbabas melanggar pembahagi jalan sebelah kanan di KM 163.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Sungai Bakap.


Terdapat juga beberapa kes kemalangan jalan raya sebelum ini yang telah dilaporkan akibat daripada kesan microsleep. Microsleep adalah situasi di mana seseorang itu tertidur untuk tempoh masa antara 1 hingga 30 saat tanpa disedari. Situasi ini terjadi tanpa amaran dan sering berlaku apabila seseorang itu berusaha untuk kekal berjaga. Microsleep ini akan mendatangkan bahaya apabila individu tersebut sedang memandu kerana penumpang, pemandu serta pengguna jalan raya yang lain berisiko terlibat dalam kemalangan yang serius. Antara simptom-simptomya adalah terkejut atau tersentak secara tiba-tiba (body jerk), tersengguk-sengguk dan mata berkelip lebih kerap.


Microsleep boleh terjadi pada bila-bila masa tanpa sebarang amaran. Dalam konteks pemanduan, majoriti insiden yang terjadi disebabkan oleh microsleep adalah ketika waktu malam. Individu yang memandu pada waktu malam kebiasaannya akan berasa penat memandangkan tempoh ini merupakan masa untuk tidur serta merehatkan badan. Mereka berkemungkinan mempunyai destinasi yang perlu dituju atau situasi yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, microsleep boleh terjadi sekiranya individu tersebut tidak mempunyai tidur yang cukup. Seseorang yang tidak mempunyai tidur yang cukup juga akan mempunyai gejala seperti rasa mengantuk yang melampau, emosi kurang stabil serta hilang fokus dan memori.


Oleh itu, tidur yang cukup adalah amat penting bagi seseorang. Bagi individu dewasa, tidur yang sihat adalah antara 7 hingga 9 jam setiap hari. Selain daripada mendapatkan tidur yang secukupnya, seseorang itu juga perlu meningkatkan kualiti tidur. Salah satu cara adalah dengan memastikan tiada sebarang gangguan semasa tidur. Televisyen dan lagu tidak sepatutnya dibiarkan terbuka. Seandainya, lagu dan televisyen yang dipasang sudah menjadi kebiasaan dalam rutin tidur, maka seseorang itu perlu berusaha untuk membuang tabiat tersebut. Individu tersebut perlu belajar utuk tidur dalam keadaan yang gelap, tenang dan sunyi. Tidur di dalam bilik yang cerah dan mempunyai lampu yang terang memancar juga akan mengganggu kualiti tidur. Selain itu, cahaya daripada telefon bimbit perlu dielakkan kerana cahaya tersebut akan merangsang fungsi otak untuk kekal berjaga dan berfungsi. Tidur yang berkualiti amat penting untuk mengelakkan microsleep.


Pada situasi tertentu, microsleep ini tidak dianggap berbahaya. Misalnya, ketika anda menonton televisyen di rumah atau semasa menggunakan komputer. Tetapi lain pula sekiranya di jalan raya kerana situasi ini bukan sahaja boleh meragut nyawa sendiri tetapi turut membahayakan nyawa pemandu lain juga. Oleh kerana itu, setiap individu perlu tahu alternatif-alternatif yang dapat diambil bagi mengelakkan microsleep. Pertama sekali, sekiranya berasa mengantuk, jangan sesekali memandu kerana tindakan tersebut akan memburukkan keadaan. Jangan memaksa diri sendiri untuk terus berjaga dan memandu sekiranya anda sudah berasa mengantuk. Apa yang anda boleh lakukan adalah berhenti di kawasan yang selamat atau hentian rehat dan rawat (R&R) untuk tidur seketika. Tidur sebentar atau power nap ialah tidur seketika antara tempoh 15 hingga 30 minit. Ini bertujuan bagi menyegarkan kembali minda dan ‘physical performance.’ Setelah berasa cergas, barulah selamat untuk anda meneruskan perjalanan.


Menurut Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani, seseorang individu dinasihati berhenti sebentar untuk rehat selepas empat jam memandu tanpa henti. Menurut beliau lagi, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kadar tumpuan seorang pemandu hanya bertahan sehingga tempoh tersebut sahaja berdasarkan sumber Portal Malaysia Kini 2.0.


Seterusnya, berbual dan bersembang bersama teman seperjalanan di dalam kereta juga boleh menghilangkan rasa mengantuk. Malah, anda juga boleh bertukar pemandu dengan teman anda untuk berehat dan melelapkan mata sebentar di tempat penumpang. Namun, sekiranya anda memandu seorang diri, anda boleh membuka radio dan mendengar lagu bagi mengelakkan rasa mengantuk. Rehat yang cukup juga penting terutamanya sebelum memulakan perjalanan yang jauh supaya anda kekal segar dan bertenaga sepanjang perjalanan. Alternatif lain yang dapat digunakan ialah dengan pengambilan kafein untuk menyegarkan minda dan menghilangkan rasa mengantuk. Tetapi penting untuk seseorang itu mengawal pengambilan kafein kerana dos yang berlebihan boleh mengakibatkan masalah kesihatan termasuklah ketidakseimbangan hormon dan gejala putus kafein (caffeine withdrawal).


Microsleep boleh menjadi satu situasi yang amat berbahaya, maka sangat penting untuk anda belajar mengenal pasti tanda-tanda amarannya untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Memperbaiki dan menjaga kualiti tidur bukan sahaja dapat mengelakkan seseorang itu terlelap pada masa serta tempat yang tidak sepatutnya, namun kitaran tidur yang betul dapat meningkatkan tahap kesihatan diri sendiri. Ingatlah, dua saat sahaja sudah cukup untuk malapetaka.

62 views0 comments

Bình luận

Đã xếp hạng 0/5 sao.
Chưa có xếp hạng

Thêm điểm xếp hạng
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page