Nadi Bangi
Misteri Batu Gajah di Temerloh Pahang
Oleh: Ercy Gracella
Penyunting: Farhan Nasir

Jika seseorang menyebut Temerloh Pahang perkara pertama yang bermain dalam fikiran anda tentunya ikan patin masak tempoyak, bukan? Namun, pernahkah anda mendengar cerita tentang kawasan sungai yang disebut ‘Batu Gajah’ dan misteri disebalik nama tersebut? Jika tidak, disinilah anda akan mengetahui ‘hidden gem’ yang terdapat di daerah Temerloh dan percayalah tidak semua orang tahu akan perkara ini.
Nama Batu Gajah berasal daripada batu besar yang terletak disekitar Sungai Terbol Kuala Krau, iaitu tempat perkampungan Orang Asli suku Jah Hut yang mempunyai kisah misterinya tersendiri, kenapa dan mengapa ia digelar ‘batu gajah’.
Dalam bahasa Jah Hut batu gajah disebut sebagai ‘temok gajah’. Temok merujuk kepada batu manakala gajah pula merujuk kepada haiwan tersebut. Persekitaran kawasan ‘batu gajah’ ini sangat menarik bukan hanya kerana air sungainya yang bersih malahan kawasan sekitarnya yang sesuai dijadikan kawasan pelancongan dan riadah terutamanya bagi individu yang gemar untuk berkelah dan mandi-manda di sungai. Tetapi, apakah sebenarnya cerita disebalik ‘Batu Gajah’?
Bagi mengupas misteri ataupun latar belakang batu gajah ini, wartawan Nadi Bangi telah menemu ramah beberapa penduduk Kampung Terbol bagi mendapatkan maklumat tentang misteri dan sejarah tentang ‘batu gajah’.
Sang Kelembai
Lat A/L Puchok, 68 tahun, berkata bahawa batu gajah ini telah wujud sejak zaman nenek moyang mereka lagi dan mengapa batu ini digelar batu gajah adalah kerana terdapat seorang individu bernama Sang Kelembai iaitu orang bunian yang mempunyai kelebihan ‘mulut masin’ kerana apabila Sang Kelembai menegur sesuatu, ia akan menjadi batu seperti yang dipercayai berlaku kepada 3 ekor gajah yang sedang berkubang di Sungai Terbol. Ketika Sang Kelembai berjalan disekitar kawasan tersebut dan melihat 3 ekor gajah itu, dia pun menegur dan secara tiba-tiba gajah tersebut termenung melihat Sang Kelembai lalu keras menjadi batu.
Sang Kelembai yang juga dipanggil ‘orang bijak’ amat ditakuti dan digeruni kerana tutur katanya yang dapat mengubah benda jadi batu menyebabkan ramai yang tidak suka dan bencikan dia. ‘Semua ditegur, semua menjadi’ ujar Pak Lat. ‘Dia tegur busut jadi gunung, bukan serupa kita ini, tak menjadi percakapan kita ni, dia menjadi..’, tambah beliau.
Disebabkan oleh banjir yang sering berlaku pada musim hujan, ia telah menghakis batu tersebut maka keadaan bentuk gajah tidak lagi kelihatan sempurna, hanya sekadar sebuah batu yang besar sahaja. ‘Yang dulu-dulu ada lagi tu, yang boleh nampak belalai dia, sekarang takde dah’ ujar Pak Lat. Kata anak-anak Pak Lat, batu gajah tersebut membesar, kerana sewaktu mereka kecil, saiz batu gajah tersebut tidak seperti sekarang. Walaupun kawasan sungai yang dinamakan ‘batu gajah’ ini mempunyai cerita misterinya tersendiri, bagi orang ramai yang pergi untuk bermandi manda, tidak ada apa-apa perkara yang aneh berlaku.
Menurut beliau juga, cerita tentang batu gajah ini hanyalah salah satu daripada beberapa lagi binatang yang pernah ditegur oleh Sang Kelembai. Di kawasan hulu Sungai Terbol juga terdapat batu yang berbentuk ular, yang mana ini juga merupakan salah satu angkara Si Kelembai kerana menegur ular tersebut sehingga ia keras menjadi batu. Disekitar Kampung Terbol juga terdapat beberapa air terjun lata yang juga dipercayai mempunyai kaitan dengan Sang Kelembai.
Wartawan Nadi Bangi juga menemu ramah Halim@Tungum Bin Pitong, 60, seorang petani yang merupakan penduduk Kampung Terbol. Kata beliau Si Sang Kelembai lalu dikawasan tersebut, terjumpa gajah lalu dia pun tegur dan serta merta gajah tersebut menjadi batu. Kata beliau juga, terdapat dua ekor gajah besar manakala seekor lagi anak gajah yang ditegur oleh Si Sang Kelembai, lalu menjadi batu. ‘Dia tegur burung, burung jatuh ke tanah, tu tadi sebab dia tak cukup bertapa’ ujar beliau. Beliau juga berkata, Sang Kelembai berasal daripada kaum Jah Hut yang mempunyai kuasa sakti dan ghaib.‘Tak tahulah, tah mati ke tidak, tak dengar sejarah kematian dia’ kata isteri Halim, Mui a/p Nyup, 54.
Kemerai
Walaupun terdapatnya cerita Si Sang Kelembai yang menjadi punca kepada wujudnya ‘batu gajah’ ini, namun bagi Sarimah a/p Bani, 68, beliau berkata bahawa terdapat seekor burung ‘kemerai’ yang menegur gajah yang sedang menyeberangi kawasan tersebut, dan dipercayai laluan tersebut merupakan laluan bagi gajah untuk pergi ke seberang.‘Tiga ekor gajah, dia nak reda air untuk naik disebelah, tegur di kemerai, terus jadi batu...’ kata beliau. Kemerai juga disebut ‘orang bertuah’ kerana boleh jadi manusia dan burung bahkan orang mati boleh dihidupkan kembali. Kata Sarimah, individu atau si orang bertuah ini merupakan orang dari seberang laut. ‘Sekarang takdelah, dia balik tempat dia dah’ ujar beliau.
Meskipun terdapat pelbagai cerita disebalik nama ‘batu gajah’, namun semuanya adalah berdasarkan kepada cerita nenek moyang dahulu kala yang mewariskan cerita tersebut kepada generasi mereka masing-masing. Oleh sebab itulah cerita atau misteri tentang ‘batu gajah’ ini tidak sama antara satu individu dengan individu yang lain.